Agong terima menghadap PM - pakdin.my

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menerima menghadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi Mesyuarat PraKabinet mingguan kali ke-30, yang disifatkan Istana Negara sebagai ‘amat bermakna’.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat di Istana Melawati di sini bermula pada 8 pagi dan berlangsung selama 45 minit.

“Mesyuarat PraKabinet pada hari ini amat bermakna kerana ia Mesyuarat PraKabinet kali ke-30 Seri Paduka Baginda bersama Perdana Menteri sejak Al-Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Januari tahun ini.

“Ini menunjukkan bahawa Al-Sultan Abdullah bukan sahaja amat prihatin dalam hal ehwal pengurusan dan pentadbiran negara malah yang juga penting, seri paduka baginda mengambil perhatian serius dalam hal ehwal kebajikan rakyat jelata,” katanya.

“Al-Sultan Abdullah juga amat terperinci. Seri paduka baginda sentiasa meluangkan masa untuk meneliti memorandum, nota Jemaah Menteri dan laporan-laporan, sehari sebelum setiap Mesyuarat PraKabinet diadakan,” katanya

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah amat peka semasa mesyuarat berlangsung dan seri paduka menggunakan buku nota kecil untuk mencatat butiran perbincangan bersama perdana menteri.

Katanya, Mesyuarat PraKabinet antara aktiviti mingguan atau rutin utama seri paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama perdana menteri.

Mesyuarat PraKabinet, yang berlangsung selama 30 hingga 40 minit, pada kebiasaannya berlangsung pada Rabu atau Jumaat (sekiranya persidangan Dewan Rakyat berlangsung).

Mesyuarat tetap dijalankan jika perdana menteri tidak dapat menghadirinya dan beliau diwakili oleh Timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mesyuarat PraKabinet, bagaimanapun, tidak berlangsung jika hari berkenaan jatuh pada cuti umum atau jika ada majlis atau acara rasmi negara seperti Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi pada Mac lalu.

“Keprihatinan dan keperibadian tinggi Al-Sultan Abdullah turut terserlah apabila seri paduka baginda menitahkan agar Mesyuarat PraKabinet bersama perdana menteri diadakan di Istana Melawati dan bukan di Istana Negara seperti kebiasaan yang diamalkan terdahulu.

“Ini untuk memudahkan pergerakan perdana menteri supaya beliau tidak perlu datang ke Istana Negara dari pejabat beliau di Putrajaya,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, seri paduka berangkat dari Istana Negara pada 7.15 pagi dan tiba di Istana Melawati pada 7.50 pagi untuk persediaan bagi Mesyuarat PraKabinet yang bermula pada 8 pagi.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata, seri paduka turut menasihati rakyat jelata supaya bersabar dan memberi kepercayaan kepada perdana menteri dan menteri-menteri Kabinet dalam usaha membawa kesejahteraan negara dan juga rakyat jelata. – BERNAMA

UTAMABERITAAgong terima menghadap PM

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium