Tidak banyak perkara baru yang dimasukkan dalam pembentangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) 2016-2020 di Dewan Rakyat, Khamis.
Malah menurut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, banyak penegasan-penegasan di dalam pembentangan tersebut berpandu kepada kesinambungan inisiatif-inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Saya lihat review ini banyak berpandu kepada kesinambungan apa yang kita telah capai. Tiada begitu banyak perkara baru yang dimasukkan dalam pembentangan tersebut. Banyak penegasan-penegasan telah dibuat oleh kerajaan BN malah telah diakui beberapa perkembangan ekonomi kita, misalnya tahun 2017 pencapaian kita yang begitu baik.
“Di samping itu juga ada beberapa yang telah didakwa kononnya kerajaan dulu boros, tetapi bila saya tengok dalam buku ini, hutang kerajaan telah berkurangan daripada 54 peratus KDNK kepada 50 peratus KDNK.
“Macam mana kita boleh jadi kerajaan boros kalau hutang kita makin menguncup,” katanya kepada media di lobi Parlimen.
Selain itu katanya, defisit fiskal negara juga juga sudah berkurangan dalam tempoh tersebut.
“Jadi ada beberapa aspek yang merupakan kenyataan yang bersifat labeling (oleh kerajaan PH sebelum ini) tapi tidak disokong dengan data yang dimuatkan dalam buku yang dibentangkan oleh kerajaan,” katanya.
Mengenai cadangan berhubung pembiayaan dana politik, Najib berkata perkara tersebut pernah dicadangkan ketika beliau mula menjadi Perdana Menteri dahulu.
Namun begitu katanya pembangkang pada ketika itu telah menolak cadangan tersebut.
“Cadangan mengenai dana politik, kerajaan BN telah buat waktu saya mula-mula jadi Perdana Menteri di bawah Dasar Transformasi Nasional. Tetapi pembangkang pada ketika itu tidak bersetuju dengan cadangan itu.
“Kalau tidak kita telah lama laksanakan. Jadi saya mengalu-alukan ada kaedah pembiayaan dana politik yang lebih telus dan adil,” katanya yang juga ahli Parlimen Pekan.
Tambah beliau, pembentangan yang dibuat oleh Dr Mahathir itu turut tidak langsung menyebut mengenai janji-janji pilihanraya PH.
Ini katanya membuktikan bahawa kerajaan PH sememangnya tidak berminat untuk menunaikan segala akujanji-akujanji yang ditaburkan kepada rakyat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.
Sementara itu ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berpendapat kerajaan perlu memberikan tafsiran yang lebih jelas mengenai cadangan had memegang jawatan Perdana Menteri selama dua penggal sahaja.
“Had jadi Perdana Menteri kepada dua penggal, dua penggal itu juga perlu diberi tafsiran dua penggal bermula dari bila. Kalau Perdana Menteri itu sambung separuh penggal ertinya nak kira macam mana?
“Contohnya kalau tukar Perdana Menteri baru sekarang, adakah Perdana Menteri itu dikira sepenggal atau setengah penggal?
“Jadi tafsiran mengenai perkara ini perlu jelas,” katanya.
Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh turut berpendapat tiada perkara baru di dalam pembentangan tersebut kerana kebanyakannya telah dilaksanakan oleh kerajaan BN.
“Nampaknya tiada perkara baru kerana kebanyakannya telah kita laksanakan dahulu,” katanya.
……………………………