Pemimpin PUTRA Kedah didakwa cabul bekas ahli - pakdin.my

SUNGAI PETANI: Seorang bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Kedah yang juga salah seorang pemimpin Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) negeri ini didakwa mencabul bekas ahli wanita parti berkenaan.

Dalam kejadian 9 Ogos lalu kira-kira 8.30 malam, bekas exco berkenaan didakwa menelefon wanita terbabit yang ketika itu masih bergelar ahli PUTRA memaklumkan ingin menjemputnya keluar bagi urusan parti.

Bagaimanapun, beliau dikatakan membawa wanita itu ke lokasi lain sebelum cuba melakukan perbuatan tidak senonoh.

Bekas Ketua Penyelaras PUTRA Bahagian Kulim dan Bandar Baharu, Datuk Noridan Spee Yee, berkata berikutan itu wanita berkenaan membuat laporan polis kelmarin, selepas masalah itu tidak dapat diselesaikan di peringkat dalaman parti.

Noridan turut mendakwa dirinya dituduh cuba memecah belah parti yang berusia tidak sampai enam bulan itu apabila beliau membantu wanita berkenaan menyelesaikan masalah itu.

“Sepatutnya isu ini sudah selesai lebih awal apabila pemimpin berkenaan mengakui perbuatan yang dilakukannya itu di hadapan saya dan juga dua saksi yang lain.

“Namun, Khamis lalu, beliau mendakwa kami berbohong dan cuba memburukkan dirinya manakala parti di peringkat pusat pula meminta kami mengemukakan bukti sekiranya ingin mengambil tindakan terhadap beliau,” katanya dalam satu sidang media di sini, malam tadi.

Noridan berkata, kesal dengan tindakan parti yang seolah-olah tidak memandang serius dengan isu berkenaan, beliau bersama kira-kira 1,750 ahli PUTRA bahagian Kulim dan Bandar Baharu serta bahagian Jerai mengumumkan keluar daripada parti berkenaan.

“Kami kecewa apabila isu membabitkan maruah seorang wanita tidak dipandang serius oleh parti yang dianggap sebagai pembela bangsa Melayu ini.

“Apa pun kami serah kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut berkaitan isu ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata suspek akan dipanggil dalam masa terdekat untuk memberi keterangan.

“Kita sudah rakam percakapan beberapa orang saksi bagi kes ini.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul,” katanya.

UTAMABERITAPemimpin PUTRA Kedah didakwa cabul bekas ahli

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium