Manifesto PR gagal martabatkan Islam: Dr Hasan

manifesto-pakatan-pembangkangSHAH ALAM: Presiden JATI, Datuk Dr Hasan Ali menyifatkan manifesto yang dibentangkan pakatan pembangkang hari ini gagal mengangkat martabat Melayu dan Islam di negara ini.

Beliau mendakwa manifesto 35 halaman itu merupakan satu pendekatan tersembunyi untuk menukar imej PAS yang sebelum ini tegak dengan Islam dan kemelayuannya supaya menerima hakikat “Malaysian Malaysia”, “samarata” dan “samarasa”.

Hasan selain itu berkata janji yang ditawarkan Pakatan Rakyat mengenepikan pembangunan modal insan yang dicanang PAS justeru bakal melahirkan golongan yang menjulang sifat materialistik serta menonjolkan sifat keangkuhan dan kesombongan.

“Akhirnya segelintir rakyat mungkin boleh mencapai kelebihan material itu dengan menidakkan sebahagian besar masyarakat yang merupakan kelompok majoriti (Melayu) yang tidak mempunyai persediaan untuk sama-sama merebut peluang material yang ada di hadapan mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu kemudian mengulas tentang cita-cita pembangkang mentadbir negara dengan mengemukakan tawaran-tawaran tanpa mengambil kira faktor pelaksanaan yang mungkin tidak akan tercapai.

Ini katanya berdasarkan pengalaman kerajaan Pakatan Rakyat memerintah di negeri Selangor dan Pulau Pinang di mana rakyat terpaksa meningggalkan negeri-negeri itu ekoran kos hidup yang semakin tinggi termasuk harga rumah yang mahal.

“Setakat yang dapat kita saksikan di negeri-negeri dalamana Pakatan Rakyat diberi peluang oleh rakyat untuk mentadbirnya, fakta-fakta menunjukkan bahawa sebahagaian yang dijanjikan dalam manifesto untuk masing-masing negeri tidak berjalan seperti yang diharapkan,” tambah beliau lagi.

Pembangkang yang membentangkan manifesto “Manifesto Rakyat: Pakatan Harapan Rakyat” di sini hari ini mengulangi janji menurunkan harga minyak, tarif elektrik dan air serta menghapuskan tol dan menurunkan harga kereta.

Pakatan Rakyat juga berjanji menghapuskan PTPTN, sistem kawalan trafik AES dan menyediakan perkhidmatan wad percuma di hospital awam.

Ini termasuk menyediakan satu juta peluang pekerjaan baru, gaji minima RM1,100 sebulan dan tabung RM2bilion untuk majikan yang tidak cukup modal menampung gaji minima itu selain pengurangan cukai pendapatan untuk sebahagian besar rakyat Malaysia.