1MDB: KMR, BADAN BEBAS SPRM, MAHU SEMUA PIHAK HENTI MEMPERTIKAI INTEGRITI PASUKAN PETUGAS KHAS SIASAT KES - pakdin.my

Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah 2013-2016

Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, sebuah badan bebas yang memantau perjalanan SPRM, telah dan sedang mengikuti dengan rapi perkembangan semasa berkaitan siasatan kes 1MDB.

JKMR dianggotai oleh tujuh Ahli Parlimen dari Barisan Nasional, DAP, PKR dan PAS, dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.

JKMR berpendapat bahawa kes 1MDB yang sedang disiasat oleh Pasukan Petugas Khas sekarang merupakan satu kes yang amat penting dan serius demi kepentingan negara.

Sebagai Pengerusi JKMR, saya berpendapat Pasukan Petugas Khas ini sebuah badan yang diwakili oleh empat pemimpin tertinggi agensi-agensi, yang mampu dan berkeupayaan untuk membuat penyiasatan dengan begitu teliti, bebas dan telus.

Pasukan Petugas Khas ini sedang giat menjalankan tanggungjawab mereka untuk membuat penyiasatan dengan secepat yang mungkin. Semasa siasatan sedang berjalan, diharap semua pihak akan memberi sokongan dan kepercayaan kepada Pasukan Petugas Khas ini.

Di samping itu, JKMR berasa amat terkilan dan kecewa dengan adanya kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak termasuk kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi pertubuhan bernama Gerakan Harapan Baru (GHB), yang dikeluarkan pada 13 Julai 2015. Pengerusi GHB mendakwa kononnya siasatan yang dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas ini bertujuan untuk melindungi perkara yang sebenarnya.

Dakwaan ini merupakan kenyataan yang berniat jahat dan tidak bertanggungjawab. JKMR berpandangan kenyataan yang dibuat bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malahan merupakan satu fitnah dan tohmahan yang tidak berasas sama sekali.

Di samping itu, kepada semua Ahli Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara), JKMR berharap agar semua mereka tidak lupa kepada kenyataan semasa angkat sumpah sebelum disahkan pelantikan sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Negara.  Mereka hendaklah betul-betul menghayati dan bertanggungjawab kepada lafaz ikrar untuk taat setia kepada Malaysia, dan juga melindungi serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, dalam keadaan sekarang janganlah ada Ahli-Ahli Parlimen mengingkari atau menodai sumpah taat setia yang telah mereka lafazkan.

Berilah peluang kepada Pasukan Petugas Khas ini terlebih dahulu untuk menjalankan dan menyempurnakan tugas dan tanggungjawab yang mereka telah diamanahkan.

Mengikut Akta SPRM 2009, adalah menjadi tanggungjawab JKMR untuk membuat laporan khas, kepada YAB Perdana Menteri dan juga membentangkan laporan tersebut kepada Parlimen setiap tahun.

Justeru, dalam perkara ini JKMR akan meminta SPRM membentangkan secara terperinci kepada Parlimen apabila hasil siasatan mereka telah siap kelak.

Akhir sekali, JKMR mahu semua pihak termasuk rakyat jelata menghentikan segala kenyataan yang mempertikaikan integriti, kewibawaan dan keanggotaan Pasukan Petugas Khas ini.

Negara mengamalkan sistem pemerintahan berlandaskan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Inilah sistem pemerintahan yang kita pakai hampir enam dekad.

TAN SRI ABU ZAHAR UJANG
PENGERUSI
JAWATANKUASA KHAS MENGENAI RASUAH
BADAN BEBAS MEMANTAU SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
15 JULAI 2015

Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah turut dianggotai oleh:
YB Senator Datuk Doris Sophia Anak Brodi (Timbalan Speaker Dewan Negara)
YB Dr Tan Seng Giaw (Ahli Parlimen Kepong)
YB Dato’ Irmohizam Ibrahim (Ahli Parlimen Kuala Selangor)
YB Dato’ Fauzi Abdul Rahman (Ahli Parlimen Indera Mahkota)
YB Dato’ Takiyuddin Hassan (Ahli Parlimen Kota Bharu)
YB Dato’ Noraini Ahmad (Ahli Parlimen Parit Sulong)

UTAMAEDITORIAL1MDB1MDB: KMR, BADAN BEBAS SPRM, MAHU SEMUA PIHAK HENTI MEMPERTIKAI INTEGRITI PASUKAN...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium