Bapa maut, anak parah terlibat nahas di Jeli #pakdin.my

bapa-maut-anak-parah-kemalangan-jeli

Seorang lelaki maut manakala isteri serta tiga anaknya cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 96 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli di hadapan stesen minyak Petronas di sini pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 pagi itu, mangsa Mohd. Norizan Mat Nor, 37, yang merupakan penumpang tempat duduk hadapan MPV itu meninggal dunia di Hospital Jeli akibat pendarahan usus manakala isterinya, Nor Riza Majid, 38, patah kaki kanan.

Tiga lagi anak mangsa, Nur Aleesya yang duduk di bahagian hadapan cedera parah di kepala dan dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sementara dua lagi anaknya, Muhammad Nur Afiq, 11, dan Nur Ain Azwani, 9, dirawat sebagai pesakit luar.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritanden Mohd. Yusoff Jaafar berkata, siasatan awal mendapati nahas berlaku semasa pemandu kereta jenis Proton Wira keluar daripada persimpangan stesen minyak tersebut untuk menghala ke Tanah Merah.

Menurutnya, semasa cuba menyeberangi jalan sebuah kenderaan jenis Nissan dari arah Jeli telah melanggar Proton Wira berkenaan.

“Pelanggaran itu mengakibatkan kereta Proton Wira itu berpusing dan memasuki laluan MPV yang dipandu oleh Nor Riza menyebabkan berlaku pertembungan antara kenderaan tersebut.

“Mohd. Norizan telah tersepit dan kemudian meninggal dunia di Hospital Jeli akibat pendarahan dalam usus, sementara itu isteri dan anak-anaknya mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malayisa.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengankutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Soleh Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.59 dan seramai enam anggota bersama sebuah jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja membantu serta menyelamat mangsa.

“Semasa tiba di lokasi enam mangsa dikeluarkan oleh anggota bomba hasil bantuan orang awam. Seorang wanita yang merupakan pemandu MPV telah tersepit dan patah kaki selamat dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat,” ujarnya.

Berkaitan