Video Klip Penderaan Kanak-kanak Di Facebook – Polis Tahan Seorang Lelaki Dera Anak Tiri

dera anak tiri facebookKLANG, 12 Dis  — Polis menahan seorang lelaki berhubung kes penderaan seorang kanak-kanak berumur tiga tahun seperti yang tersebar dalam sebuah klip video di laman media sosial Facebook sejak Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara Supt Jani Ahmad berkata lelaki berumur 32 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Mas, Kapar di sini pada kira-kira 8 malam semalam selepas polis menerima laporan daripada seorang kenalan suspek yang menonton klip video itu.

Beliau berkata ketika serbuan, suspek yang juga bapa tiri mangsa berada bersama kanak-kanak itu.

“Kita tahan lelaki terbabit manakala kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini dan mendapati terdapat kesan kecederaan dipercayai akibat didera,” katanya ketika dihubungi Bernama Rabu.

Mengulas lanjut, Jani berkata polis tidak dapat memastikan tarikh sebenar kejadian yang dipaparkan dalam klip video itu.

Beliau berkata ibu kanak-kanak malang tidak dapat dikesan.

Sementara itu, menurut maklumat di laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Entri terkini di laman itu turut memaklumkan kanak-kanak berkenaan kini dirawat di HTAR dan diletak di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Klip video lapan minit dan 33 saat itu memaparkan seorang lelaki berbaju biru dan memakai seluar jeans menampar, membaling serta menyepak seorang kanak-kanak yang menangis teresak-esak.

Ia turut memaparkan imej seorang lagi kanak-kanak dan seorang bayi.

+++++


+++

Klip video yang memaparkan seorang lelaki bertindak ganas dan tidak berperikemanusiaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki tersebar luas di laman sosial sejak semalam.

Si pelaku yang juga bapa tiri mangsa disahkan telah ditahan oleh polis untuk membantu siasatan.

Klip video dengan durasi 8:33 minit ini antara lain memaparkan seorang lelaki bertindak ganas dengan menampar, memukul dan menendang mangsa berkali-kali.

Kanak-kanak lelaki ini yang dipercayai berusia tiga atau empat tahun turut dipukul dengan objek keras.

Tangisan kanak-kanak ini nyata tidak diendahkan sebaliknya terus dibelasah.

Sehingga satu peringkat, kanak-kanak ini dipaksa melutut dengan kedua-dua tangannya diangkat ke atas sambil dimarahi lelaki berkenaan.

Turut kelihatan dalam klip video ini, dua kanak-kanak lain.

Bagaimanapun, mereka tidak diapa-apakan.

Bukit Aman dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa telah dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan.

Dia kini diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(A), Akta Kanak-kanak 2001.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara selama 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Identiti individu yang merakam klip video ini bagaimanapun tidak dimaklumkan.

Comments (6)

  1. Abd Razak Friday, December 14, 2012 -12-14 12:51:30'
  2. Anonymous Friday, December 14, 2012 -12-14 11:46:43'
  3. Sumati Regunathan Friday, December 14, 2012 -12-14 02:16:31'
  4. Zaiton Abdul Ghani Thursday, December 13, 2012 -12-13 02:04:39'
  5. Zaiton Abdul Ghani Thursday, December 13, 2012 -12-13 02:03:38'