Rendang Maman Terkenal Di Gemencheh, Negeri Sembilan - pakdin.my

“Maman” ialah sejenis sayur-sayuran yang kebiasaannya akan dijeruk dan dimakan bersama nasi.

Di Negeri Sembilan terutama di Gemencheh, maman cukup popular untuk dijadikan ramuan utama masakan rendang ayam, daging atau ikan bilis.

Rendang maman ini pula boleh dimakan bersama nasi, ketupat, lemang dan nasi empit.

Maman atau nama saintifiknya “Cleome Gynandra” adalah sayuran yang boleh tumbuh dan dituai sepanjang tahun.

Ia hanya mengambil masa selama 25 hari sebelum boleh dituai dan penjagaan pokoknya yang berbatang lembut juga tidak cerewet.

JUADAH PENTING PERAYAAN

 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Gedok, Gemencheh, Fahim Mahmud, 49, berkata rendang maman ini bukan saja diminati oleh orang Melayu, malah kaum India dan Cina di daerah ini.

Malah, katanya ia menjadi juadah penting pada Hari Raya, sambutan Tahun Baru Cina dan Deepavali oleh masyarakat di sini.

“Rendang maman boleh dikatakan satu juadah kemestian pada setiap hari raya. Kalau tidak ada rendang maman, raya tak meriahlah. Jangan pelik kalau masyarakat Cina dan India di sini pun sudah pandai masak rendang maman. Rendang maman begitu sinonim dengan masyarakat di Gemencheh dan sekitar daerah Tampin,” katanya kepada Bernama.

“Hidangan tradisi ini turut menjadi juadah pilihan pada majlis kenduri dan menu seharian masyarakat Gemencheh apatah lagi jika ada anak yang balik bercuti ke kampung,” katanya.

Fahim berkata rendang maman juga kini menjadi juadah utama majlis keramaian di Negeri Sembilan amnya dan daerah Tampin khususnya.

Katanya, kalau ada orang kenamaan datang ke Negeri Sembilan atau Tampin, rendang maman Gemencheh adalah satu kemestian untuk menu hidangan.

Antara orang kenamaan yang pernah menikmati rendang maman ini ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

TANAM SKALA BESAR

Beliau, yang mengusahakan kebun maman seluas 3.2 hektar, berkata permintaan begitu menggalakkan terutama pada musim perayaan di mana kajian di kawasan Gemencheh khususnya mendapati keperluan untuk hari raya dan hari perayaan lain berjumlah kira-kira 10 tan.

“Tanaman maman ini dibuat secara berperingkat-peringkat bagi memenuhi bekalan secara berterusan. Dulu kita tanam secara kecil-kecilan tetapi ekoran permintaannya yang tinggi kita mengambil inisiatif mengusahakannya secara besar-besaran.

Berikutan permintaan tinggi terhadap sayuran ini, pengusaha tanaman maman mampu meraih pendapatan lebih RM8,000 sebulan.

ASAM KEPING HILANGKAN PAHIT

Rendang kering maman

 “Sayur maman ini memang pahit tapi kita ada petua untuk menghilangkan pahitnya. Jika pandai memasaknya ia akan menjadi sedap dan enak dimakan terutama apabila dibuat rendang. Rendang maman ini memerlukan santan yang banyak, lada api yang secukupnya dan asam keping untuk menghilangkan rasa pahit maman,” katanya.

Sementara itu, guru Sekolah Kebangsaan Datuk Abdullah, Gemenchah, Rosnah Abdullah, 43, berkata kunci untuk mendapatkan rendang maman yang sedap adalah cara penyediaannya yang masih mengekalkan cara lama selain menggunakan bahan-bahan utama secukupnya.

“Bahan untuk memasak rendang maman cuma santan, kunyit hidup, cili api, asam keping dan garam secukup rasa. Daging yang telah disalai dimasukkan ke dalam kuali bersama cili dan kunyit yang ditumbuk halus.

“Selepas bahan-bahan tadi mesra, masukkan santan yang telah diperah. Santan jangan terlalu cair dan terlalu pekat. Biasanya untuk sekilo maman, dua hingga tiga biji kelapa diperlukan,” katanya yang berasal dari Kampung Gedok.

Memandangkan sayur maman ini pahit, asam keping perlu digunakan untuk menghilangkan rasa pahit. Untuk sekilogram maman, kira-kira enam hingga tujuh keping asam diperlukan.

“Selepas santan menggelegak dan mula mengering, barulah sayur maman dimasukkan. Ia kemudian dimasak sehingga santan kering.

“Pada tahap ini, ada syarat penting yang perlu dipatuhi, maman jangan dikacau selalu, jika tidak sekawah rendang akan pahit,” katanya.

UTAMARendang Maman Terkenal Di Gemencheh, Negeri Sembilan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium