Hampir Semua Masjid Seluruh Negara Mengadakan Solat Hajat Untuk Rakyat Palestine Kecuali Di Kelantan

Hampir semua masjid seluruh negara menunaikan solat Jumaat dengan bacaan qunut Nazilah serta solat hajat bagi mendoakan keselamatan penduduk Palestin yang sedang berdepan dengan kekejaman Israel. Khutbah Jumaat khas juga disampaikan berkisar mengenai tragedi yang menimpa rakyat Palestin di Gaza ketika ini.

Serangan Israel ke atas wilayah Gaza sejak minggu lepas mengakibatkan lebih 100 penduduk Gaza terbunuh termasuk kanak-kanak dan warga tua, di samping mencederakan ratusan yang lain.

Dua hari lepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilaporkan meminta semua masjid dan surau mengadakan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan penduduk Palestin sebagai satu daripada inisiatif bagi menunjukkan sokongan Malaysia kepada penduduk Palestin.

Masjid utama di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia iaitu Masjid Negara, Masjid Putra, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Wilayah Persekutuan serta seluruh masjid di Wilayah Persekutuan juga berbuat demikian, di samping menyampaikan khutbah khas Jumaat hari ini.

Selesai solat Jumaat, Perdana Menteri bersama makmum yang lain menunaikan solat hajat dua rakaat sebelum beredar, dan yang turut kelihatan di masjid ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Di KUALA LUMPUR, kira-kira 7,000 jemaah menunaikan solat hajat dan bacaan qunut Nazilah dengan diimamkan oleh Imam Masjid Negara Amru Al Haz Adnan.

Amru Al Haz berkata Masjid Negara mengadakan solat sunat hajat pada setiap kali solat fardu bagi memohon kepada Allah SWT untuk mengurangkan penderitaan masyarakat Palestin.

“Solat sunat ini akan berterusan sehingga isu ini selesai. Kesedaran umat Islam semakin meningkat kerana mereka sanggup meluangkan masa pada setiap kali solat fardu untuk bersolat hajat,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau juga memohon orang ramai untuk sama-sama mendoakan keamanan dan kesejahteraan penduduk Gaza daripada terus diperangi.

“Mereka harus menunjukkan bantahan dengan cara masing-masing. Malaysia sendiri boleh memainkan peranan dengan menghantar memorandum bantahan kepada kedutaan Amerika,” katanya.

Di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta di sini, hampir 15,000 jemaah mendengar khutbah bertajuk ‘Tangisan Gaza’ yang dibacakan Penolong Pengarah Masjid Mohd Ashraf Ibrahim, yang turut mengimamkan solat hajat selepas selesai solat Jumaat.

Penjawat awam, Khairul Nizam, 21, berkata dengan adanya khutbah tentang menyelamatkan penduduk Gaza dan solat hajat ini melahirkan semangat jihad dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Kiriman doa itu penting sebab kita tak mampu ke sana. Jadi, doa ini adalah satu bentuk bantuan bagi penduduk Gaza untuk meneruskan hidup disamping bantuan lain yang boleh kita salurkan,” katanya.

Di GEORGE TOWN, hampir 100 umat Islam hari ini menyertai demostrasi aman anjuran Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) cawangan Pulau Pinang sebagai membantah kekejaman dan serangan Israel ke atas Gaza.

Demostrasi di hadapan Masjid Kapitan Keling itu diadakan selepas solat Jumaat dengan diketuai oleh Pengerusi KIMMA negeri Faruk Raja Mohamed.

Para peserta demostrasi turut membawa sepanduk dan pemidang yang tertera pelbagai bantahan terhadap kekejaman Israel dan gambar-gambar mangsa keganasan sambing melaungkan takbir.

Faruk berkata demostrasi itu adalah sebagai menzahirkan bantahan rakyat Malaysia terhadap kekejaman Israel terhadap umat Islam di Palestin.

“Serangan Israel ke atas Gaza adalah tidak berperikemanusiaan. Serangan ini hanyalah bertujuan mahu terus berperang dan rakyat Palestin di Gaza menderita di tangan rejim Israel,” katanya.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here