Boleh saman pencemar air, pihak berkuasa, kata peguam - pakdin.my

Punca kluster Sivagangga korang boleh saman, tak kan masalah pencemaran air yang menyusahkan rakyat tak nak saman.

Seorang peguam berkata orang ramai boleh menyaman syarikat yang bertanggungjawab ke atas pencemaran air yang menganggu bekalan air kepada 1.2 juta pengguna di Lembah Klang.

Derek Fernandez, seorang pakar kerajaan tempatan dan undang-undang alam sekitar, berkata ini antara caranya orang ramai yang terjejas boleh menuntut ganti rugi atas kesulitan akibat gangguan tidak berjadual susulan penutupan 4 loji rawatan air.

Beliau menambah orang ramai juga boleh menyaman pihak berkuasa tempatan dan Lembaga Urus Air Selangor kalau dibuktikan terdapat salah guna kuasa atau sengaja gagal bertindak terhadap pencemar, lagi-lagi jika pencemaran pernah berlaku sebelum ini.

Adun Kajang, Hee Loy Sian semalam berkata sumber pencemaran itu adalah sebuah bengkel kenderaan berat di Rawang, dan menurut laporan New Straits Times, kilang itu pernah dikompaun RM60,000 atas kesalahan sama.

Fernandez berkata gangguan air terbaharu ini mengancam keselamatan air di Selangor, menyebabkan orang ramai tiada air bersih ketika membersihkan tangan secara kerap perkara penting dalam usaha melawan Covid-19.

“Ratusan perniagaan yang menderita kerana Covid-19 kini berdepan kerugian kerana gangguan bekalan air selama beberapa hari. Maka tidak memadai, tidak wajar, dan menyimpang dari kebiasaan sekiranya pelaku kesalahan itu dikenakan denda yang tidak seberapa,” katanya.

Beliau senaraikan beberapa undang-undang yang boleh digunakan dan dilaksanakan segera terhadap pecemar bagi mencegah orang lain melakukan kesalahan sama.

Antaranya Seksyen 121 Akta Perkhidmatan Air yang memperuntukkan hukuman denda RM500,000 atau penjara 10 tahun atau sebatan rotan atau ketiga-tiganya bagi kesalahan mencemar bekalan air.

“Seksyen itu jika dibaca bersama peruntukan Kanun Keseksaan (KK) dan Kanun Tatacara Jenayah membolehkan individu yang terbabit ditahan,” katanya.

Seksyen 277 KK menyatakan mengotor air sesuatu mata air atau kolam air awan adalah kesalahan, dan memperuntukkan hukuman penjara 3 bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Akta Kerajaan Tempatan pula membolehkan pihak berkuasa tempatan menuntut pesalah membersihkan pencemaran dan menanggung sendiri kosnya.

Sekiranya pesalah gagal berbuat demikian, mereka boleh dikenakan kos penuh membaiki masalah itu.

“Ini boleh termasuk kos keseluruhan yang ditanggung pihak berkuasa air dan pihak berkuasa tempatan untuk membaiki keadaan itu.

“Selain itu, orang itu juga boleh didenda RM2,000 atau penjara sehingga 1 tahun atau kedua-duanya.”

Seksyen 70 akta sama juga membolehkan denda RM5,000 atau penjara sehingga 2 tahun atau kedua-duanya.

“Akta sama dan pelbagai peraturan kecil membolehkan pihak berkuasa tempatan bukan sahaja menutup bangunan itu tetapi juga merampas semua barang dalam bangunan itu yang terbabit dalam pengeluaran yang mengeluarkan pencemaran itu.”

Pihak berkuasa tempatan juga boleh menutup perniagaan terbabit selama-lamanya dengan tidak memberikan lesen kepada syarikat terlibat kerana risiko pencemaran air di masa depan dan individu yang berkenaan tidak dapat menguruskan risiko itu.

“Malah, akta itu juga membolehkan pihak berkuasa tempatan memusnahkan binaan sekiranya gangguan, atau dalam hal pencemaran sungai, tidak dapat dikurangkan dan kilang itu masih mengancam kesihatan orang ramai.”

Aset yang dirampas boleh dilelong untuk membantu usaha membaiki masalah, katanya.

“Sekiranya undang-undang itu memperuntukkan hukuman penjara atau denda, kerajaan mesti mohon hukuman penjara dan hukuman penjagaan dikenakan terhadap pesalah berulang memandangkan kerosakan teruk yang dialami orang ramai.”

Fernandez menambah pihak berkuasa juga harus mendedahkan nama penuh syarikat yang didapati menyebabkan pencemaran. – FMT

UTAMABERITABoleh saman pencemar air, pihak berkuasa, kata peguam

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium