FGV Trading sasar pendapatan hingga RM8 bilion

fgv-trading-indonesia

FGV Trading, anak syarikat milik penuh Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), menyasarkan pendapatan di antara RM6 bilion dan RM8 bilion tahun ini.

Pelan transformasi FGV yang menyalurkan aktiviti perdagangan minyak melalui FGV Trading, menunjukkan pertumbuhan mengagumkan dengan pendapatan RM2.5 bilion dalam tempoh hanya empat bulan beroperasi sejak Februari.

Ketua Kelompok Perdagangan dan Pemasaran serta Logistik (TML), Datuk Khairil Anuar Aziz, berkata FGV Trading akan menjadi penyumbang kedua terbesar kepada pendapatan kumpulan, pada 34 peratus.

“Setakat ini FGV Trading telah memperdagangkan 1.3 juta tan metrik minyak sawit mentah (MSM) dan ini pencapaian yang baik untuk sebuah syarikat baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairil Anuar berkata, FGV Trading merancang untuk memperdagangkan 4.7 juta tan metrik MSM, 60 peratus MSM dalaman manakala selebihnya daripada sumber luar.

FGV Trading yang kini dipimpin Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Wira Adam, juga merancang untuk meneroka potensi minyak sayuran bernilai tinggi, seperti minyak kelapa dari Filipina untuk pasaran antarabangsa.

Pasaran tradisional termasuk China, Jepun, Bangladesh, India dan Pakistan, rantau Indo-China seperti Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos selain pasaran premium Eropah.

Sejajar dengan pengembangan bank tanah FGV dan peningkatan pengeluaran MSM, FGV Trading juga menyasarkan pasaran baharu di Asia Barat, Mediterranean, Afrika Utara, Eropah Timur dan Balkan.

Di samping segmen perdagangan, kelompok perdagangan, pemasaran dan logistik juga merancang untuk meningkatkan pendapatan melalui segmen logistik dengan meningkatkan kapasiti penghantaran minyak sawit kumpulan.

Melalui segmen logistik, pendapatan dijangka dijana melalui unit Pengendali Pengangkutan Pelbagai Modal (MTO) yang kini menyasarkan industri minyak dan gas di Rapid Pengerang, Johor.

Setakat ini, MTO telah menyumbang kira-kira 20 hingga 30 peratus kepada pendapatan tahunan untuk segmen logistik.

“Berdasarkan rekod lampau, Felda Transport Services Sdn Bhd (Felda Transport) mengangkut kira-kira enam hingga tujuh juta tan metrik produk MSM dan ia dijangka meningkat sejajar dengan pengembangan bank tanah,” kata Khairil.

Segmen Penyimpanan dan Pengendalian TML, Felda-Johore Bulkers, kekal sebagai penyimpanan minyak sayuran terbesar dan moden di dunia dengan keupayaan mengendali lapan juta tan metrik setahun dengan kapasiti menyimpan lebih 800,000 tan metrik.

Leave a Reply