Ribuan pengunjung banjiri Rumah Terbuka PM, Kabinet - pakdin.my

PUTRAJAYA – Suasana sambutan Aidilfitri tahun ini meriah apabila ribuan pengunjung membanjiri kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di sini bagi menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri yang dihoskan Datuk Seri Najib Tun Razak dan menteri Kabinet.

Orang ramai mula beratur seawal 9 pagi untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Raya’ kepada Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Majlis rumah terbuka dijadual bermula 10.30 pagi dan berakhir pada 4 petang.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim serta menteri Kabinet.

Setakat 1.30 tengah hari, lebih 20,000 pengunjung mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Perdana Menteri dan isteri, serta menteri Kabinet.

Antara kenamaan yang hadir bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam.

Najib kelihatan segak berbaju Melayu merah jambu gelap manakala Rosmah berbaju kurung warna jingga.

Halaman Seri Perdana bertukar dan kelihatan seperti lautan rakyat apabila pelbagai lapisan masyarakat mengambil peluang untuk bertemu pemimpin nombor satu negara itu.

Terdapat juga diplomat, pemimpin politik kedua belah pihak, pelancong serta pemimpin badan bukan kerajaan (NGO).

Turut kelihatan bersalam dengan Najib dan menteri kabinet ialah pemenang pingat perak Sukan Olimpik London Datuk Lee Chong Wei dan penyanyi veteran Datuk DJ Dave.

Pengunjung disajikan dengan pelbagai juadah, kebanyakannya menu tempatan seperti sate, rendang, lemang, ketupat dan nasi himpit, serta menerima pek
oleh-oleh manakala kanak-kanak diberi duit raya.

Kira-Kira 112,000 pek oleh-oleh yang dibungkus khas disediakan untuk pengunjung sebagai tanda penghargaan.

Pada 2 petang, Najib dijadual berada di pentas rakyat untuk memotong kek sempena Aidilfitri dan bertemu rakyat.

Di luar Seri Perdana, lebih 20 khemah didirikan, lengkap dengan kerusi dan meja, bagi membolehkan pengunjung menikmati juadah sambil dihiburkan dengan persembahan artis tempatan.

 

 

 

UTAMABERITARibuan pengunjung banjiri Rumah Terbuka PM, Kabinet

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium