Utama DUNIA Boleh tanam 10 pokok ganja saja

Boleh tanam 10 pokok ganja saja

Jawatankuasa Draf Akta Kanabis dan Hemp Thailand memutuskan untuk mengehadkan hanya 10 pokok ganja yang boleh ditanam bagi kegunaan isi rumah.

Jawatankuasa turut menetapkan keluasan tanah bagi menanam kanabis untuk perusahaan kecil, sederhana dan besar.

Jurucakap jawatankuasa itu, Panthep Puapongpan berkata, keputusan berkenaan akan dibahaskan di Dewan Rakyat bagi bacaan kedua dan ketiga selepas bacaan pertama diluluskan pada 8 Jun lalu.

Rang undang-undang itu dirangka bagi mengawal penggunaan, penjualan, import dan eksport tumbuhan dan ekstrak kanabis, namun tidak menetapkan jumlah tertentu yang boleh ditanam seorang individu sebelum ini.

Panthep menjelaskan perusahaan kecil bagi tanaman kanabis merujuk kepada keluasan tanah tidak melebihi 0.8 hektar, manakala perusahaan sederhana bagi tanah kurang 3.2 hektar dan sebarang tanah melebihi 3.2 hektar adalah perusahaan besar.

Bagaimanapun tiada had bagi jumlah kanabis yang boleh ditanam bagi tujuan komersial mengikut keluasan tanah berkenaan.

Fasiliti kesihatan yang mahu menanam kanabis untuk tujuan perubatan pula terhad kepada tanah berkeluasan 0.8 hektar sahaja.

Sejak Kementerian Kesihatan negara itu mengeluarkan kanabis dan hemp daripada senarai narkotik Kategori 5 berkuat kuasa pada 9 Jun lalu, hampir 900,000 individu memohon untuk menanam tumbuhan berkenaan dan jumlah itu dijangka terus meningkat.

Menterinya Anutin Charnvirakul dilapor berkata, ketika itu tiada had dikenakan untuk jumlah tanaman bagi kegunaan isi rumah, tetapi pemohon dilarang menggunakan bagi tujuan santai mahupun penagihan.

Beliau dilapor berkata, berdasarkan keputusan jawatankuasa, perusahaan sederhana dan besar perlu membayar lebih kepada kerajaan kerana pihak itu dijangka mengaut keuntungan berganda dalam pengeluaran kanabis, berbanding perusahaan kecil yang akan dikenakan cukai rendah.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Thailand menetapkan semua peniaga makanan dan pengusaha restoran supaya memohon kebenaran untuk memasukkan kanabis sebagai ‘perasa’ dalam makanan dan minuman mereka.

Timbalan Pengarahnya, Dr Atthaphon Kaewsamrit berkata, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dihukum penjara atau denda yang mengikut saiz premis.

Pemilik premis bersaiz lebih 200 meter persegi boleh dipenjara maksimum enam bulan dan atau denda 50,000 baht (kira-kira RM6,159), manakala kedai kecil berdepan penjara tiga bulan dan atau denda 25,000 baht (kira-kira RM3,079).

Exit mobile version