Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Noor Mohamed Shakil Hameed berkata, hal ini kerana masalah tersebut dilihat sudah semakin menular dan agak membimbangkan sehingga boleh dikategorikan sebagai memudaratkan.
“Sudah terang lagi bersuluh. Apakah rakyat kita masih belum mampu memahami dan membezakan de­ngan urusan dan transaksi yang betul dan salah. Pihak berkuasa juga sudah berulang kali mendedahkan aktiviti sindiket ini, namun kita tetap terpedaya dan terus menjadi mangsa.
“Kita khuatir kesannya kelak boleh mendorong mangsa menjadi murung, sakit jiwa mahupun bertindak sehingga bunuh diri kerana membabitkan kehilangan dan kerugian jumlah wang yang sangat besar. Bayangkan akaun bank kita tiba-tiba kosong dan semua wang simpanan hilang dalam sekelip mata,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Laporan eksklusif Mingguan Malaysia Ahad lalu mendedahkan, dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dan membuat panggilan te­­lefon secara rambang, seba­nyak RM300,000 hingga RM1 juta duit rakyat Malaysia berjaya ditipu dalam tempoh sebulan oleh sindiket Phone Scam yang ber­operasi di luar negara.
Dalam tempoh empat tahun beroperasi, sindiket didalangi rakyat tempatan itu telah memperdaya ribuan orang sehingga mengakibatkan kerugian RM55.3 juta daripada 2,258 kes yang dicatatkan.
Sementara itu katanya, penularan kes seumpama itu yang dilihat meningkat secara mendadak sejak empat tahun lalu membuktikan betapa rakyat Malaysia masih leka dan mudah terpedaya.
“Cukuplah apa yang telah berlaku. Kita wajar bertindak dengan segera untuk menghentikan jenayah ini. Pengguna perlu bijak, berani dan tegas untuk mengatakan tidak kepada mana-mana individu yang membuat panggilan untuk mendapatkan maklumat peribadi seperti kata laluan ataupun meminta untuk memindahkan wang ke akaun ketiga yang tidak dikenali,” katanya.