25.4 C
Kuala Lumpur
Monday, October 26, 2020

Peplum Pilihan Terkini Baju Raya

Peplum Pilihan Terkini Baju Raya

Setiap kali Syawal menjelang kita pasti akan melihat pelbagai fesyen baju digayakan, tidak kira kanak-kanak mahupun dewasa baik lelaki mahupun wanita semuanya ingin tampak bergaya pada hari lebaran.

Jika dahulunya baju kurung tradisonal dan baju Melayu Teluk Belanga dan cekak musang lazimnya menjadi pakaian wajib pada pagi raya, namun kini ia bukan lagi satu kemestian.

Faktor ledakan fesyen dengan kemunculan ramai pereka muda yang baru ditambah dengan pelbagai fabrik yang berada di pasaran termasuk yang diimport dari Vietnam, maka tidak hairanlah pelbagai fesyen baju kurung mahupun baju Melayu kini berada di pasaran.

Trend yang paling popular dalam kalangan wanita terutama remaja pada masa kini ialah peplum, baju yang sekali pandang kelihatan seperti ala-ala pakaian biduanita terkenal negara, Allahyarhamah Saloma dengan cekak di bahagian pinggang dan kembang di bawahnya.

Fabrik yang digunakan pula biasanya adalah dari jenis lace dan sifon dengan pemilihan warna yang digunakan biasanya agak terang.

Manik dan labuci juga digunakan di bahagian leher untuk menambah lagi seri pada baju peplum digayakan oleh si pemakai.

PEPLUM MENDAPAT PERMINTAAN TINGGI

Bagi pemilik butik Koleksi Dang Anum Tengku Ahmad Rosli Tengku Abdullah, 42 yang bertempat di Plaza Angsana Johor Baharu, peplum memang menjadi kegilaan remaja dan dijadikan sebagai fesyen pilihan untuk bergaya pada hari lebaran nanti.

“Jika sebelum ini, baju kurung moden atau Pahang dan jubah menjadi pilihan, tahun ini jika dilihat kebanyakan butik menjual peplum kerana ia mendapat permintaan yang tinggi terutama dalam kalangan remaja wanita.

“Manakala untuk lelaki pula baju Melayu Cheongsam adalah antara yang menjadi pilihan pada ketika ini,” katanya.

Menurutnya, peplum serta baju lain yang dijual di kedainya selain diperoleh dari Vietnam, ia juga direka sendiri oleh kakaknya Datin Tengku Nor Azizan dan dihantar untuk dijahit di sebuah kilang di China.

Beliau berkata, peplum yang dijual di butiknya terdiri daripada dua jenis iaitu peplum yang berharga kurang daripada RM150 dan yang berkualiti tinggi yang berharga daripada RM180 hingga RM300.

“Namun peplum ini hanya bersifat bermusim tidak seperti baju kurung tradisional yang tidak lekang dek zaman dan sesuai tidak kira remaja mahupun yang dewasa,” katanya yang telah membuka butik di tingkat dua Plaza Angsana sejak tujuh tahun lepas.

Selain peplum, butiknya turut menjual pelbagai jenis fesyen seperti baju kurung moden dan tradisional, blouse, jubah, baju Melayu, songket tenun dan songket.

HANYA BERMUSIM

Bagi seorang remaja Fitri Amirah Rahmat, 22 beliau menyediakan empat pasang baju raya pada tahun ini iaitu dua pasang baju kurung moden, sepasang peplum dan sepasang jubah.

“Peplum ini wajib sebab ramai rakan saya juga membeli peplum untuk untuk dipakai Hari Raya Aidilfitri nanti, tetapi bagi saya peplum hanya sesuai untuk dipakai pada hari-hari tertentu dan majlis khas sahaja tidak seperti baju kurung yang sesuai dipakai tidak kira masa,” katanya, yang juga penuntut tahun dua sarjana muda perniagaan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ia turut dipersetujui oleh ibunya Yuhanita Mohd Hata, 40, yang berpendapat peplum hanya sesuai untuk golongan muda dan baju kurung juga yang kebiasaannya akan menjadi pilihan wanita dewasa sepertinya.

BATIK TETAP JADI TARIKAN

Tinjauan di Plaza Angsana mendapati, selain penduduk tempatan butik-butik di kompleks membeli-belah yang telah berusia 15 tahun itu turut menjadi tumpuan pengunjung dari Singapura untuk mendapat keperluan raya termasuk baju raya.

Antara yang menjadi tarikan mereka ialah butik yang menyediakan pelbagai pilihan pakaian batik dan songket dari Terengganu iaitu butik Key Ell Collection.

Bagi pemiliknya Rohaya Mohamad, 42, tidak seperti butik lain, butiknya tidak menjual peplum dan memberi tumpuan kepada pakaian batik termasuk batik sutera, sutera satin jacquard dan sutera creep.

“Lagipun kain sutera atau batik tidak sesuai untuk dibuat peplum, jadi kita hanya menjual baju kurung tradisional seperti baju kurung Pahang dan Alhamdulillah juga mendapat sambutan yang baik dalam kalangan pelanggan terutama dari Singapura.

Menurutnya, butiknya kini mempromosi baju kurung dari jenis batik cotton yang harganya lebih murah daripada batik sutera dan lebih mudah dibasuh.

Katanya, batik cotton menjadi terutama di mereka yang baru bekerja kerana selain harga berpatutan kualitinya tidak kurang daripada batik sutera.






Berita Berkaitan

Awie ‘budak ajaib’ wira Kuala Besut

BESUT  ― Meskipun hanyalah orang biasa, namun nama Mohamad Najmi Daud kini menjadi popular...

4 pengadil dilayang ‘kad merah’

Tiada ihsan ke atas pengadil yang gagal melaksanakan tugas dengan baik selepas empat pengadil...

Mcphee mahu tebus kekecewaan di Aragon

Pelumba Petronas Sprinta Racing John McPhee menyasarkan kedudukan podium pada dua perlumbaan berturut-turut iaitu...

[Video] Jaring gol tunggal perlawanan, Luqman syukur bantu KV Kortrijk menang

Pemain muda bola sepak negara Luqman Hakim Shamsudin bersyukur selepas berjaya menjaringkan gol tunggal...

Komen

..

Dah memang cara Mahathir dari dulu, Najib beritahu Ram Karpal

Ahli Parlimen DAP Ramkarpal kata dia kesal pernah kerjasama dengan Tun Mahathir. Ramkarpal juga dakwa Tun Mahathir telah musnahkan sistem kehakiman untuk penjarakan ramai orang...
993PeminatSuka
4,100PengikutMengikut
3,359PengikutMengikut
11,000PelangganLanggan