27 C
Kuala Lumpur
Monday, January 25, 2021

Shafie Apdal hantar notis undi percaya terhadap Dr Mahathir – Speaker

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal telah menghantar usul untuk memulakan undi percaya terhadap Dr Mahathir Mohamad di parlimen.

Langkah itu bagi membuktikan MP Langkawi masih mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat, yang merupakan syarat untuk seseorang menjadi perdana menteri.

Ketika dihubungi Malaysiakini, pejabat Speaker Dewan Rakyat Mohamed Ariff Yusof mengesahkan menerima notis usul tersebut yang bertarikh 1 Mei.

Shafie yang juga MP Semporna, berkata di dalam notis bahawa beliau tidak berniat bercanggah dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk melantik perdana menteri, tetapi sebaliknya langkah itu bertujuan memaklumkan baginda mengenai siapa yang mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

“Selanjutnya, dengan niat tidak bertentangan kepada Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa melantik seorang Perdana Menteri oleh Yang Di-Pertuan Agong, usul ini dizahirkan melalui Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (Parlimen Malaysia) ini sebagai penzahiran akan perkara ini kepada seluruh rakyat jelata dan juga sebagai sembah maklum kepada Yang Di-Pertuan Agong/ Istana Negara,” kata notis itu yang dilihat Malaysiakini.

Ketika dihubungi tengah hari tadi, Mohamed Ariff turut mengesahkan menerima notis berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut.

Katanya, setiausaha Dewan Rakyat akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu esok.

“Tunggu kenyataan penuh oleh setiausaha Dewan Rakyat esok,” katanya pada satu pesanan teks.

Malaysiakini sudah menghubungi dan sedang menunggu maklum balas daripada Shafie.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.