Seni Kraf Rombong Berdepan Kepupusan - pakdin.my

Anyaman Rombong adalah seni kraftangan terkenal di Melaka dalam menghasilkan bakul serbaguna yang diperbuat daripada mengkuang.

Dahulunya rombong ini digunakan untuk menyimpan pakaian dan barang kemas, namun pada hari ini ia dijadikan hiasan hantaran perkahwinan dan bakul hamper.

Bakul rombong yang terhasil boleh didapati dalam pelbagai saiz dan bentuk seperti bujur telur, potong wajik, tiga segi, empat segi dan bulat selain set susunan tiga atau lima pada bentuk yang sama tetapi berlainan saiz dengan motif-motif berteraskan alam semulajadi.

Seni ini sangat terkenal pada suatu ketika dahulu dalam kalangan kaum wanita di Melaka, namun difahamkan pada masa kini hanya tinggal lima wanita di Malaysia yang mampu menganyam rombong sekaligus seni kraftangan itu berdepan ancaman kepupusan.

Teknik menganyam yang sukar sehinggakan seni kraftangan ini turut dikenali sebagai ‘anyaman gila’ adalah antara punca ia tidak digemari untuk dipelajari kerana memerlukan kemahiran tangan, kesabaran dan ilham yang tinggi.

PROSES PEMBUATAN

Proses pembuatan bakul rombong tidak jauh berbeza daripada membuat tikar mengkuang kecuali dalam proses anyaman yang memerlukan seseorang melakukan anyaman tiga lapis berbanding anyaman rata pada tikar mengkuang.

Peringkat awal melibatkan pemilihan dan pemotongan daun mengkuang dari jenis baik sebelum daun tersebut dilayur di atas bara api sehingga menjadi kekuningan.

Proses melayur berkenaan dilakukan bagi menjadikan daun mengkuang lembut dan tahan lama di samping memudahkan proses seterusnya “menjangka” iaitu memotong daun dengan bilah yang sama saiz menggunakan jangka (alat untuk membelah daun pandan atau mengkuang atau buluh menjadi helaian atau bilah yang lebih kecil mengikut lebar yang diperlukan).

Daun-daun tersebut kemudian digulung dalam satu ikatan untuk direndam dalam air selama dua hari.

Ketika rendaman, air akan ditukar sebanyak dua kali sehari bertujuan melunturkan warna asal daun.

Setelah direndam, daun-daun itu akan dijemur sehingga menjadi putih kekuningan bagi memudahkan proses melurut.

Daun-daun yang telah kering kemudian dicelup ke dalam pencelup warna mengikut kesesuaian reka corak rombong sebelum dikeringkan sekali lagi di bawah sinaran matahari.

Selepas itu, proses melurut dilakukan bagi menjadikan daun mengkuang cantik dan tetap kembang. Namun sekiranya proses tersebut tidak dilakukan, daun akan menjadi keras dan sukar dianyam.

Proses menganyam bermula dengan membuat pusat belanak iaitu menganyam enam helai daun secara jelujur dan melintang dan helaian daun ditambah mengikut saiz rombong.

Seterusnya proses menaja dilakukan iaitu menganyam daun sehingga membentuk tapak sementara bingkai yang diperbuat daripada pelepah disisip ke tapak rombong untuk memperkuatkannya sebelum anyaman dinaikkan ke atas untuk membuat badan bakul.

Proses terakhir ialah menyisip dan mencolek bunga dengan alat penyisip sebelum tudung atau penutup rombong dianyam seperti bahagian badan rombong.

Bagi mereka yang mahir, proses menganyam hingga menyisip rombong mengambil masa kurang sehari untuk disiapkan, bergantung kepada saiznya.

PENYAMBUNG WARISAN

Amnah Abdulla, 53, adalah satu-satunya wanita paling mahir dalam anyaman rombong yang diketahui masih ada pada masa kini.

Perkara itu diakui sendiri Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan) cawangan Melaka yang telah menjalankan usaha mengesan penganyam rombong di seluruh negeri bersejarah itu.

Amnah, anak ketujuh daripada sembilan adik beradik, mula mempelajari seni anyaman rombong ketika berusia 12 tahun bagi membantu ibunya mencari rezeki selepas bapa beliau meninggal dunia.

Hanya beliau dan seorang kakaknya yang mahir menghasilkan rombong di dalam keluarganya.

Bagaimanpun, seni anyaman itu berkubur hampir 35 tahun selepas Amnah mendirikan rumahtangga dengan seorang nelayan, Md Jali Berahim kerana sibuk menguruskan keluarga dan kedai makan miliknya.

Namun kejadian pada kira-kira tiga tahun lepas membawa sinar harapan kepada seni kraftangan yang semakin dilupakan itu.

Amnah yang lebih mesra dengan panggilan Mak Nah ketika itu sedang menggoreng ikan sebagai juadah bagi keluarga sebelum dipanggil suaminya untuk menonton sebuah dokumentari mengenai rombong di televisyen.

“Suami saya yang mengetahui saya pandai menganyam rombong kemudian begitu bersungguh-sungguh untuk mencari daun mengkuang bagi dijadikan bakul rombong,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Batu 7 1/4 Balik Bukit, Tanjung Kling di sini.

Ketika memegang daun mengkuang berkenaan, teknik menganyam rombong seolah-olah terbentang kembali di kepalanya.

Amnah berkata ketika asyik menghasilkan rombong keduanya selepas begitu lama meninggalkan seni itu, beliau didatangi Anggota Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor Datuk Ab Rahaman Ab Karim yang kebetulan berada di kampung berkenaan dan bertanyakan mengenai hasil kerja tangannya itu.

Beliau berkata Ab Rahaman yang tertarik dengan rombong itu memaklumkan akan membawa seni anyaman tersebut kepada pengetahuan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Melaka untuk dipelihara dan dikembangkan.

“Tidak lama kemudian Kraftangan Melaka menghubungi Mak Nah dan selepas itu rombong mula diperkenalkan kembali kepada rakyat Melaka dan Malaysia,” kata ibu kepada empat orang anak ini.

SUMBER PENDAPATAN

Amnah kini mampu menarik nafas lega selepas berjaya meraih pendapatan antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan hasil jualan rombong yang kebanyakkannya untuk dijadikan hantaran dan hadiah perkahwinan selain hamper.

Beliau berkata limpahan rezeki itu turut dikongsi dengan teman-teman sekampung yang diupah untuk menyisip dan mencolek bunga di rombong yang dihasilkannya.

Bakul rombong dijual dengan harga antara RM2 hingga RM350 setiap satu bergantung kepada saiz.

Rombong paling sukar untuk dihasilkan ialah rombong berbentuk empat segi yang berukuran 27×20 inci yang mengambil masa sebulan untuk disiapkan bagi mereka yang kurang mahir.

Namun Amnah mampu menghasilkannya hanya dalam tempoh 10 hingga 15 hari sahaja.

Amnah berharap wanita khususnya golongan muda agar mengambil peluang menceburi bidang anyaman rombong yang mampu memberikan pendapatan lumayan.

“Datanglah belajar (rombong) dengan Mak Nah selagi umur Mak Nah ini masih ada,” katanya dan menambah kata bahawa anak perempuan bongsunya yang berusia 16 tahun kini menunjukkan minat dan mampu melakukan anyaman dengan baik.

POTENSI

Seni anyaman rombong yang memperlihatkan keindahan dan kehalusan seni khazanah Melayu sememangnya dikagumi dan diminati masyarakat setempat dan pelancong asing.

Tidak hairanlah rombong mendapat permintaan di pasaran khususnya di Melaka yang dikunjungi jutaan pelancong dalam dan luar negara setiap tahun.

Pengarah Kraftangan cawangan Melaka Aididah Ibrahim berkata produk kraftangan khususnya rombong sentiasa mendapat permintaan pasaran ekoran nilai estetiknya.

Beliau bagaimanapun berkata permintaan tinggi terhadap hasil kraftangan tersebut tidak mampu dipenuhi berikutan jumlah produk yang dihasilkan terlalu sedikit kerana kekurangan penganyam rombong.

“Rombong adalah seni turun temurun, namun pada masa ini amat sukar untuk mencari mereka yang mahu menganyam rombong… anak muda tidak berminat untuk meneruskan seni ini dan ia mungkin pupus satu hari nanti,” katanya.

Katanya selain mampu menjadi terapi minda, hasil kerja tangan itu boleh mendatangkan pendapatan lumayan jika diusahakan secara serius.

Namun peluang bidang perniagaan produk berkenaan gagal direbut usahawan tempatan yang memberikan pelbagai alasan sebelum menceburinya.

“Ada yang memberikan alasan sukar mendapatkan daun mengkuang, tetapi negara kita kaya dengan flora dan fauna, mudah sahaja untuk mendapatkan daun mengkuang,” katanya.

Kegagalan usahawan tempatan khususnya orang Melayu sendiri dalam memartabatkan seni warisan mereka menyebabkan lambakan produk kraftangan dari negara jiran di pasaran negara ini.

USAHA MENGEKAL SENI ROMBONG

Bagi menjamin seni anyaman rombong terus kekal, Kraftangan Melaka menyediakan kursus selama tiga bulan secara percuma kepada mereka yang berminat mempelajari anyaman rombong daripada Amnah.

Aididah berkata fasa pertama kursus bermula pada Mei lepas dengan 10 pelajar sementara fasa kedua akan bermula pada Oktober ini.

“Kita tidak akan membiarkan pelajar ini begitu sahaja selepas tamat kursus kerana pihak kraftangan menyediakan insentif-insentif tertentu kepada mereka yang serius untuk menceburi bidang anyaman rombong,” katanya.

Dari segi pemasaran, Kraftangan boleh membantu pengusaha memasarkan produk berkenaan melalui pelbagai program dan pameran seperti Hari Kraf Kebangsaan.

UTAMASeni Kraf Rombong Berdepan Kepupusan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium