Mayat lelaki separuh bogel ditemui terdampar di pantai - pakdin.my

MIRI: Empat pelajar ponteng sekolah yang leka bermain bola di tebing pantai Batu Satu berhampiran Pusat Latihan Maritim Sribima (SMTC) di Jalan Lutong-Kuala Baram di sini dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki separuh bogel yang terdampar di pantai berkenaan.

Ketika ditemui, mayat yang hanya memakai baju-T berkolar dan berwarna gelap terdampar dalam keadaan meniarap dengan keduadua belah tangannya diikat ke belakang menggunakan seluar dalam warna merah, manakala mukanya separuh terbenam dalam pasir di pantai berkenaan.

Sementara itu, menurut Mampi Sulau, 55, mayat tersebut telah dijumpai sekumpulan empat pelajar sekolah menengah yang dipercayai ponteng sekolah dengan dua daripada mereka masih memakai seragam dan dua lagi berpakaian biasa yang datang ke pantai berkenaan untuk lepak sambil bermain bola.

Katanya sekitar jam 8.20 pagi semalam, ketika melalui jalan berhampiran pantai berkenaan untuk menghantar anaknya ke tempat kerja yang terletak di kawasan berdekatan, tiba-tiba dia ditahan empat pelajar terbabit yang memberitahu ada mayat dijumpai di pantai.

“Mereka panggil saya supaya berhenti dan memberitahu ada mayat lelaki di pantai dan meminta saya menghubungi polis,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Tanpa berlenggah, dia lalu pergi ke MCOT Petronas untuk memaklumkan kepada para pekerja di situ berhubung penemuan mayat tersebut dan meminta bantuan mereka menghubungi polis.

Berikutan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Lutong telah bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan tentang kes tersebut.

Turut bergegas ke tempat kejadian ialah Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Polis (ACP) Mun Kock Keong, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Unit Anjing Pengesan (K9) dan pasukan forensik polis untuk menjalankan siasatan lanjut di tempat kejadian.

Dalam pada itu, bercakap pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sini petang semalam, Mun memberitahu identiti mayat berkenaan masih belum dikenal pasti memandangkan tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mayat tersebut.

“Pun begitu, kita percaya dia seorang warganegara Malaysia memandangkan terdapat kesan suntikan BCG pada lengan sebelah kiri, berusia lingkungan 30-an dan mempunyai ketinggian diianggarkan 5 kaki 2 inci berdasarkan ukuran polis,” katanya.

Selain itu katanya, terdapat tatu gambar naga di bahagian belakangnya, tatu bunga di lengan kiri dan logo Ying Yang di lengan kanan.

Katanya pihak polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh berdasarkan terdapat kesan luka di muka sebelah kiri dipercayai disebabkan benda tajam dan juga terdapat kesan darah semasa mayat diangkat di kawasan pasir berhampiran.

Kes diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Meskipun demikian kata Mun, tidak dapat dipastikan sama ada mangsa dibunuh di sini atau di tempat lain dan mayatnya dibuang ke laut sehingga terdampar di pantai ini.

“Setakat ini, kami belum dapat mengesahkan sama ada seluar dalam yang digunakan untuk mengikat tangan mangsa adalah miliknya sendiri atau sebaliknya.

“Begitu juga dengan kesan darah yang terdapat di pasir pantai berkenaan belum dapat dipastikan sama ada ia milik mangsa,” ujar beliau.

Dalam pada itu menurut beliau, setakat ini polis Miri tidak ada menerima laporan polis tentang orang hilang.

Sehubungan itu kata Mun, pihaknya akan memperluaskan semakan ke bahagianbahagian lain di seluruh negeri sekiranya ada laporan orang hilang.

Pada masa sama, pihaknya menggesa orang ramai yang mengenali pemilik tatu berkenaan supaya menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes, ASP Zainan Azili Abdul Latif di talian 01112099878.

Sementara itu, pada sidang media sama, Mun memberitahu bahawa bedah siasat ke atas mayat seorang penyelia di sebuah syarikat kawalan keselamatan yang mati semasa dalam tahanan polis minggu lepas akan diadakan petang ini (semalam).

Manakala bedah siasat ke atas mayat Kapten Lau Hing Sing, 63, yang dibunuh ketika berlabuh di sebuah jeti milik persendirian di Kuala Baram Ahad lalu akan dilakukan pagi ini (Rabu).

“Dua ahli patologi sudah tiba di sini untuk melakukan bedah siasat berhubung dua kes ini dan kita berharap mereka dapat menetapkan satu tarikh untuk melakukan bedah siasat ke atas mayat lelaki yang dijumpai pagi tadi (semalam) untuk mengetahui punca sebenar kematiannya,” katanya.

UTAMABERITAMayat lelaki separuh bogel ditemui terdampar di pantai

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium