Alam Maya Penghubung Rezeki Perniagaan Tudung - pakdin.my

tudung-fesyen

Dengan rekaan fesyen terkini dan digayakan pelbagai cara, tudung atau hijab umpama “pisang goreng panas” yang sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada kaum muslimah di negara ini pada masa kini.

Kesempatan itu tentunya tidak disia-siakan pengusaha jualan tudung dengan menjadikan ‘online’ atau jualan dalam talian sebagai penghubung rezeki demi mengorak langkah mengembangkan lagi perniagaan, yang dijalankan 24 jam setiap hari dalam setahun.

Fenomena yang melanda bak “cendawan tumbuh selepas hujan” itu dilihat semakin popular dalam alam maya seperti facebook dan Instagram.

Selain tidak memerlukan modal yang besar, perniagaan ini menjadi alternatif kepada golongan wanita yang mempunyai pekerjaan tetap mahupun suri rumah dalam mencari pendapatan tambahan.

Turut meningkatkan perniagaan tudung dalam talian adalah penglibatan beberapa selebriti, yang berhijrah memakai tudung, dan menggayakannya dalam televisyen, majalah hiburan dan papan iklan.

Pembeli biasanya akan tertarik dengan tudung yang digayakan oleh model muslimah atau gaya artis kesayangan mereka biarpun kadangkala hanya gambar penggayaan tudung dipaparkan.

HANYA “KLIK” DI HUJUNG JARI

Hanya berbekalkan komputer riba atau telefon bimbit canggih, pengusaha tudung boleh memuat turun gambar tudung jualan mereka beserta harga di mana-mana sahaja mereka berada.

Dan, dengan hanya menekan butang tertentu, pesanan daripada pelanggan boleh diambil beserta urusan transaksi bank.

Sesetengah pengguna mungkin tidak berminat membuat pembelian pakaian dalam talian. Ini kerana terdapat kemungkinan warna dalam skrin berbeza daripada warna asal dan kadangkala spesifikasinya juga berbeza.

Bagaimanapun, ramai menyatakan pembelian secara dalam talian berbaloi dilaksanakan. Pembeli yang gemar membeli dalam talian tidak perlu bersusah-payah ke premis atau butik untuk melihat atau mencuba sendiri.

Pembeli juga tidak perlu mengharungi kesesakan lalu lintas yang teruk dan cara pembayarannya juga mudah.

BERSAING SECARA SIHAT

Ramai yang melihat bahawa penglibatan dalam perniagaan ini akan menikmati keuntungan besar. Hampir setiap hari terdapat sahaja perniagaan hijab dalam talian yang baru.

Bagi pengusaha tudung dalam online yang mula berjinak-jinak sejak setahun lepas, Rabiah Wan Zulkifli, 29, mengambil peluang ini untuk membawa jenama tudungnya sendiri iaitu Raudah Wide Shawl bagi memeriahkan lagi industri fesyen itu selain persaingan sihat bersama pengusaha lain.

“Saya tidak rasa tergugat dengan percambahan bilangan pengusaha kerana sedikit sebanyak memberi informasi terkini dari sudut mana pemilihan oleh pembeli sekarang ini.

“Tudung-tudung sekarang ini mempunyai banyak pilihan dan citarasa sendiri di samping pelbagai informasi gaya penggayaan melalui tutorial”, katanya.

Ketika ditanya kemampuan bertahan dalam perniagaan ini kerana pengusaha tudung lain juga menawarkan bahan atau konsep tudung yang agak sama, Rabiah berkata beliau sentiasa menanamkan sifat yang positif bahawa rezeki seseorang itu pasti ada.

Rabiah atau lebih mesra dipanggil Bea sentiasa mempergiat usaha mempromosi jualan tudung seperti penghantaran secara percuma dan tudung keluaran terbaru terutama ketika di Flea Market atau bazaar.

Walaupun bekerja sebagai pramugari di sebuah syarikat penerbangan, baginya tiada masalah untuk memberi komitmen dalam memajukan perniagaannya dengan menganggap segala saingan adalah cabaran yang perlu digalas.

MENGEJAR TUNTUTAN AGAMA DI SEBALIK KEUNTUNGAN

Dalam mencari kesenangan duniawi, tuntutan agama juga tidak dilupakan oleh seorang lagi pengusaha tudung yang cuba untuk menghasilkan tudung atau hijab yang menutup aurat pemakai dengan sempurna.

Bagi Nur Shafawati Yup, biarpun sibuk bekerja sebagai wartawan di sebuah syarikat penerbitan akhbar namun minat mendalam terhadap perniagaan ini menjadikan beliau sentiasa komited melayan permintaan pelanggan.

Ketika ditanya isu pembeli terpaksa berbelanja lebih untuk mendapatkan koleksi kegemaran mereka, beliau berkata persoalan itu tidak timbul kerana pilihan terletak kepada individu berkenaan.

Beliau berkata, gaya berhijab kini mempunyai skop yang lebih luas maka tiada salahnya jika bergaya mengikut trend terkini.

Rata-rata peniaga tudung dalam talian meletak harga yang berpatutan dan mengikut saiz yang diingini bergantung kepada kualiti dan bahan.

Sekiranya pemakaian tudung sekarang dilihat membawa perubahan positif untuk seseorang individu bertudung, sudah pastinya merasa seronok kerana ia menunjukkan rekaan dan penggayaan tudung masa sekarang masih relevan.

“Pelbagai rekaan tudung dihasilkan yang mana boleh disesuaikan dengan gaya atau imej, tempat atau sesuatu majlis mengikut keselesaan pemakai.

“Secara keseluruhan peniagaan tudung dalam talian membawa banyak kebaikan jika pandai mengendali dengan bijak selain perlu berhemah melayan pelanggan”, katanya yang lebih senang disapa dengan panggilan Pearl.

MASIH ADA RUANG PERNIAGAAN DI KEDAI

Meskipun perniagaan dalam talian mendapat perhatian ramai, ini tidak bermakna kedai-kedai perniagaan tidak mendapat perhatian.

Sebenarnya masih ramai yang mengunjungi premis-premis seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang menawarkan tudung-tudung dengan harga murah tetapi berkualiti dan mampu dimiliki.

Bagi pembeli seperti pelajar, mereka lebih suka melihat, memegang dan memilih sendiri tudung di hadapan mata dan membuat tawar menawar dengan penjual.

UTAMAEKONOMIAlam Maya Penghubung Rezeki Perniagaan Tudung

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium