Friday - July 30, 2021 @ 00:32
BERITAMB Kedah terima kompaun, nilai tidak didedah

MB Kedah terima kompaun, nilai tidak didedah

GEORGE TOWN – Polis telah menyerahkan kompaun kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan memandu uji sebuah kenderaan di Auto City Juru, Bukit Mertajam dekat sini bulan lalu.

Bagaimanapun, Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain tidak menjelaskan nilai kompaun tersebut.

“Kompaun telah diserahkan semalam, nilai kompaun tanya kepada tuan badan sendiri,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Sebelum ini, laporan polis dibuat seorang individu selepas gambar yang mendakwa beberapa individu termasuk Muhammad Sanusi memandu uji sebuah kereta di pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh tersebar di dalam media sosial.

Kejadian itu didakwa berlaku pukul 6.30 petang 5 Jun lalu yang mana Muhammad Sanusi dilihat datang ke pusat terbabit bersama dua lelaki dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard milik Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA).

Dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily mengingatkan orang ramai agar tidak merentas negeri atau daerah bagi menyambut Hari Raya Aidiladha dan sekatan jalan raya akan terus diperketatkan bagi mengelakkan orang ramai melanggar arahan pihak berkuasa.

“Pihak polis telah menjalankan 46 sekatan jalan raya di negeri ini dan pada Sabtu lalu, sebanyak 30,406 kenderaan diperiksa dan 40 kenderaan diarah berpatah balik.

“Semalam pula, 25,608 kenderaan diperiksa dan 190 daripadanya telah diarahkan berpatah balik,” katanya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here