28.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 22, 2020

Di Mana Bumi Dipijak Di Situ Langit Dijunjung

Hubungan etnik di Malaysia sepatutnya boleh diurus dengan mudah tanpa banyak masalah kerana kumpulan etnik yang terdapat di negara ini tidak banyak.

Menurut Prof Dr Teo Kok Seong, Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bukan seperti di Rusia dan India yang terdapat puluhan atau ratusan kumpulan etnik.

“Bagaimanapun perpaduan di negara ini lebih bersifat retorik daripada keadaan sebenarnya,” kata beliau kepada Bernama dalam wawancara yang memfokus kepada isu perpaduan menjelang Sambutan Hari Kemerdekaan ke-54.

CURIGA-MENCURIGAI

Teo yang juga Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu, UKM, berkata istilah ‘juxtaposition’ atau ‘mengatur seiring” lebih tepat digunakan dalam mengukur tahap perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Maksud ‘juxtaposition’ dalam konteks ini ialah kita ditonjolkan sebagai bersatu, tetapi sebenarnya tidak kerana masih banyak curiga-mencurigai antara satu sama lain.

“Ini berlaku secara menyeluruh. Mungkin wujud hubungan akrab antara individu Cina dengan individu Melayu tertentu, itu lain ceritanya,” kata beliau.

Apa yang berlaku adalah di sebalik Peristiwa 13 Mei dan usaha kerajaan menangani isu perkauman menerusi pengisytiharan Rukunegara dan perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Menurut beliau, sekarang ini wujud fahaman apa yang menguntungkan sesuatu kaum merugikan kaum yang lain.

“Apa-apa yang diperolehi bangsa Melayu melalui dasar tertentu dianggap sebagai suatu kerugian bagi bukan Melayu, keadaannya sudah sampai ke tahap itu dan ini tidak baik untuk perpaduan,” katanya.

CONTOH CURIGA

Beliau memberi contoh Sekolah Wawasan yang ingin diperkenal oleh kerajaan pada 1997 untuk menyatupadukan pelajar berbilang kaum.

Idea untuk menubuhkan sekolah ini, katanya, bertunas pada 1995 dan menjadi kenyataan apabila dua atau tiga buah Sekolah Wawasan ditubuhkan pada 1997.

Bagaimanapun, konsep sekolah itu yang sepatutnya diperluas ke seluruh negara terhenti setakat beberapa sekolah itu sahaja kerana tiada sambutan.

Menurutnya, kaum bukan Melayu curiga, kononnya ada agenda tersirat oleh pemimpin Melayu di sebalik Sekolah Wawasan.

“Pada hal, kalau kita kaji betul-betul hasratnya murni sekali, iaitu untuk menyatukan kanak-kanak sekolah tetapi kaum Cina terutamanya, melihat ini percubaan untuk mengikis jati diri dan juga budaya mereka,” kata Teo.

Keadaan itu berlaku kerana tidak ada saling kepercayaan dan masih wujud rasa curiga antara satu sama lain.

“Kalau sudah bersatu, sewajarnya apa-apa yang diperkenal kerajaan difahami baik dan diterima secara terbuka, tiada curiga,” katanya.

Beliau memberi satu lagi contoh iaitu subjek baru “Malaysia Negaraku” tentang kewarganegaraan yang dirancang diperkenal di semua sekolah dan diajar dalam Bahasa Melayu pada awal tahun 2011.

“Sekolah Cina menentangnya habis-habisan. Mereka bimbang ini satu lagi rancangan licik pemimpin Melayu untuk mengikis jati diri orang bukan Melayu. Mereka mahu subjek ini diajar dalam bahasa Cina,” kata Teo.

EMPAT LANGKAH

Bagi Teo, ada empat langkah untuk menangani masalah curiga-mencurigai ini yang disifatkannya begitu menebal.

Langkah-langkah itu kenal-mengenali, faham-memahami, hormat-menghormati dan akhirnya menghargai kepelbagaian.

Malangnya masyarakat Malaysia, pada pandangan beliau, masih belum pun di peringkat pertama, iaitu kenal-mengenali antara satu sama lain.

“Kenal-mengenali ini penting kalau kita hendak bersatu padu dalam masyarakat majmuk. Selepas kenal-mengenali barulah kita boleh pergi ke langkah kedua, faham-memahami cara hidup dan etos kaum masing-masing.

“Memang banyak yang kerajaan lakukan selepas tragedi 13 Mei 1969, tapi nampaknya sesetengah sektor rakyat tidak mahu memberi sokongan, untuk merealisasikan hasrat murni ini.

“Saya kira kerajaan tak terlepas pandang apa-apapun, hanya golongan bukan Melayu ini yang tidak mahu menyertai program-program yang bersifat nasional,” jelasnya.

Beliau memberi contoh keengganan kaum Cina menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan, dan sekarang 90 peratus anak Cina belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina.

Keadaan itu jauh berbeza berbanding sekitar tahun 70-an dan 80-an yang menyaksikan ramai ibu bapa Cina menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan.

JATI DIRI ETNIK

Teo mengaitkan perubahan sikap kaum Cina ini dengan kebangkitan semula nasionalisme etnik dan pemupukan jati diri etnik dalam kalangan masyarakat Cina di Malaysia.

Perkembangan ini ada kaitan dengan berakhirnya Perang Dingin pada awal 1990-an dan kebangkitan China sebagai kuasa dunia.

Menurut beliau, orang Cina di seluruh dunia termasuk Malaysia berasa begitu teruja tentang potensi China.

“Mereka hendak mengaitkan diri mereka dengan sebuah kuasa besar dan ini tidak susah kerana daripada segi etnik mereka sememangnya orang Cina.

“Bagi saya, tidak salah untuk terus mengekalkan keCinaan itu sebab negara kita majmuk, tetapi yang salahnya apabila kita bangkit semula daripada segi nasionalisme etnik Cina, dan juga memupuk jati diri etnik Cina, sesetengah orang Cina atau sebahagian besar mereka lupa akan nasionalisme kebangsaan kita.

“Lupa jati diri kebangsaan. Di situ mereka tidak dapat mengimbanginya dan itu masalah besar,” jelas Prof Dr Teo seraya menambah keadaan itu bukan sahaja melibatkan generasi muda, tetapi juga generasi tua.

PERLU SETIA

“Di mana bumi di pijak di situ langit di junjung”. Teo menegaskan kesetiaan mesti lebih kepada di mana mereka tinggal dan mencari rezeki dan dalam hal ini beliau bimbang dengan gejala kurangnya nasionalisme dan jati diri kebangsaan.

Kebangsaan, bagi beliau bermaksud simbol dan proses sosio-budaya Melayu seperti bahasa Melayu dan kebudayaan kebangsaan yang berteraskan budaya Melayu.

Menurut beliau, walaupun kaum bukan Melayu mendukung nasionalisme dan jati diri kebangsaan, ini tidak bermakna mereka tidak boleh langsung mengamalkan budaya mereka.

Katanya, ini terbukti di mana bukan Melayu terus diberi kebebasan mengamalkan warisan dan budaya mereka, dan dalam bentuk asli lagi dengan sokongan kerajaan pula.

“Tetapi ada hanya boleh berbahasa Cina, tidak menguasai bahasa Melayu atau enggan menggunakannya kerana bimbang kehilangan jati diri etnik, selain tidak menghormatinya sebagai bahasa negara.

“Apatah lagi nak menggunakan bahasa Melayu sesama orang Cina! Ini lain halnya dengan bahasa Inggeris yang digunakan tanpa ada buruk sangka sedemikian.

“Ini salah faham yang perlu diperbetul, mereka perlu sedar bahasa Melayu itu bahasa negara, bahasa yang mewakili semua rakyat Malaysia,” tegasnya.

Beliau menyifatkan ekstremisme etnik ini sebagai antara faktor penghalang utama kepada pencapaian perpaduan di negara ini.

BAHASA PERPADUAN

Apa yang diperlukan untuk membentuk sikap yang lebih positif adalah lebih banyak pergaulan antara bukan Melayu dengan Melayu.

Menurut Prof Dr Teo, bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa kebangsaan harus dilihat sebagai bahasa perpaduan, iaitu simbol nasional untuk kemajmukan etnik dan kepelbagaian budaya di Malaysia.

Di sini beliau mengutarakan pandangan pentingnya sekolah satu aliran, cara terbaik tetapi sukar dilaksanakan.

Beliau memberitahu sekarang terdapat enam aliran persekolahan iaitu sekolah rendah kebangsaan, sekolah rendah jenis kebangsaan (Tamil dan Cina), sekolah agama (Islam), sekolah swasta yang menggunakan bahasa Inggeris, sekolah persendirian Cina yang menggunakan bahasa Cina, sekolah antarabangsa yang menggunakan bahasa Inggeris dan tidak termasuk yang bersekolah bersendirian di rumah.

“Macam mana nak bentuk jati diri kebangsaan yang sama dan satu masyarakat Malaysia yang mendukung asprisai nasional yang sama? Memang sukar sekali, malah tak boleh, mustahil.

“Yang menuntut di sekolah jenis kebangsaan, pemikiran mereka lain daripada yang belajar di sekolah kebangsaan, walaupun kurikulumnya sama. Begitu juga yang pergi ke sekolah swasta dan sekolah antarabangsa.

“Tengok Singapura, satu aliran sahaja, mereka gunakan bahasa Inggeris, manakala bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Melayu diajar sebagai satu subjek sahaja. Dengan cara ini, rakyat Singapura didapati mendukung nasionalisme kebangsaan yang sama, selain mempamer jati diri Singapura yang sama oleh semua, Cina, Melayu dan India.

KURANG MENYOKONG

Bagi ramai anak muda sekarang, terutamanya kaum Cina yang tidak boleh berbahasa Melayu, andaian yang boleh dibuat mereka tidak bergaul dengan orang Melayu justeru tidak memahami cara hidup orang Melayu.

Mereka juga kurang berminat menyertai program anjuran kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan yang membabitkan pelbagai kaum.

Berdasarkan pengalaman peribadinya memberi ceramah di bengkel dan forum antaranya mengenai perpaduan dan Gagasan 1Malaysia, kebanyakan yang hadir ialah Melayu.

“India ada sedikit, Cina boleh dikatakan tak ada langsung. Mereka tak suka ceramah membincangkan soal jati diri dan nasionalisme kebangsaan, yang menekankan penggunaan dan penghayatan simbol dan proses sosio budaya Melayu, antaranya kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

“Jadi dalam soal ini hanya orang Melayu yang mendengar,” katanya yang secara terbuka turut memberitahu anak-anak muda bukan Melayu juga agak tersisih daripada pemahaman sejarah tanah air, apatah lagi menghayatinya.

Teo berpandangan pemimpin Cina perlu memainkan peranan penting untuk mengimbangi kepincangan yang disuarakannya.

“Perjuangan pemimpin Cina ini lebih kepada menjaga kebajikan orang Cina dalam hal-hal kapitalisme, khususnya ekonomi. Tak ada usaha langsung untuk menasionalkan orang-orang Cina yang kurang nasional.

“Saya mohon pemimpin Cina, baik daripada parti kerajaan mahupun sebaliknya, tanganilah masalah pengimbangan jati diri dan nasionalisme etnik dengan jati diri dan nasionalisme kebangsaan, dalam kalangan komunti Cina.

“Kalau kita tak melakukan sesuatu sekarang, sampai tahun 3030 pun keadaannya masih macam ini, ataupun bertambah buruk lagi,” tegasnya.

UBAH SIKAP

Bagi Teo perpaduan tulen akan hanya wujud apabila ada asimilasi psikologi, yang bermaksud menerima cara hidup Melayu dalam kerangka kebudayaan kebangsaan, antaranya menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa negara, dan tidak merasakan semua ini akan menghakis jati diri etnik mereka.

“Mengapa proses ini sukar berlaku di Malaysia, berbanding orang Cina dari Malaysia dan Singapura yang berhijrah ke Australia dan pantas melalui proses asimilasi psikologi?

“Orang Cina juga tidak mempunyai masalah melalui asimilasi psikologi apabila mereka bermastautin di Thailand atau Indonesia.

Teo yang berasal dari Salor, Kelantan berkata walaupun sudah terlajak lebih 50 tahun, rakyat Malaysia perlu bersikap optimistik untuk mencapai perpaduan kaum dan semua pihak perlu menganggap Malaysia sebagai rumah mereka sendiri, bukan rumah sewa atau rumah tumpangan.

Bukan juga setakat tempat untuk mencari duit sahaja dan melaburkan keuntungan daripadanya di tempat lain.

“Mengambil analogi rumah kita sendiri, kita mestilah nak jaganya baik-baik dan kalau nak mengecatnya, kalau boleh kita tak akan beli cat yang murah.

“Kita perlu berkongsi tanggungjawab ini bukan menyerahkan sahaja kepada orang Melayu kerana Malaysia adalah juga tanah air semua

“Kalau ada masalah kita perlu berbincang dengan jujur dengan rasa insaf. Tragedi 13 Mei tidak mustahil boleh berulang sekiranya hubungan etnik negara ini dibiarkan dalam keadaan sedia ada,” tegas Teo.

Berita Berkaitan

PROTON terus catat jualan memberangsangkan

Proton Holdings Bhd (PROTON) menjual sebanyak 11,378 unit kenderaan pada Ogos 2020, meningkat 24.7 peratus dari segi jumlah berbanding bulan yang sama tahun lalu,...

Kos pengeluaran arang batu turun, tarif elektrik dijangka lebih rendah

Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjangkakan kemungkinan berlakunya penurunan kecil kadar tarif elektrik bagi tahun depan berikutan penyusutan kos pengeluaran arang batu dan dan gas...

Media Prima dijangka catat untung

KUMPULAN media bersepadu, Media Prima Berhad (Media Prima) dijangka kembali mencatat keuntungan pada tahun kewangan 2021 dan 2022, demikian mengikut CGS-CIMB Securities International Pte...

Gading gajah di rumah Tun M jadi perhatian

Tun Dr Mahathir pada Ahad lalu memuat naik foto sedang menonton siaran langsung persidangan Parlimen Digital di Facebook melalui komputer riba. Namun menjadi tanda tanya...

Terowong Dasar Laut: Lim Guan Eng bakal didakwa?

Kertas siasatan projek pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion kini berada di fasa akhir siasatan dan dijangka akan diserahkan kepada Pejabat...

Azmin Ali di ‘pulau’ di perasmian Rumah Generasi Ke 2 Felda di Felda Palong

Yang hadir hanyalah wartawan, polis pengiring serta beberapa orang urusetia yg mengikuti rombongan tak diundang itu..

Eksport getah asli negara meningkat

Eksport getah asli Malaysia meningkat 17.6 peratus pada Julai 2020 kepada 45,386 tan berbanding 38,587 tan pada Jun 2020, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia...

[Video] Penyamun bersenjata parang samun lapan sekeluarga

Siasatan awal mendapati terdapat enam penjenayah dengan menaiki sebuah kenderaan telah berhenti di luar rumah mangsa. 

Kes bebaskan 15 pendatang tanpa izin, enam anggota polis Hulu Selangor ditahan SPRM

“Kesemua anggota itu ditahan pada Rabu lepas bagi membantu siasatan berkaitan pembebasan 15 pendatang tanpa izin,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Rasuah bebaskan PATI: Hakim Mahkamah Sesyen pula ditahan SPRM

Tangkapan ini berkaitan dengan kes tangkapan sebelum ini melibatkan seorang peguam dan timbalan pendakwaraya dan beberapa anggota polis baru-baru ini.

Komen

..

#PRNSabah: Penularan Covid-19 di Sabah sandiwara kata Calon Warisan, Mohamaddin Ketapi

"Covid pandai melonjak hanya masa pilihanraya. Lepas pilihanraya, kes Covid di Sabah turun ke sifar" tuduh Ketapi. Pemimpin Warisan ini teruskan tuduhan dia bahawa kenaikan...

SPRM siasat kes beli undi awal #PRNSabah

KOTA KINABALU: Dua anggota keselamatan diberkas di Lahad Datu semalam selepas dipercayai membawa sejumlah wang, disyaki untuk membeli undi bagi sebuah parti politik. Sumber memaklumkan...

[Video] Shafie mengaku lantik keluarga, ‘orang semporna’ dalam jabatan, GLC #PRNSabah

"Unity" apa yang Warisan Plus laungkan jika Shafie sendiri mengaku melantik orang dia mengikut kaum ke jawatan-jawatan paling penting Sabah? "Sabah for Sabahans" atau "Sabah...

[Video] Pengundian awal #PRNSabah

Suasana hari pengundian awal di Mes Pegawai Kanan PDRM di Kepayan, Kota Kinabalu, Sabah yang dilangsungkan dalam keadaan mematuhi norma baharu atau SOP ditetapkan #PRNSabah #RaduTatapRadu #RaduSampaiRata #UndiBN https://youtu.be/hP-TkBhUQPk  

#PRNSabah: Pengundian awal bermula

KOTA KINABALU: Tepat jam 8 pagi tadi, sebanyak 55 pusat pengundian dibuka bagi 16,877 pengundi awal menjalankan tanggungjawab. Daripada jumlah itu, seramai 7,487 anggota tentera...

Arkib / Carian

994PeminatSuka
4,100PengikutMengikut
3,344PengikutMengikut
11,000PelangganLanggan

#PRNSabah: Rakyat Sabah tidak perlu bantuan walau ekonomi teruk dan pekerjaan tiada dibawah Warisan

Shafie, mari sini duduk sebelah saya. Saya jelaskan satu-satu report card kamu. 1. Tahun lepas saja hampir 120,000 rakyat Sabah tiada kerja. Ini gred F! 2. Kadar...