Pasar Minggu (Tamu) Jalan Gaya Kehilangan Nilai Warisan - pakdin.my

pasar-tamu-gaya-1

Barangan kraf serta keropas-kerapis tradisional pada satu ketika dahulu pernah mewarnai pasar minggu popular di Jalan Gaya, yang membayangkan kekayaan warisan kraf di Sabah.

Hari ini, bazar yang kembali setiap hujung minggu di atas jalan raya terawal di ibu negeri Sabah ini masih wujud tetapi dengan peredaran zaman ia sedikit demi sedikit kehilangan tarikannya sebagai hab warisan kraftangan Borneo.

Namun kerana warisan dan nilai sejarahnya, beribu-ribu pengunjung tempatan dan asing masih bertandang ke pasar minggu ini setiap Ahad dengan tempat ini kini di kelilingi hotel, kedai makan dan kedai lain yang menawarkan pelbagai pilihan.

Kedai-kedai, yang pada satu ketika dahulu lazimnya menjual barangan kraf, kini sudah berkurangan dan yang adapun banyak menjual kraf yang berasal dari negeri lain.

Bagaimanapun para pelawat masih boleh menemui kraf tempatan serta cenderahati lain yang unik kepada Sabah, yang antaranya perkakas dapur (dulang, pencanai, sudu dan garpu), barangan kemas tiruan dan banyak lagi yang sebahagian besarnya dibawa dari negara jiran, Indonesia.

Bagi mereka yang pernah ke pasar minggu Jalan Gaya pada 1970-an dan sehingga awal 1990-an, tarikan asli pasar ini sudah jelas tiada. Kini ia nampak lebih sebagai pusat komersial lazim di ruang terbuka.

pasar-tamu-gaya-2

ZAMAN TELAH BERUBAH

Bagi mereka seperti Aminah Ruji, seorang penjual kraf kayu di bazar Jalan Gaya, perubahan itu bagaikan tidak dapat dielakkan.

“Di manakah pembeli yang mahu membeli barangan kraf kayu? Hanya warga asing yang berminat dengannya sekarang.

Lagipun yang popular dalam kalangan pelancong adalah rantai kunci, pemegang lilin atau kayu yang diukir dengan kuple atau kata-kata dan bukannya barangan tradisional sebenar Borneo seperti gong, topeng dan arca.

Bilangan penjual kraf kayu Borneo, yang lazimnya terdiri daripada peniaga masyarakat Kadazandusun-Murut, di bazar ini semakin berkurangan dengan ketara dan mereka jarang boleh ditemui sekarang ini.

Bilangan pengukir yang semakin berkurang dan peningkatan dalam kos bahan termasuk kayu menyebabkan barangan seperti kraf kayu berkurangan, dan begitu jugalah terhadap bilangan peniaga kraf di bazar itu.

Lagipun, pembeli kini mempunyai banyak pilihan memandangkan banyak barangan cenderhati moden boleh didapati dengan mudah di pasaran.
pasar-tamu-gaya-3
DIAMBANG KEPUPUSAN

Pemilik kedai kraf banyak bergantung kepada tukang kraf tempatan dari kampung-kampung seperti di Tambunan, Keningau, Kota Belud, Ranau, dan yang lain di pedalaman.

Mereka adalah golongan yang semakin pupus dan walaupun persaingan sengit daripada kedai cenderhati generasi baru, ada tukang kraf yang mengamalkan inovasi untuk memastikan kelangsungan hidup produk dan ketukangan mereka.

Selain mengendalikan gerai jualan, kebanyakan mereka menghabiskan banyak masa di bengkel di belakang kedai untuk menghasilkan produk kraf.

Tomirin Sungi, 72, adalah seorang daripada mereka. Tukang kraf ini berkata pembuatan kraftangan tempatan atau artifak tidak lagi menarik.

“Jika tiada usaha diambil untuk memuliharanya, warisan ini akan pupus sama sekali,” kata tukang kraf ini sambil menunjukkan sebuah gong yang diperbuat daripada gangsa dan kayu, dan Sompoton yang diperbuat daripada buluh tempatan.

“Ini diperbuat daripada kayu tempatan dan gangsa, dan nama tempatannya adalah Kulintangan,” katanya dan menambah bahawa bahagian kayu gong itu disapu varnis untuk menunjukkan keindahan urat kayu semulajadi.

Tomirin mengakui bahawa dengan peredaran zaman bazar ini kehilangan tarikannya sebagai titik tumpuan bagi pengusaha tradisional dengan pengusaha generasi baru kini menjual barangan cenderhati moden, surat khabar, haiwan peliharaan, ikan hiasan, barangan elektronik dan hiburan.

“Ia bukan seperti sebelum ini, di mana hanya barangan tradisional dan kraftangan tempatan dengan keunikan tersendiri dijual di Jalan Gaya,” keluh beliau.
pasar-tamu-gaya-4
CITARASA PENGUNJUNG TELAH BERUBAH

Walaupun pelbagai usaha diambil untuk memastikan bazar Jalan Gaya tidak kehilangan daya tarikan asalnya, kuasa pasaran nampaknya yang menjadi penentu.

Bazar ini didirikan untuk menggalakkan warga tempatan memasarkan barangan tempatan, seperti yang ditetapkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

“Kami mempunyai garis panduan akan produk yang boleh dijual di pasar minggu Jalan Gaya dalam usaha mengekalkan nilai warisannya, tetapi masih tiada lagi perubahan,” kata Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Joannes Solidou.

Ini kerana para pengusaha memilih untuk menjual produk-produk bukan tradisional yang menerima permintaan tinggi untuk mencari rezeki.

PASAR AWAM DAN MATLAMAT AWAM

Dr Romzi Otiong dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata bazar Jalan Gaya adalah nadi masyarakat, satu tempat untuk bertemu dan berinteraksi, dan satu persekitaran di mana aktiviti komuniti yang lain berlangsung.

“Pasar umum terdiri daripada perniagaan-perniagaan persendirian, milik tempatan, dan dikendalikan sendiri oleh pemiliknya, bukan seperti perniagaan francais yang mendominasi sektor peruncitan pada hari ini,” katanya.

Jalan Gaya telah lama dikenali kerana peranan pentingnya dalam integrasi sosial dan aktiviti ekonomi.

Mungkin ada yang memikirkan pasar Jalan Gaya harus kembali ke konsep asalnya mempamerkan kekayaan warisan kraf di Sabah, tetapi ini adalah satu pasaran dinamik yang akan sentiasa berubah untuk memenuhi aspirasi pengunjungnya.

UTAMABERITASABAHPasar Minggu (Tamu) Jalan Gaya Kehilangan Nilai Warisan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium