25.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 29, 2020

Teks Penuh Ucapan Perdana Menteri Pada Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 Dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan

najib-razak-ucapan-perasmian-persidangan-asean-2015

Berikut teks penuh ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Pagi,

Yang Mulia Tuanku,

Ketua-ketua Negara dan Kerajaan,

Tuan-tuan Yang Terutama,

Tuan-tuan dan puan-puan,

1. Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya dengan berbesar hati mengalu-alukan kedatangan tuanku, semua pemimpin ASEAN dan semua orang ke Kuala Lumpur dan hadir pada upacara perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang-Siadng Kemuncak Berkaitan.

Dif-dif Kehormat, rakan-rakan sejawatan dan rakan-rakan yang dihormati,

2. Saya akan mulakannya dengan berbicara kepada anda tentang langkah penting yang kita dalam ASEAN bakal laksanakan. Namun, kejadian dalam beberapa hari dan minggu kebelakangan ini telah membayangi kita semua. 170 orang maut susulan serangan di Paris dan Beirut. 224 nyawa terkorban dalam kejadian pengeboman jet penumpang Rusia di gurun Sinai. Dalam minggu ini pula, seorang rakyat Malaysia yang tidak bersalah telah dipenggal kepalanya di selatan Filipina. Dan, semalam, banyak yang dijadikan tebusan dan nyawa diragut di Bamako, Mali.

3. Tiada seorang pun di dalam dewan ini yang tidak terkejut dan bingung dengan kejadian kejam ini yang meremehkan nyawa manusia dan kebinasaan ke atas anggota keluarga dan masyarakat. Negara-negara kita turut berkabung. Kami semua berkongsi kesedihan ini.

4. Pelaku yang melakukan tindakan pengecut dan tidak berperikemanusiaan ini tidak mewakili mana-mana bangsa, agama dan fahaman, begitu juga kita tidak boleh membenarkan mereka mendakwa kononnya berbuat demikian. Mereka ialah pengganas dan perlu didepani sewajarnya, dengan penguatkuasaan undang-undang sepenuhnya.

5. Malaysia bersedia menghulurkan sebarang bantuan dan sokongan setakat yang kami boleh, dan memberi jaminan bahawa kami bersama-sama anda dalam memerangi kejahatan baharu ini yang telah mencemarkan nama Islam.

6. Kita senantiasa berwaspada terhadap ancaman ini yang benar-benar berlaku di rantau kita. Militan dan kumpulan setempat, seperti Abu Sayyaf, telah mengisytiharkan sokongan terhadap kumpulan dikenali Islamic State. Merekalah yang telah membunuh dengan kejam warganegara kami, Bernard Then, pada Selasa.

7. Kita perlu mengakui bahawa masalah ekstremisme pada hari ini memerlukan penyelesaian-penyelesaian baharu.

8. Difahamkan, banyak yang mahu memerangi dan menyingkirkan kumpulan Islamic State ini daripada kawasan-kawasan yang telah mereka rampas daripada berjuta-juta rakyat Syria dan Iraqi. Tetapi penyelesaian dari segi ketenteraan sahaja tidak memadai untuk menumpaskan mereka yang apabila melihat keamanan, dan mahu mencetuskan perang. Mereka yang apabila melihat ketenteraman dan ketamadunan, dan mengharapkan tiada yang lain selain daripada huru-hara dan kematian. Yang apabila melihat kemakmuran dan kebudayaan, dan tidak sabar untuk melakukan kebinasaan dan kemusnahan.

9. Ideologi ini yang diperjuangkan oleh ekstremis, yang menjadi punca kepada keganasan sadis ini; dan dalam tragedi ini, kita tidak boleh terlepas terlepas pandang akan hakikat bahawa ideologi itu sendiri perlu didedahkan berserta pembohongannya – dan ditumpaskan. Kerana ia bukan ajaran Islam. Tidak sama sekali.

10. Telah dinyatakan dengan jelas dalam kitab suci al-Quran bahawa sesiapa yang mengambil nyawa orang secara salah, “ia seolah-olah telah membunuh seluruh manusia”. Bunuh diri – di bawah apa juga keadaan, usah pedulikan pengebom berani mati yang membunuh insan-insan tidak bersalah – dua-duanya adalah dosa besar. Dalam satu hadis, diriwayatkan Nabi Muhammad telah bersabda bahawa Allah mengharamkan Syurga bagi sesiapa yang membunuh diri — apatah lagi nyawa mereka yang tidak bersalah.

11. Kita perlu mengkaji semula kenapa seseorang itu terperdaya untuk mengikut ideologi terpesong ini – apa tujuan mereka? Tetapi kita perlu jelaskan: ia terang-terangan mempersendakan agama yang menganjurkan keamanan, keadilan dan kesederhanaan ini.

12. Lebih penting lagi, konsep yang terakhir, kesederhanaan, kita amat perlukannya di seluruh dunia. Kesederhanaan, atau wasatiyyah, ialah jantung Islam. Ia adalah suruhan yang terkandung dalam al-Quran yang orang Islam tidak boleh tidak patuhi. Tetapi kesederhanaan bukan hanya milik kita. Ia merupakan pendekatan tanpa keganasan dalam menyelesaikan konflik yang terpahat dalam sejarah.

13. Inilah bagaimana Gandhi, Nelson Mandela dan Martin Luther King memenangi hati dan minda musuh-musuh mereka, dan menyelesaikan konflik dan ketidakadilan yang mereka masing-masing cuba atasi. Mereka menang dengan cara mengubah musuh mereka untuk menjadi rakan. Ia memerlukan usaha berani.

14. Apabila Jesus, atau Nabi Isa, seperti yang umat Islam panggil bagi seorang daripada rasul utama kami, berkata” Rahmat ke atas pendamai”, baginda memuji mereka yang sanggup berdepan dengan apa juga dugaan. Tiada yang mudah atau senang mengenai kesederhanaan.

15. Ia merupakan kosep yang diterapkan dalam Cara ASEAN, dan sesuatu yang amat dekat di hati kami di sini di Malaysia, di mana gabungan anutan agama dan etnik yang unik yang boleh memecah-belahkan kami; tetapi sebaliknya telah menguatkan kami.

16. Ingatan dan doa kami semua – Islam, Hindu, Buddha, Kristian, dan mereka yang menganut agama lain – bersama-sama dengan rakyat di Rusia, Perancis, Lubnan dan Mali, kerana mereka dan keluarga mereka telah menjadi mangsa pengeboman di Ankara, Turki pada bulan lepas, dan juga rakyat Syria dan Iraq, yang telah menanggung penderitaan sejak sekian lama.

17. Kami berdoa bahawa dunia yang lebih aman dan sederhana akan pada satu hari kelak akan dapat menghapuskan ideologi kejam dan suka membunuh ini yang akan menjadi tinggalan sejarah sahaja.

18. Mari kita mulakan usaha itu hari ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

19. Anda semua berada di sini di Kuala Lumpur pada saat bersejarah bagi 10 negara anggota persatuan ini. Esok, kita akan secara rasminya mengisytiharkan penubuhan Komuniti ASEAN pada 31 Disember 2015, lambang usaha keras selama berdekad-dekad untuk mengintegrasikan, untuk menyepadukan dan melangkah ke depan bersama-sama.

20. Ia adalah hari yang kita telah nanti-nantikan selama ini. Ia adalah hari yang kita – ASEAN – boleh banggakan.

21. Kita telah mengekalkan cita-cita tinggi yang kita tetapkan untuk diri kita menerusi tiga pelan tindakan komuniti – ekonomi, politik-keselamatan, dan sosiobudaya.

22. Pertumbuhan kita amat mengagumkan. Dan ASEAN kian dilihat bukan sahaja sebagai amat penting kepada ekonomi dan struktur keselamatan global, tetapi juga sebagai rantau yang menawarkan banyak peluang.

23. Sepertimana kata-kata seorang CEO sebuah kumpulan perbankan antarabangsa terkemuka pada awal tahun ini, “Terdapat gergasi di Asia, melakukan perubahan terhadap plat tektonik pembuatan, perdagangan, perkhidmatan dan ekonomi global. ASEAN ialah horizon akan datang.”

Tetapi, Tuan-tuan dan Puan-puan,

24. Benarkan saya untuk mencadangkan kepada anda supaya pejamkan mata anda sebentar, dan bayangkan anda hidup di rantau ini pada hari ini – tanpa ASEAN. Apakah keadaannya?

25. Adakah kita tinggal di rantau yang aman seperti pada hari ini? Adakah kita menikmati standard kehidupan yang sama? Adakah gabungan keselurahan KDNK kita meningkat kepada 2.6 trilion US dollar pada tahun lepas, meningkat hampir 80 peratus dalam 7 tahun? Adakah kita mempunyai tahap perhubungan yang sama? Adakah kita bercakap mengenai kita sebagai rantau yang paling dinamik dan mempunyai masa depan cerah di bumi ini?

26. Jelas sekali, jawapannya ialah ‘tidak’ – kita tidak akan menjadi kita hari ini, tanpa ASEAN. ASEAN melangkau lebih jauh daripada melaksanakan tugasnya dan merupakan suatu kejayaan besar.

27. Dengan lebih 240 juta umat Islam, 140 juta penganut agama Buddha, 130 juta penganut Kristian dan berjuta-juta penganut Hindu, Sikh, Confucius, Tao dan lain-lain, di samping pelbagai etnik berbeza, Asia Tenggara pernah dirujuk sebagai ‘Balkan Timur”.

28. Kita, tulis seorang cendekiawan, merupakan satu “cultural and political fault zone” (zon budaya dan politik yang tidak setara”). Berikutan wujudnya kepelbagaian ini, sambung beliau, “perang pemisah akan muncul sebagai akibat yang lazim.”

29. Dan setengah abad lepas, kita merupakan sekumpulan negara membangun di satu rantau yang penuh dengan konflik dan ketidakstabilan.

30. Itu boleh diteruskan. Lihatlah di sekeliling dunia, anda akan dapati banyak negara yang menyambut ketibaan fajar kemerdekaan dengan penuh girang, tetapi merasai kepahitan abu kekecewaan apabila mereka mendapati diri mereka, beberapa dekad kemudiannya, dibelenggu kemiskinan, kejahilan dan terjerumus ke dalam kancah peperangan yang tercetus akibat keegoan para pemimpin, yang tidak mempunyai kaitan dengan kepentingan negara.

31. Kita di Asia Tenggara juga boleh menjadi seperti negara maju, yang selera mereka untuk bersaing sering mendorong mereka untuk mencetuskan perang ekonomi, sambil berpegang pada prinsip “yang kuat akan terus hidup”, hingga tercetusnya peperangan sengit bagi merebut kekayaan dan kehebatan – kerana mempercayai bahawa untuk menang, pihak yang satu lagi mesti kalah.

32. Sebaliknya, kita melakukan sesuatu yang hebat. Kita memilih cara lain. Pada 1967, datuk nenek kita membentuk sebuah pertubuhan yang kemudiannya berkembang untuk dianggotai 10 negara hari ini. Dan kita telah melangkah maju serta bangkit bersama-sama, melalui cara ASEAN.

33. Kita menitikberatkan tentang pembinaan komuniti dan konsensus, bukan individulisme atau memburu objektif yang bersifat mementingkan diri sendiri. Tidak mengamalkan keganasan apabila tercetus sesuatu konfrontasi. Kesederhanaan, bukan ekstremisme. Menunjukkan hormat, bukan sahaja terhadap rakan, tetapi juga terhadap musuh kita kerana kita tahu bahawa sifat keji bukanlah suatu sifat terpuji. Mencari keamanan dan membina keamanan, bukan memarakkan lagi api sengketa dan perang.

34. Kita mempunyai pelbagai anutan kepercayaan dan etnik. Maka, kita perlu berganding bahu untuk mengatasi perbezaan yang wujud sesama kita.

35. Tetapi, dengan berjaya mengatasinya, kita menjadi contoh unik tentang bagaimana 10 negara boleh berkongsi satu visi. walaupun jumlah kita banyak, tetapi kita tetap satu iaitu sebagai ASEAN.

36. Saya percaya, kita berjaya berbuat demikian bukan hanya kerana adanya kesunggguhan politik. Ia juga kerana adanya nilai yang telah saya sebutkan tadi, yang telah berakar umbi dalam emosi dan budaya rakyat kita. Lebih daripada triti dan sidang kemuncak, nilai-nilai itulah yang mengikat ASEAN secara bersama dan, yang menjadi asas keyakinan bagi kita terhadap laluan yang telah kita lakar bersama.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

37. Saya telah menyentuh tentang cara ASEAN serta ideal dan nilai yang dikongsi rakyat kita. Namun demikian, kita perlu akui bahawa kita juga mempunyai cabaran. Cabarannya ialah menjadikan setiap seorang dari negara kita – daripada nelayan dan petani, hinggalah kepada peniaga tukaran asing di menara baharu yang bersinar megah – merasai bahawa di dalam hati mereka, mereka bukan hanya menjadi sebahagian daripada ASEAN, tetapi adalah ASEAN – bukan sesuatu perkara mudah.

38. Bagaimanakah kita hendak mejadikan ASEAN sesuatu yang menyentuh kehidupan seharian rakyat kita? Bagaimanakah kita hendak menjadikan warga kita berasa secara langsung bahawa Komuniti yang bakal lahir esok itu adalah komuniti mereka? Selama ini, PERKARA ITU KELIHATAN SUKAR BAGI ASEAN.

39. Sebab itulah, hari ini, saya gembira apabila kita untuk julung kalinya memberi penghormatan yang berupa Anugerah Warga ASEAN kepada sepuluh individu dan organisasi kerana usaha mereka dalam membina komuniti.

40. Begitu juga, saya gembira kerana bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 ini, Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Keusahawanan 1ASEAN selama seminggu, yang menghimpunkn 15,000 usahawan muda dari seluruh ASEAN, sesetengah mereka ada bersama-sama kita di dewan ini hari ini.

41. Pada awal tahun ini, Malaysia melancarkan GOASEAN TV, saluran baharu berbahasa Inggeris yang memberi fokus kepada pengembaraan untuk menjadi platform bagi negara anggota ASEAN dalam mempromosikan pelancongan di ASEAN secara bersama – kepada dunia dan untuk satu sama lain.

42. Dan, baru semalam, kita menubuhkan ‘ASEAN Micro and SME Growth Accelerator Exchange’ untuk kewangan SME.

43. Ini adalah satu contoh praktikal dan ketara tentang bagaimana ASEAN membawa perbezaan secara nyata kepada syarikat yang gigih berusaha dan menjadi tulang belakang ekonomi kita.

44. Banyak lagi yang perlu kita lakukan dan sekarang, kita bakal menjadi satu Komuniti, dan kita terhutang budi kepada rakyat kita kerana membolehkan kita menumpukan usaha terhadap perkara tertentu serta membolehkan kita mengotakan apa yang telah kita katakan. Kita perlu mempunyai kejayaan besar untuk dilaporkan apabila kita bertemu selepas ini di Vientiane.

45. Terdapat banyak manfaat berhampiran kita yang boleh kita fokuskan. Sebagai contoh, kita perlu memastikan bahawa terdapat laluan khas bagi warga ASEAN di setiap pelabuhan antarabangsa, medan selera dan pasar raya. Kita perlu sediakan sepanduk untuk menonjolkan makanan ASEAN di cafe, warung, medan selera dan pasar raya.

46. Kita perlu beri keutamaan terhadap pelancaran Kad Perjalanan Perniagaan ASEAN serta memantapkan lagi program latihan ASEAN. Kita perlu tingkatkan promosi bagi festival ASEAN dan hubungan rentas budaya serta memastikan tiada pelajar yang menamatkan alam persekolahan mereka tanpa diajar tentang sejarah kita.

47. Kita perlu ada pasaran tunggal dan pangkalan pengeluaran yang telah kita katakan. Kita perlu mempunyai pergerakan barangan, perkhidmatan, tenaga mahir, modal dan pelaburan secara bebas. Ketika ini, wujud terlalu banyak sekatan bukan tarif, yang menjejaskan kehidupan harian dan guna tenaga di semua negara kita.

48. Kita perlu bertindak lebih sebagai ASEAN di rantau kita ini. Kita perlu bekerjasama bagi mencari penyelesaian terhadap masalah alam sekitar seperti jerebu, bencana alam, termasuk banjir dan gempa bumi, serta krisis migrasi.

49. Dalam hubungan ini, saya gembira kerana sebelum tengah hari nanti, kita akan menandatangani Konvensyen ASEAN bagi Menentang Pemerdagangan Orang, Terutama Wanita dan Kanak-Kanak.

50. Kita juga perlu bertindak lebih sebagai ASEAN di peringkat antarabangsa, yang akan dengan jelas menunjukkan bahawa kita akan lebih kuat apabila kita bertindak secara bersama, berbanding jika kita bertindak sendirian sebagai satu negara, agar orang lain di seluruh dunia, mengiktiraf serta menghormati kebangkitan kita dan apa yang telah kita capai setakat ini.

51. Ini termasuk memelihara keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan.

52. Kita memberi penekanan tentang betapa pentingnya menyelesaikan pertikaian secara aman, sejajar dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut. Kita menyeru semua pihak supaya mengawal diri masing-masing dan mengelak daripada mengambil tindakan yang boleh merumitkan dan menegangkan lagi keadaan.

53. Itulah cara ASEAN.

Namun demikian, Tuan-tuan dan Puan-puan,

54. Usah kita lupa tentang manfaat cukup besar yang telah dibawa pertubuhan ini kepada kita. Dalam bidang ekonomi, ASEAN membawa perbezaan secara langsung dari segi kewangan kepada beratus juta orang.

55. Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN, atau AFTA, telah mengurangkan tarif kepada sifar atau hampir sifar. Ini menurunkan harga barangan yng tidak terkira jumlahnya dan ia bererti, rakyat kita mempunyai lebih banyak wang untuk dibelanjakan bagi keluarga mereka. Tanpa AFTA, firma kita lebih sukar mendapat akses ke pasaran satu sama lain.

56. Tanpa ASEAN, kadar pengangguran akan lebih tinggi. Kadar keseluruhan dalam kalangan sepuluh negara kita secara perbandingan berada pada tahap rendah iaitu 3.3 peratus – yang bukan sahaja dikaitkan oleh para ahli ekonomi dengan kemampuan sesuatu negara, tetapi juga kejayaan ASEAN dalam menarik begitu banyak pelaburan langsung asing.

57. Tanpa ASEAN, rakyat kita tidak akan dapat menikmati perjalanan tanpa visa melalui sembilan daripada sepuluh negara anggota kita.

58. Tanpa ASEAN, dan Perjanjian Pengiktirafan Bersama yang kita wujudkan, para profesional kita akan lebih sukar untuk bekerja di negara satu sama lain.

59. Di samping itu, liberalisasi dan integrasi secara lebih meluas pula telah memberi lebih banyak ganjaran kepada kita: menurut anggaran, langkah yang kita laksanakan di bawah Komuniti Ekonomi ASEAN akan meningkatkan keseluruhan KDNK ASEAN sebanyak 7 peratus menjelang 2025. Ini merupakan satu keuntungan bagi ekonomi kita yang berjumlah beratus bilion.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

60. Pada sidang kemuncak ini, kita juga akan menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2025: Bersama Melangkah Ke Hadapan, yang merangkumi Visi Komuniti ASEAN.

61. Inilah caranya kita memanfaatkan dan meningkatkan proses integrasi bagi merealisasikan penubuhan Komuniti ASEAN yang berasaskan peraturan serta berorientasikan dan berpaksikan rakyat bagi merapatkan jurang pembangunan. Ia adalah satu dokumen yang bercita-cita tinggi dan sememangnya, cita-cita menjadi sebahagian daripada warisan kita.

62. Nenek moyang kita mempunyai cita-cita tinggi apabila mereka menandatangani Deklarasi Bangkok untuk menubuhkan ASEAN. Pemimpin kita sebelum ini begitu bercita-cita besar apabila mereka meluaskan pertubuhan ini, hingga menjadi 10 negara yang kita ada sekarang. Dan, adalah juga satu cita-cita apabila kita merancang agar ASEAN menjadi apa yang akan kita tubuhkan esok.

63. Iaitu: sebuah badan dengan Satu Visi, dan Satu Identiti; sebuah pertubuhan yang akan lahir kembali sebagai Satu Komuniti, bersedia untuk mengambil tempatnya di persada dunia sebagai satu kuasa baharu di rantau Asia-Pasifik dan rantau melangkauinya.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

64. Malaysia diberi penghormatan menjadi pengerusi ASEAN pada tahun ini dan saya ingin mengesyorkan bahawa selepas esok, kita merujuk kepada diri kita sebagai Komuniti ASEAN, suatu nama baharu yang sungguh bermakna untuk menjadi petanda bagi satu evolusi penting dalam pertubuhan kita ini.

65. Ini adalah masa bagi ASEAN – ini juga adalah masa bagi kita. ASEAN mampu dan perlu memainkan peranan utama dalam membentuk Abad Asia ini serta bekerjasama dengan rakan kita dari seluruh benua ini untuk membentuk dunia yang makmur, aman dan terbuka. Dunia di mana pembunuhan secara beramai-ramai oleh pengganas digantikan dengan toleransi, kesederhanaan dan pengiktirafan dengan sebenar-benarnya terhadap kemanusiaan kita bersama.

66. Kita mempunyai tugas penting dalam sejarah untuk memastikan bahawa apabila sesuatu cabaran menjelma, rakyat dan kerajaan di Asia Tenggara akan bersama-sama memikul tugas untuk menghadapinya.

67. Dengan itu, saya dengan sukacita dan penuh hormat merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 ini.

Terima kasih.

Berita Berkaitan

Isu peralihan Kerajaan Pusat? Istana Negara akan keluar kenyataan rasmi petang ini

Istana Negara dijangka akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi petang ini. Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan...

#PRNSabah: Perjanjian Malaysia MA63 mendapat perhatian penuh Najib Razak

Perjanjian Malaysia MA63 hanya mendapat perhatian penuh kerajaan BN dahulu semasa saya PM. Di zaman...

Komen

..

Wan Fahysal jangan angkuh, jangan melampau – Asyraf Wajidi

Waktu nak selamatkan Kerajaan Persekutuan, demi rakyat, UMNO-BN dengan kerusi terbesar 43 Ahli Parlimen, berjiwa besar mengalah kepada PPBM yang hanya ada 6 +...

#PRNSabah: Perjanjian Malaysia MA63 mendapat perhatian penuh Najib Razak

Perjanjian Malaysia MA63 hanya mendapat perhatian penuh kerajaan BN dahulu semasa saya PM. Di zaman sebelum itu, Tun Mahathir akan penjarakan sesiapa yang membangkitkan isu...

Arkib / Carian

993PeminatSuka
4,100PengikutMengikut
3,347PengikutMengikut
11,000PelangganLanggan