1MDB: Pegawai tinggi pasti hadir sesi PAC – PM

1mdb-jazlan-arul-n-shahrol

Pegawai tertinggi 1Malaysia Development Berhad, (1MDB) pasti akan memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, (PAC) berhubung siasatan ke atas syarikat itu.

Jaminan itu diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak di Jepun yang menambah bahawa mereka terpaksa menyelesaikan sesuatu terlebih dahulu.

“Pegawai 1MDB akan hadir ke PAC, tidak akan melarikan diri. Mereka perlu melakukan sesuatu terlebih dahulu,” katanya mengulas kegagalan Ketua Pegawai Eksekutif, (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan bekas CEO, Datuk Shahrol Halmi hadir ke sesi pendengaran PAC Selasa.

Semalam, Arul Kanda dan Shahrol mengesahkan ketidakhadiran mereka pada sesi prosiding PAC hari ini lantaran komitmen awal di luar negara.

Arul Kanda dan Shahrol Halmi mengesahkan akan hadir ke sesi prosiding PAC pada tarikh yang akan ditentukan kelak bagi menjelaskan kedudukan 1MDB.

Dalam pada itu, kenyataan Arul Kanda pada Selasa menyebut bahawa 1MDB hanya menerima jemputan yang dihantar PAC menerusi Kementerian Kewangan pada 21 Mei.

Jemputan yang dialamatkan ke Kementerian Kewangan meminta kehadiran 1MDB di hadapan prosiding PAC pada 26 Mei 2015.

“Sewaktu menerima surat itu, 1MDB menjawab kepada Kementerian Kewangan pada 21 Mei iaitu hari sama menerima jemputan.

“Seperti disahkan Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed, tarikh pendengaran sedang dimuktamadkan ekoran tarikh yang dicadangkan bertembung dengan komitmen luar negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi mahu menegaskan akan memberi kerjasama penuh kepada PAC bersama bekas CEO, Shahrol Halmi.

Selain PAC, Ketua Audit Negara turut melakukan siasatan terhadap akuan 1MDB dan dijangka akan mengemukakan laporan ke Putrajaya awal Jun ini.

Leave a Reply