Tambah Elemen ISA Dalam Akta Hasutan 1948, Saran Penganalisis - pakdin.my

Akta Hasutan 1948

Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memasukkan elemen pencegahan di dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, yang kini sudah dimansuhkan, ke dalam Akta Hasutan 1948 bagi memperluaskan konteks penggunaannya, kata seorang ahli akademik.

Pensyarah Kanan Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Md Shukri Shuib berkata langkah ini akan membolehkan akta itu bertindak sebagai benteng utama kepada undang-undang bagi mengekang tindakan individu yang mengganggu-gugat keharmonian negara.

“Kita harap elemen yang ada dalam ISA dihidupkan semula di dalam Akta Hasutan 1948 bagi mengelakkan tindakan segelintir individu yang sengaja mahu mencetuskan huru-hara dalam masyarakat.

“Selain membantu memperketatkan undang-undang, ia juga mampu mengawal tindakan individu yang terang-terangan menghina institusi raja dan agama Islam seperti yang terbaru oleh Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty Eric Paulsen,” katanya.

Paulsen menerusi catatan di akaun laman Twitter miliknya pada Jumaat lepas menulis: “Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mempromosikan ekstremisme pada setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya jika serius mahu banteras ekstremisme di Malaysia”.

Kenyataan itu bagaimanapun dipadam setelah mendapat kritikan daripada pelbagai pihak. Pada Sabtu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan polis akan menyiasat Paulsen mengikut Akta Hasutan 1948.

Md Shukri berkata tindakan Paulsen bukan sahaja mencemarkan Jakim bahkan mengheret sama perlembagaan negara dan agama Islam itu sendiri, selain cubaan untuk menggambarkan Malaysia sebuah negara yang menggalakkan elemen ektremisme yang kononnya dilindungi oleh undang-undang.

“Golongan seperti ini adalah perosak kepada undang-undang negara dan tindakan Paulsen adalah gambaran kepada Islamofobia yang berlaku bukan sahaja di Eropah dan negara barat tetapi di Malaysia sendiri rupanya masih ada.

“Beliau seorang peguam, golongan profesional dan terpelajar namun tindakan beliau menunjukkan masih ada golongan terpelajar yang tidak boleh berfikir dan bertindak secara rasional,” katanya.

Md Shukri berkata Akta Hasutan 1948 memainkan peranan besar, kekal relevan dan perlu diperkukuhkan dalam usaha mengawal pencabulan ke atas hak-hak menurut perlembagaan.

“Hak asasi negara adalah untuk mengambil tindakan kepada orang yang tidak boleh mendisiplinkan diri mereka… dan apa yang dilakukan Paulsen ibarat pencabulan kepada Jakim sebagai sebuah institusi di dalam negara yang ditubuhkan di bawah undang-undang dan perlembagaan,” katanya.

Md Shukri berkata seorang anggota politik seharusnya menjadi tokoh yang membawa kebaikan kepada negara, malangnya Paulsen sebagai seorang aktivis politik dan undang-undang dilihat dangkal mengenai keharmonian serta tiada tatasusila kepada masyarakat.

“Saya juga berharap perkara-perkara yang terkandung di dalam Rukun Negara turut dijadikan elemen tambahan di dalam Akta Hasutan 1948 terutama yang berkaitan kesopanan dan kesusilaan bagi membantu memantapkan akta berkenaan demi kebaikan rakyat dan negara,” katanya.

UTAMABERITATambah Elemen ISA Dalam Akta Hasutan 1948, Saran Penganalisis

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium