Ekspedisi berakit bertukar tragedi di Sungai Ladang Aring, Kuala Koh #pakdin.my

rakit-kuala-koh
Gambar hiasan

Kegembiraan 10 orang ahli Pertubuhan Bentara Sakti Kuala Lumpur yang menyertai perkhemahan untuk memancing bertukar duka apabila seorang daripada mereka mati lemas manakala seorang lagi masih hilang akibat terjatuh selepas rakit yang dinaiki tersangkut pada batu, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 malam itu, tiga peserta perkhemahan itu hanyut dibawa arus manakala tujuh yang lain sempat menyelamatkan diri selepas terjatuh ke dalam Sungai Ladang Aring berhampiran Taman Negara Kuala Koh, di sini.

Mayat, Mohd. Nor Abd. Rahman, 47, ditemui pada kira-kira pukul 3.30 petang ini manakala usaha mencari seorang lagi peserta yang dikhuatiri lemas, Nasrul Hafiz Shahrudin, 29, masih diteruskan sehingga kini.

Peserta yang terselamat selepas hanyut bersama dua rakannya itu, Anuar Ali, 36, berkata, dia berjaya diselamatkan anggota penyelamat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kira-kira 4.45 pagi ini selepas lebih lima jam tersangkut pada batu.

“Selepas menyusuri sungai kira-kira 15 meter dari tapak perkhemahan, rakit yang dipinjam daripada Orang Asli itu tersangkut pada batu. Rakit itu kemudian berpusing dan menyebabkan ketua ekspedisi (Mohd. Nor) terjatuh ke dalam sungai.

“Dalam keadaan kelam-kabut itu, kami cuba menyelamatkan Mohd. Nor tetapi tindakan tersebut menyebabkan kesemua yang berada di atas rakit turut terjatuh. Pada ketika itu, saya dan Nasrul Hafiz hanyut dibawa arus selepas gagal menyelamatkan diri,” kata beliau ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Tambah Anuar, dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana kehabisan tenaga selepas dibawa arus sejauh 30 meter dari lokasi kejadian.

“Apabila terhantuk pada serpihan kayu sungai baru saya tersedar dan mengharapkan bantuan tiba,” katanya.

Sementara seorang lagi peserta ekspedisi, Raja Zameri Raja Mohamed, 46, berasa terkilan dengan kejadian yang berlaku.

“Kami sedih tidak dapat menyelamatkan dua lagi rakan kerana keadaan ketika itu sungguh genting kerana masing-masing berusaha menyelamatkan diri.

“Ketika mereka dalam keadaan terkapai-kapai dibawa arus, kami cuba menyelamatkan mereka tetapi sukar kerana suasana malam yang gelap,” katanya.

Kata Raja Zameri, dia bersama rakan-rakan yang terselamat terus mencari jalan untuk pulang ke kawasan perkhemahan berpandu kepada cahaya lampu hampir tiga jam sebelum menghubungi anggota penyelamat.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Saiful Bahri Abdullah berkata, usaha menyelamat sedang giat dilakukan oleh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat, JPAM dan pihak Polis daerah.

“Tujuh lagi peserta yang terselamat adalah Mohd. Hamizan Mat Husin, 39, Mat Anisan Masiron, 44, Muhamad Huzir Hashim, 28, Muhammad Huzaifah Mat Shari, 27, Mohd. Amirul Idham Mohd Noor, 15, dan Azmi Mamat, 41,” katanya sambil memberitahu kebanyakan peserta berasal dari Subang Jaya.
– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/seorang-lemas-seorang-hilang-1.16764#sthash.gImfpWhE.dpuf

Berkaitan