GST: Kastam terima penyata cukai pertama bulan depan - pakdin.my

gst-turun-naik

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan menerima penyata pertama Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) daripada peniaga yang memiliki nilai perniagaan melebihi RM5 juta bulan depan, kata Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad.

Beliau berkata penyata berkenaan dijangka mula diterima selepas 20 Mei.

“Mei merupakan tarikh yang penting bagi Kastam. Bagi perniagaan yang kurang dari RM5 juta, penghantaran penyata cukai berlaku setiap tiga bulan dan kali ini bulan Julai.

“Sebahagian besar penyata cukai yang diterima pada bulan Mei adalah secara dalam talian. JKDM tetap terima penyata yang dihantar secara manual,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kenderaan pegawai audit GST Bahagian Pematuhan JKDM di ibu pejabat JKDM di sini hari ini.

GST pada kadar enam peratus mula dilaksanakan 1 April lepas bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (CJP) yang berkadar keseluruhan 16 peratus.

Mengenai 55 buah kenderaan Proton Preve yang diterima Bahagian Pengurusan Pematuhan untuk kegunaan Pegawai Audit GST hari ini, Khazali berkata, kenderaan baharu itu dapat meningkatkan tahap kecekapan operasi dan memastikan semua perniagaan yang telah berdaftar GST mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Kenderaan berkenaan diserahkan kepada negeri-negeri berdasarkan jumlah perniagaan yang berdaftar dengan GST, katanya.

JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerima kenderaan paling banyak iaitu lapan unit, diikuti Selangor (enam), Sabah (lima), Sarawak (lima), Pulau Pinang (lima) dan Johor (lima).

Negeri-negeri lain yang turut menerima kenderaan baharu ialah Perak (tiga), Kelantan (dua), Pahang (dua) dan Negeri Sembilan (dua). Perlis dan Terengganu masing-masing menerima sebuah kenderaan baharu.

Katanya kenderaan selebihnya akan diserahkan kepada negeri-negeri berdasarkan keperluan.

UTAMAEKONOMIGST: Kastam terima penyata cukai pertama bulan depan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium