BN lancar jentera JKKKP Selangor - pakdin.my

Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Mohd Shafie Apdal (dua, kanan) menyampaikan bantuan kepada penduduk daif Kampung Bukit Hijau, Jeram, Karim Hamid, 57, (dua, kiri) dan isteri Noraidah Seirin, 50, ketika melawat rumah penduduk sempena lawatan kerja ke Kuala Selangor
Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Mohd Shafie Apdal (dua, kanan) menyampaikan bantuan kepada penduduk daif Kampung Bukit Hijau, Jeram, Karim Hamid, 57, (dua, kiri) dan isteri Noraidah Seirin, 50, ketika melawat rumah penduduk sempena lawatan kerja ke Kuala Selangor

KUALA LUMPUR  – Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Negeri Selangor diseru memainkan peranan mereka sebagai jentera penting Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ini kerana JKKKP merupakan mata dan telinga kerajaan untuk memantau, mendengar mahupun menyampaikan pelbagai dasar, sekali gus menjadi pemudah cara kepada kehendak rakyat.

“Saya amat berpuas hati dengan peranan yang dimainkan JKKKP sehingga memungkinkan kerajaan Pusat menyempurnakan pelbagai projek dan perkhidmatan di Selangor.

“Bahkan, saya yakin pelancaran jentera JKKKP dalam musim pilihan raya kali ini dapat membantu memberikan sumbangan ke arah kekuatan BN pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Ramah Mesra Bersama 380 JKKKP Negeri Selangor di Institut Kemajuan Desa (Infra), Bangi dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed serta Setiausaha Politik kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Mohd. Safie Asnawi.

Dalam majlis itu, Mohd. Shafie turut menyampaikan peruntukan elaun JKKKP Negeri Selangor untuk 2013 sebanyak RM9.2 juta serta peruntukan elaun JKKK Orang Asli dan Tok Batin (RM1.5 juta).

Mohd. Shafie yang juga Naib Presiden UMNO berkata, jentera JKKKP di Selangor perlu terus diperkasakan bagi memastikan rakyat negeri itu memberi mandat kepada BN untuk memerintah pada pilihan raya umum nanti.

“Pilihan Raya Umum Ke-13 cukup dekat…hanya menghitung hari, oleh itu, saya berharap JKKKP dapat bersama bekerja dan membantu Perdana Menteri menjayakan agenda BN demi kesejahteraan serta pembangunan rakyat dan negara,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Zin yakin jentera JKKKP Negeri Selangor sudah cukup bersedia menyahut cabaran dalam memberikan nafas baharu dan kekuatan kepada BN untuk menawan kembali negeri itu.

“Berdasarkan kajian, didapati 18 kawasan di Selangor telah dikategorikan sebagai kawasan putih, justeru saya yakin BN mempunyai peluang cerah untuk mentadbir negeri itu semula,” katanya.

UTAMAPOLITIKBN lancar jentera JKKKP Selangor

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium