Tidak Banyak Aduan Kenaikan Harga Barang – Hasan Malek - pakdin.my

Petrol-pump

Tidak banyak aduan yang diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkaitan kenaikan harga barangan atau perkhidmatan ekoran kenaikan harga petrol RON95 dan diesel.

Menteri berkenaan Datuk Hasan Malek berkata, keadaan ini jelas membuktikan bahawa pengurangan subsidi bahan api itu yang diumum kerajaan sejak Selasa lalu tidak memberi implikasi besar terhadap kos operasi peniaga.

“Sehingga hari ini, aduan yang kita terima tidak banyak contohnya kalau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kita cuma terima tiga sahaja aduan mengenai kenaikan harga barang.

“Itu pun kita sudah hantar pegawai kita untuk memberi notis tunjuk sebab kepada mereka dan jika peniaga ini didapati sengaja menaikkan harga, mereka boleh dikenakan tindakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan Aidilfitri dan perasmian bangunan pejabat Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Malaysia, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada kementerian menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga barangan atau perkhidmatan ekoran pengumuman kerajaan mengurangkan subsidi petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen.

Hasan berkata, pengurangan subsidi bahan api itu yang membawa kepada kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen hanya memberi kesan sekitar 0.1 peratus terhadap kos keseluruhan peniaga.

Justeru beliau berkata, adalah tidak wajar peniaga bertindak menaikkan harga barangan memandangkan kesan kenaikan harga minyak itu terlalu kecil terhadap operasi perniagaan mereka.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para peniaga yang kebanyakan tidak menaikkan harga barangan dan memahami hasrat kerajaan yang mengurangkan subsidi ini untuk disalurkan kepada perbelanjaan lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kementeriannya akan sentiasa memantau harga barangan dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat mengenai peniaga yang menaikkan harga barangan di kawasan mereka.

UTAMATidak Banyak Aduan Kenaikan Harga Barang - Hasan Malek

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium