Lambang Salib: Kenapa ‘ong tak ong’ hanya di kawasan majoriti Melayu?

2
25

Kita asalnya imigran. Kita telah diterima baik oleh Melayu, kenapa tidak jaga hati Melayu?: Ridhuan Tee

Pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah mengingatkan masyarakat Cina supaya menjaga sensitiviti dan menghormati budaya masyarakat majoriti Islam di negara ini.

Peringatan beliau sebagai menempelak kenyataan pemaju Grace Residence di Jelutong, Pulau Pinang berhubung pandaran cahaya lampu dari bangunan berkenaan yang kelihatan seperti salib.

Memetik laporan sebuah portal berita, jurucakap Nova Mulia Development Sdn Bhd menjelaskan bahawa gambar itu diambil ketika bangunan berkenaan masih belum siap sepenuhnya, dan kebetulan ia kelihatan seperti salib.

Syarikat berkenaan dilaporkan mendakwa, cahaya pada bangunan itu sepatutnya menunjukkan abjad Cina (王), bermaksud wang (raja) atau ‘ong’ (nasib baik).

“Kalau nak buat ‘Ong’ pun jagalah sensitiviti Melayu. Inilah akibatnya bila tak faham cara hidup budaya Melayu. Jika mahu ambil kira ‘ong’ tak ‘ong’ bukan di Malaysia, tetapi di negara China.

“Selaku orang Cina, saya ingatkan orang Cina bahawa kita hidup dalam masyarakat majoriti Melayu Islam,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, bagi mengulas isu itu, hari ini.

Ridhuan Tee berkata, orang Melayu sudah lama menjaga hati kaum Cina sehingga mereka boleh membina empayar dan menjadi kaya di negara ini.

“Setelah tinggal di sini bergenerasi, takkan tak faham lagi cara hidup pribumi. Kita asalnya imigran. Kita telah diterima baik oleh Melayu, kenapa tidak jaga hati Melayu?

“Bukan itu saja, pribumi telah jaga hati kita dengan beri kita amalkan cara hidup kita sepenuhnya. Tidak cukup lagi, ditambah dengan beri sekolah Cina beroperasi ‘secina cinanya’,” katanya.

Beliau mengulangi gesaannya supaya rakyat Malaysia yang tidak memahami sensitiviti bangsa majoriti diberikan kursus, bagi menangani kewujudan lebih ramai puak ultra kiasu pada masa depan.

“Saya tidak boleh bayangkan bagaimana boleh wujud tanah perkuburan Cina dalam skala yang amat besar di kawasan majoriti Melayu di Semenyih.

“Pergilah ke Semenyih, terdapat lebih daripada tiga tanah kubur berskala besar ribuan ekar kepunyaan syarikat berlainan. Yang hairannya, masalah ‘ong’ hanya berlaku di kawasan majoriti Melayu, kenapa tidak ada ‘ong’ di kawasan majoriti Cina.

“Saya kira pihak berkuasa yang meluluskan kawasan perkuburan ‘ong’ di kawasan majoriti Melayu amat berlaku tidak adil kepada orang Melayu,” katanya.

Mengenai pancaran lampu di bangunan itu, Ridhuan Tee berkata, iman beliau langsung tidak tergugat melihat lambang salib itu, malah tidak kisah jika mahu ditunjukkan, tetapi biarlah bertempat.

“Ingat! Negara ini berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu Islam, bukan Kristian atau salib. Kenapa bila buat rumah hanya kira ‘ong tak ong’.

“Jagalah hati Melayu, sebab mereka terlalu banyak diguris dan terguris,” katanya.

Rujukan:
Lambang salib: Mufti gesa ubah kedudukan lampu
https://pakdin.my/lambang-salib-mufti-gesa-ubah-kedudukan-lampu/

Kami nak buat ‘ong’, bukan salib – pemaju
https://www.malaysiakini.com/news/460138

Loading...

Comments

comments

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here