Utama NASIONAL Sumbangan Lembu Oleh Syarikat Untuk Aidiladha Adalah Sedekah Bukan Korban : MB...

Sumbangan Lembu Oleh Syarikat Untuk Aidiladha Adalah Sedekah Bukan Korban : MB Pahang

Dato' Seri Adnan Yaakob

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata sumbangan lembu oleh institusi dan syarikat korporat sempena Aidiladha sebenar lebih sebagai sedekah dan bukannya korban kerana ibadah berkenaan menjurus kepada amalan individu.

“Institusi atau syarikat korporat tidak boleh melakukan korban tetapi kalau kakitangannya ingin melakukan korban, itu boleh,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan RM100,000 kepada Aman Palestin di sini hari ini.

Sumbangan oleh Yayasan Pahang dan anak syarikatnya, YP Plantation Holdings Sdn Bhd itu, diserahkan kepada Pengurus Aman Palestin Bhd Pahang, Muhamad Sabri Muda, untuk aktiviti pertubuhan itu dalam meringankan penderitaan rakyat Palestin.

Adnan berkata sumbangan oleh sesebuah syarikat bukanlah suatu ibadah korban sebaliknya lebih merupakan sedekah.

“Ibadah korban ini adalah bagi memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibrahim yang sanggup menyahut perintah Allah dan ia disunatkan kepada mereka yang mampu,” katanya.

Muhamad Sabri pula berkata sumbangan oleh Yayasan Pahang dan YP Plantation Holdings itu akan disalurkan terus kepada cawangan Aman Palestin di Gaza untuk membantu meringankan beban penduduk Palestin yang menderita akibat kekejaman rejim Zionis.

Exit mobile version