Terima kasih KPT penuhi tuntutan, UMNOSiswa akan terus perjuangkan kepentingan mahasiswa - pakdin.my

Pengerusi Kelab Mahasiswa UMNO Malaysia (UMNOSiswa) Mubarak Kunyi mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad atas pengumuman yang telah dilakukan pada hari ini.

Katanya, UMNOSiswa telah meneliti pengumuman hari ini dan berpandangan banyak tuntutan yang telah dipenuhi oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“KPT telah memberi keutamaan kepada mahasiswa yang telah lengkap divaksin dan berkeperluan untuk kembali ke kampus. Kepulangan pelajar ke kampus juga akan dilakukan secara berperingkat bagi memastikan kampus kekal selamat dan tidak melibatkan pergerakan secara besar-besaran.

“KPT juga turut membenarkan pelajar meneruskan sesi pembelajaran secara atas talian untuk kekal di lokaliti masing-masing di mana ianya akan memberi pilihan kepada mahasiswa sama ada perlu pulang atau sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, KPT juga telah bersetuju untuk mengurangkan yuran sebanyak 20% kepada mahasiswa dan saringan kesihatan (swab test) akan diberikan secara percuma di klinik-klinik kesihatan kerajaan di mana ianya sudah pasti akan membantu mahasiswa dalam mengharungi sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam keadaan pandemik pada masa ini.

Tambahnya lagi, UMNOSiswa melihat pengumuman ini sebagai satu kejayaan buat mahasiswa.

“Hal ini kerana banyak tuntutan yang telah dikemukakan dapat dipenuhi.

“UMNOSiswa mengucapkan jutaan terima kasih kepada KPT kerana telah membuat keputusan yang terbaik dan mengambil kira pandangan daripada mahasiswa.

“Ianya sangat penting bagi memastikan kelangsungan dan kebajikan mahasiswa terus terjaga di mana mahasiswa juga adalah sebahagian daripada Keluarga Malaysia,” katanya.

Justeru katanya UMNOSiswa akan terus memperjuangkan isu-isu yang melibatkan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa dan akan terus menjadi suara yang penting demi mahasiswa Malaysia. – UMNO ONLINE

UTAMABERITATerima kasih KPT penuhi tuntutan, UMNOSiswa akan terus perjuangkan kepentingan mahasiswa

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium