BEERSIH 2.0 – Tangkapan Bukan Ada Kaitan Dengan Kuning Tapi Kerana Perhimpunan Haram - pakdin.my

KUALA LUMPUR: Semua tangkapan dan rampasan barangan oleh polis setakat ini tidak mempunyai kaitan dengan warna kuning, tetapi kerana ada hubungan dengan perhimpunan haram yang dirancang diadakan pada 9 Julai, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohd Bakri Mohd pada Khamis.

Beliau berkata, polis telah membayangkan permit tidak akan dikeluarkan kepada mana-mana pertubuhan untuk mengadakan perhimpunan pada tarikh itu.

“Walaupun kami telah memberi nasihat dan wujudnya tekanan yang semakin meningkat daripada orang ramai agar penganjur perhimpunan itu membatalkan rancangan mereka, tetapi pihak berkenaan tetap bertegas untuk meneruskannya.

“Ini menjadikan polis tidak mempunyai pilihan, selain bertindak mengikut undang-undang yang diluluskan Parlimen untuk menghalangnya daripada diadakan.

“Tindakan ini termasuk menangkap sesiapa jua yang didapati mengambil bahagian dalam perhimpunan itu.

“Ia juga melibatkan rampasan barangan yang didapati mempromosikan perhimpunan itu… warna barang-barang ini tidak penting,” kata Mohd Bakri dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, walaupun diberi amaran oleh polis, penganjurnya masih berdegil untuk meneruskan perhimpunan haram yang dirancang itu.

“Penganjur mengelirukan orang ramai dengan berkata hak kebebasan bersuara atau hak untuk mengadakan perhimpunan dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Kami agak hairan kenapa penganjurnya… yang kebanyakan mereka mempunyai latar belakang undang-undang, tidak menyebut fasal di bawah Perkara 10 yang menetapkan had terhadap hak kebebasan bersuara dan memberi pendapat serta hak untuk berhimpun secara aman.

“Hak kebebasan bersuara dan melahirkan pendapat serta berhimpun secara aman bukan bersifat mutlak di bawah Perlembagaan Persekutuan tetapi tertakluk kepada sekatan yang ditetapkan oleh undang-undang lain, demi keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

 

UTAMABERITABEERSIH 2.0 - Tangkapan Bukan Ada Kaitan Dengan Kuning Tapi Kerana Perhimpunan...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium