Ramadan Masa Konsumer Dan Peniaga Bersedekah - pakdin.my

bazar-ramadan

Hanya tinggal sehari atau dua hari lagi umat Islam akan menyambut bulan yang penuh barakah iaitu bulan Ramadan.

Sebagaimana tahun-tahun lepas, bazar Ramadan akan muncul bak cendawan selepas hujan di merata tempat.

Bazar-bazar ini dikunjungi oleh mereka yang mencari juadah untuk berbuka puasa dan mereka yang bukan beragama Islam bagi merasai pelbagai jenis makanan yang dijual di bazar.

Peniaga-peniaga di bazar itu kebanyakannya terdiri daripada mereka yang veteran dalam perniagaan berkenaan.

Tetapi ada juga yang terdiri daripada ‘first-timer’ iaitu peniaga yang hanya mahu berniaga sepanjang bulan Ramadan sahaja.

Peniaga-peniaga yang ‘pertama kali’ mencuba nasib inilah yang kerap menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan warga pengguna.

TIDAK PUAS HATI

Apakah rasa tidak puashati itu?

Bagi sesetengah pengguna pengalaman mereka dengan peniaga first-timer’ tahun lepas telah meninggalkan kesan yang kekal.

Apa kata mereka yang tidak puas hati?

“Ada muka-muka baru dalam kalangan peniaga di bazar Ramadan yang sentiasa saya kunjungi semasa bulan puasa.

“Malangnya kuih-kuih dan juadah yang mereka hasilkan tidak dapat mencapai tahap kualiti (sedap) yang sepatutnya. Kalau tak berapa sedap bolehlah juga saya terima, tetapi adakalanya tiada rasa langsung.

“Bila saya tanya peniaga-peniaga ini (peniaga baru) ada yang menjawab ini adalah kali pertama mereka buat juadah itu.

“Sungguh mendukacitakan, ada kuih yang dibuat langsung tidak ada rasa dan dibuat sambil lewa kerana hanya mahu berniaga di bazar Ramadan,” jelas seorang pendidik, Abdullah Harun, yang tinggal di Bandar Tasik Puteri, Rawang dekat sini.

Pandangan Abdullah diakui jirannya, juga seorang pendidik, Mat Ali Jusoh, yang menyatakan ada kuih-kuih dan juadah dibuat seolah-olah ‘melepas batuk’ di tangga.

HANYA UNTUK KEUNTUNGAN?

Menurut Abdullah dan Mat Ali, peniaga-peniaga ‘first-timer’ ini kebanyakannya hanya mahu mencari keuntungan pada bulan Ramadan.

“Bila ditanya, ada yang mengaku bahawa mereka hanya nak cari duit untuk menyambut Hari Raya,” kata Abdullah.

Jelas Mat Ali, ada peniaga yang kata “Saya baru belajar nak buat kuih ni”.

Sememangnya bila kuih dibuat dalam cubaan pertama, kualitinya sudah tentu tidak mencapai tahap kualiti yang sepatutnya.

Mereka berdua bersetuju sebenarnya ia terpulang kepada warga pengguna untuk membuat keputusan.

“Kalau ada gerai yang jual kuih tidak sedap, yang jual juadah dengan harga tak setimpal atau terlampau mahal, jangan langgani gera-gerai ini,” kata mereka.

HARGA

Bagi warga pengguna, ada juga yang menyuara rasa tidak puas hati terhadap harga sesetengah juadah yang dijual.

“Bila bulan Ramadan sahaja, ada kuih yang sebelum ini dijual 40 sen setiap satu, tiba-tiba naik harga sampai 50 sen atau 60 sen sebiji,” keluh Abdullah.

Kata beliau ada peniaga yang mahu mengaut untung cepat.

“Kalaupun harga naik, tetapi kualiti bagus tidak apa juga. Malangnya harga naik, tetapi kualiti turun pula.

“Mereka memberi pelbagai alasan termasuk harga gula naik, harga tepung naik, harga minyak naik dan macam-macam lagi. Tetapi bila harga kuih naik 10 sen atau 20 sen sebiji, sebenarnya mereka dapat untung lebih,” jelas Abdullah.

Kata beliau:” Sekilo (satu kg) tepung, sekilo gula sebenarnya boleh buat banyak kuih”.

“Adakala saiz kuih mengecil, tetapi harga jadi lebih mahal. Begitu juga dengan juadah lain seperti nasi kerabu, laksam dan banyak lagi di mana kuantitinya dikurangkan,” kata Abdullah.

Menurut beliau peniaga seperti itu hanya mahu keuntungan berlipat ganda.

KEBERSIHAN

Warga pengguna juga menyeru peniaga di bazar Ramadan mementingkan aspek kebersihan.

“Kalau boleh pegang kuih secara berlapik, boleh pakai sarung tangan plastik atau menggunakan penyepit.

“Kuih sepatutnya dalam bekas yang bersih,” kata mereka.

Ada pengguna yang pernah melihat peniaga di bazar berkenaan sambil melewa memegang kuih dengan tangan mereka tanpa mengguna penyepit ketika berurusan jual-beli.

MEMBERI SEDEKAH

Tetapi ada juga peniaga yang tidak menaikkan harga di samping mengekalkan kualiti produk yang dijual.

“Peniaga-peniaga sebegini sepatutnya dipuji,” jelas Mat Ali.

Kata Mat Ali, pengguna seperti dirinya menganggap bulan Ramadan adalah bulan untuk memberi dan bersedekah.

“Adakala kami tidak mengambil wang lebih semasa membeli juadah dan sedekah wang itu kepada peniaga.

“Adakala juga peniaga memberi juadah lebih dan menjelaskan ia juga adalah sedekah,” kata Mat Ali.

Sesungguhnya bulan Ramadan adalah bulan untuk ‘memberi’ dan bersedekah bagi warga pengguna dan peniaga.

UTAMAGAYA HIDUPAGAMARamadan Masa Konsumer Dan Peniaga Bersedekah

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium