FGV labur RM2.55 bilion kuasai 37% syarikat ladang Indonesia - pakdin.my

Eagle High Plantation FGV

Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) membeli 37 peratus ekuiti syarikat ladang Indonesia, PT Eagle High Plantations Tbk (EHP) daripada Kumpulan Rajawali pada pertimbangan AS$680 juta (RM2.55 bilion).

Pembelian itu akan dibuat menerusi pembayaran AS$632 juta (RM2.37 bilion) secara tunai bagi 30 peratus kepentingan serta terbitan 95 juta unit saham baharu untuk baki tujuh peratus kepentingan berdasarkan harga saham RM1.86 yang bersamaan kira-kira 2.6 peratus saham FGV.

FGV juga bercadang mengambilalih antara 93.3 peratus hingga 95 peratus kepentingan dalam projek gula Rajawali Group dianggarkan bernilai AS$67 juta (RM251.5 juta) secara tunai.

Perjanjian Dasar Induk (HoA) bagi kedua-dua rancangan pembelian itu dimeterai antara FGV dan Rajawali Group di Jakarta, Jumaat.

FGV dalam kenyataannya berkata, ekuiti dalam EHP dan projek gula Rajawali Group akan dimiliki oleh anak syarikat milik penuhnya, FGV Kalimantan Sdn Bhd.

Ia berkata, selepas pengambilalihan selesai, FGV akan menjadi rakan kerjasama Rajawali Group dan konglomerat terkemuka di Indonesia itu akan kekal sebagai pemegang saham EHP serta mengawalnya.

“Transaksi ini terikat dengan pelaksanaan syarat tertentu, keputusan bersama, memasuki perjanjian muktamad, kelulusan pemegang saham FGV dan lain-lain kelulusan perundangan,” katanya.

EHP memiliki 425,000 hektar tanah dengan 67 peratus daripadanya di Kalimantan dan selebihnya di Papua (9 peratus), Sulawesi (19 peratus) dan Sumatera (5 peratus).

Daripada jumlah tanah berkenaan, hanya kira-kira 137,000 hektar sudah ditanam dengan profil umur 36 peratus kurang matang, 50 peratus muda dan 14 peratus matang manakala purata umur adalah lapan tahun.

FGV berkata, Rajawali Group adalah rakan kerjasama yang kukuh di Indonesia dan urus niaga itu membuka akses ke pasaran Indonesia sekali gus menawarkan potensi perolehan dan peluang jualan baharu menerusi rangkaian perhubungan konglomerat Indonesia berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah, berkata kerjasama dengan Rajawali Group akan meningkatkan keupayaan syarikat untuk mengembangkan perniagaan sedia ada.

“Dengan transaksi ini, kami akan menjadi pemain terbesar dan paling kukuh dalam sektor minyak sawit dunia selain berpeluang menikmati keberkesanan kos yang lebih baik di pasaran huluan dan hiliran,” katanya.

UTAMAEKONOMIFGV labur RM2.55 bilion kuasai 37% syarikat ladang Indonesia

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium