Pasaran Perniagaan ‘Online’ Masih Banyak Belum Diterokai - pakdin.my

Ramai yang bercadang mahu memulakan perniagaan secara ‘online’ mungkin masih ada yang teragak-agak kerana ketidakpastian potensi pasaran di negara ini.

Atau masih dikejar kebimbangan persaingan yang semakin ramai kerana perniagaan ini telah menjadi antara corak yang popular kini.

Hakikatnya bagi mereka yang mahu bergelar usahawan ‘online’, peluang tersebut masih luas kerana hanya 10 peratus pasaran itu diteroka setakat ini.

Ini bermakna masih ada 90 peratus pasaran untuk perniagaan ‘online’ boleh dipelopori untuk mereka yang berminat.

Ini diakui oleh jurulatih pemasaran perniagaan ‘online’ program ‘Fesbuk Power’, Bryan Gan yang menyatakan hanya kira-kira lima peratus dari 1.2 juta usahawan kecil negara menggunakan medium ‘online’ sebagai saluran perniagaan mereka.

“Daripada lima peratus ini pula tidak semuanya berjaya kerana kejayaan bergantung kepada cara dan kreativiti pemasaran masing-masing terhadap produk yang dijual kepada pengguna,” katanya kepada Bernama di sini.

KUASA FACEBOOK

Bryan berkata laman sosial, Facebook, misalnya adalah medium paling berkuasa setakat ini untuk tujuan pemasaran produk kerana ia adalah laman sosial paling ramai pengguna di dunia.

Di Malaysia, daripada 13 juta pengguna Facebook, kira-kira 25 hingga 30 peratus yakin menjadi pelanggan kepada produk dijual ‘online’.

“Namun jumlah ini dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa kerana rakyat negara ini semakin yakin untuk membeli secara online.

“Ia juga bergantung kepada strategi pemasaran usahawan dalam meyakinkan pengguna bahawa pembelian mereka boleh berjalan lancar dan selamat,”katanya.

Peniaga yang mahu memulakan perniagaan melalui ‘online’ perlu mengenalpasti terlebih dahulu produk yang dijual kemudian membuka satu akaun facebook dan mula memasarkan produk mereka.

Untuk lebih berkesan peniaga perlu membuka laman web atau blog bagi memberi lebih maklumat mengenai produk mereka.

“Jangan kecewa jika akaun gagal meraih ‘like’ yang tinggi kerana yang lebih penting ialah pengguna berkeinginan membeli,” katanya.

KELEBIHAN BERNIAGA ‘ONLINE’

Bryan yang juga pengasas produk wangian ‘Scarf Perfume’ dan menjualnya secara ‘online’ berkata, ada banyak kelebihan berniaga secara ‘online’ jika usahawan tahu cara menggunakan teknologi yang ada dan strategi pemasaran yang betul.

Berbanding perniagaan biasa, perniagaan ini lebih menjimatkan kos kerana peniaga tidak perlu mengeluarkan modal untuk menyewa premis atau mengupah pekerja yang ramai.

“Cukup ada alatan yang sesuai, ia boleh dijalankan dari rumah dan menjimatkan masa dan kos.

“Selain itu, usahawan boleh mengkaji pasaran terlebih dahulu sebelum mengeluarkan modal untuk menyediakan produk, ini boleh mengelak daripada kerugian,” katanya.

Di samping itu, usahawan boleh meneroka pasaran lebih luas hanya dari hujung jari dalam masa yang singkat.

Katanya, usahawan juga tidak boleh ‘lokek’ mengeluarkan sedikit kos untuk tujuan pemasaran seperti pembelian iklan secara ‘online’ melalui laman sosial atau blog perniagaan mereka dan mengupah pereka untuk menjadikan laman perniagaan mereka lebih menarik perhatian.

“Seperti juga perniagaan biasa, perniagaan ‘online’ tidak lari daripada risiko seperti menjadi mangsa peniruan oleh peniaga lain.

“Di sini mutu serta keistimewaan produk menjadi faktor utama di mana pengguna akan tetap memilih produk kita di samping servis yang ditawarkan mestilah memuaskan hati pelanggan,” katanya.

PENGALAMAN SEORANG USAHAWAN ‘ONLINE’

Bagi Siti Natasya Roslan, 30, berhenti kerja sebagai Pegawai Komunikasi Korporat di sebuah syarikat dan menjadi usahawan ‘online’ tidak pernah mendatangkan kekesalan.

Manakan tidak?, Pendapatannya sebagai pengusaha butik ‘online’ ‘Ardini Boutique’ dengan sokongan suami tercinta mendatangkan pendapatan sehingga RM50,000 sebulan.

“Memikirkan masa bersama keluarga agak terbatas kerana pekerjaan saya, maka saya mula memikirkan untuk berniaga secara ‘online’.

“Saya mulakan dengan membeli fabrik kapas ela dari luar negara ketika bercuti dan mula menjual menggunakan blog pada tahun 2009,” katanya.

Sambutan yang menggalakkan terhadap produk mendorong beliau membuka akaun facebook yang ketika itu mula terkenal di negara ini.

Siti Natasya mula mempromosikan produk fabriknya di akaun peribadi sebelum membuka sebuah lagi akaun untuk tujuan memperkenalkan syarikatnya Ardini Lifestyle Enterprise.

“Jualan semakin meningkat dan saya mula menempah lebih banyak fabrik kapas bermutu tinggi untuk kepuasan pelanggan.

“Sekarang ini saya sangat berpuas hati dengan hasilnya dan amat berterima kasih dengan perkembangan teknologi yang banyak memberi manfaat kepada mereka yang bijak menggunakannya,” jelas beliau.

SASAR 300 EJEN MENJELANG 2014

Seterusnya ibu kepada dua anak lelaki, berusia lima dan tiga tahun ini menyasarkan untuk melantik ejen untuk menjual fabrik kapasnya dalam usaha mengembangkan pasaran ke seluruh pelosok negara.

Setakat ini, syarikat beliau mempunyai 50 ejen jualan.

“Syarikat menyasarkan sehingga 300 ejen menjelang 2014 dengan pendapatan syarikat sehingga RM100,000 sebulan.

“Berdasarkan kemajuan semasa perniagaan ‘online’ ini saya menaruh keyakinan sasaran ini mampu dicapai,”katanya.

Bagi yang mahu memulakan perniagaan ‘online’ katanya, perkara pertama yang wajib dilakukan ialah membuat kajian pasaran sebelum memilih produk sesuai untuk dijual.

Selanjutnya Siti Natasya menasihatkan agar peniaga sentiasa berusaha menambah ilmu mengenai strategi pemasaran, sentiasa menjaga mutu produk dan perkhidmatan tanpa mementingkan keuntungan semata-mata.

‘Ardini Boutique’ kini mempunyai kira-kira 5,000 pelanggan tetap dan telah mencapai lebih 12,000 ‘like’ sejak dibuka empat tahun lepas.

 perniagaan-internet

UTAMAEKONOMIPasaran Perniagaan 'Online' Masih Banyak Belum Diterokai

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium