30.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, January 21, 2021

Guru Besar Hilang: Baju ‘kelawar’ bukan milik Jashiah

guru-besar-hilang-kuala-kubu-bharu-baju-kelawar

KUALA KUBU BHARU: Polis mengesahkan penemuan sehelai pakaian di lokasi pencarian Kampung Orang Asli Buloh Telur di Kuala Kubu Bharu dekat sini tidak berkaitan dengan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Keramat yang hilang sejak 23 Oktober lalu.

Pakaian berkenaan iaitu baju ‘kelawar’ ditemukan kira-kira 1 kilometer dari lokasi pos pencarian pada pukul 10 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kubu Bharu, Superintenden R. Supramaniam berkata, pengesahan tersebut dilakukan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9).

Ujarnya, dua ekor anjing pengesan daripada unit tersebut juga digunakan untuk menjejaki Jashiah Rabu, 53, dalam jarak 1 km radius, bagaimanapun, sehingga pukul 6.30 petang ini masih belum me­nemukan sebarang bukti.

“Sehingga kini belum ada penemuan berkaitan Jashiah. Tapak kaki yang dijumpai pada Khamis lalu juga bukan milik mangsa manakala bungkusan makanan yang ditinggalkan masih dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Supramaniam berkata, pihaknya turut menggunakan kamera jenis ‘thermal’ untuk melihat mangsa dalam jarak 500 meter dari pos operasi.

Jelasnya, kamera yang disediakan pihak swasta itu berkeupayaan mengesan suhu badan manusia pada jarak jauh kerana dilengkapi sensor inframerah.

Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan Jashiah untuk menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu operasi pencarian tersebut.

Operasi ke-13 SAR dipecahkan kepada empat sektor yang meliputi bahagian utara, selatan, barat dan timur hutan itu.

Jashiah turut dilihat berjalan seorang diri di sekitar perkampungan Orang Asli Buluh Telur berke­naan menuju ke Bukit Kutu berhampiran.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.