Makanan Halal Malaysia Diterima Baik Masyarakat Di China - pakdin.my

XIAN-halal-food-festival

(China) — Xi’an, ibu negeri wilayah barat Shaanxi di China, bukan sahaja salah sebuah daripada bandaraya tertua di China tetapi juga tempat bermulanya ‘Laluan Sutera’ yang membawa pedagang dari Barat sejak zaman dahulu lagi.

Hari ini, bandaraya bersejarah ini menjadi kediaman 50,000 orang keturunan pedagang Islam yang pernah menyusuri laluan bersejarah ini, bersama hampir 20,000 daripada mereka menetap di satu kawasan dikenali sebagai Huimin Jie atau ‘Jalan Orang Islam’ dalam dialek Cina tempatan.

Jalan ini, yang berada di sebelah utara gerbang tanda penting bandaraya ini iaitu ‘Menara Drum’, adalah sepanjang 500 meter dan dibarisi gerai di kedua-dua belah jalan menjual makanan tempatan, cenderahati dan banyak lagi barangan.

“Sebagai hab masyarakat Islam di Xi’an, kami berharap ia adalah tempat yang tepat sekali untuk menggalakkan makanan halal dari Malaysia di sini,” kata Loh Wee Keng penganjur Festival Makanan Halal Malaysia-Xian kali kedua kepada Bernama baru-baru ini.

SYARIKAT YANG MEMENANGI ANUGERAH MENEMBUSI PASARAN CINA

Lebih kurang 35 usahawan Malaysia dan 20 usahawan dari daerah Lian Hu di negara itu menyertai pameran ini. Edisi pertama festival makanan halal pada 2012 mencatatkan lebih kurang 50,000 pelawat dengan hanya 20 orang usahawan mempamerkan produk mereka.

Antara peserta pameran itu yang berlangsung dari 31 Mei hingga 11 Jun adalah Fatihah Frozen Food Sdn Bhd yang menawarkan pelbagai barangan halal termasuk makanan sejuk-beku siap seperti karipap, samosa, roti canai, popiah, ‘sardine roll’ dan lain-lain.

Pengasas dan pengarah urusan syarikat itu Fatihah Anis Ibrahim berkata syarikatnya dijangka merekodkan jualan bernilai RM20,000 semasa pameran itu.

“Kami yakin dapat mencapai sasaran, memandangkan kami berjaya mencatatkan jualan bernilai lebih daripada 10,000 yuan (lebih kurang RM5000) dalam tempoh tiga hari pertama pameran berlangsung,” katanya.

Fatihah berkata syarikatnya bercadang mengedarkan produk di pasaran Cina yang terus berkembang.

“Ada pasaraya hiper di sini yang sudahpun mula menjual produk-produk kami, sudah pasti kami mahu memastikan produk kami sampai ke semua pelusuk China,” katanya.

Fatihah menunjukkan bahawa prata dan prata durian keluaran syarikatnya laris di pameran itu.

Beliau berkata syarikat juga akan menyertai satu lagi ekspo makanan halal yang akan berlangsung di Urumqi, ibu negara Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang di barat laut China pada September.

Fatihah Frozen Food Sdn Bhd yang diasaskan pada 1994 menerima penghargaan besar awal tahun ini apabila menerima Anugerah Usahawan Tekun.

RESPON HEBAT BAGI MAKANAN LAUT

Pengurus Operasi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) Shafee Ardi berkata beliau terkejut dengan sambutan baik pelawat terhadap produk Nekmat.

Nekmat menampilkan produk makanan laut sejuk-beku di pameran itu.

“Pada mulanya, penduduk Cina tempatan agak was-was dengan produk-produk kami khasnya apabila mendapat tahu ia adalah ‘makanan laut’, mungkin bimbang dengan bau hanyir ikan.

“Tetapi setelah mencubanya sekali, mereka tidak dapat menolak rasanya,” kata Shafee, dan menambah kata mereka yang mencubanya kembali semula untuk membeli lebih banyak produk pada hari-hari berikutnya termasuk mereka yang mencuba snek makanan laut yang disediakan di pameran itu.

Beliau berkata nilai jualan dijangka mencapai 2000 yuan (lebih kurang RM1000) pada hari pertama pameran, sementara pada hari kedua, ia meningkat ke 3200 yuan (lebih kurang RM1600).

“Kami berhasrat mencapai RM20,000 dalam jualan semasa pameran itu dan kami agak yakin untuk mencapai sasaran itu,” katanya.

Shafee Ardi juga berkata jejari ikan, nuget ikan dan bebola sotong laris di pameran itu.

Nekmat yang diasaskan pada 1985, ditubuhkan untuk menambahbaik kedudukan sosio-ekonomi nelayan Malaysia dengan meningkatkan hasil tangkapan, kemahiran dan daya saing.

PELAWAT TEMPATAN GEMAR CITARASA ASIA TENGGARA

Sementara itu, MASBEST (M) Sdn Bhd juga menerima sambutan baik daripada penduduk tempatan bersama ramuan perisa makanannya yang digunakan dalam masakan seperti pes serbuk kari segera dan rempah Bak Kut Teh yang diterima baik oleh para pengguna di sini.

“Warga China suka dengan masakan Malaysia, khasnya kerana mereka boleh sediakan hidangan Nanyang (Asia Tenggara) di rumah dalam beberapa langkah mudah,” kata pengarah syarikat itu Tee Thye Lok.

Tee, yang menyertai pameran pertama di sini pada tahun lepas, dalam mengenang semula pengalamannya berkata sambutan sebelum ini tidak sehebat kali ini.

Beliau menyatakan keyakinanya bahawa syarikat mampu mencatatkan nilai jualan sehingga RM10,000 pada pameran yang berlangsung selama 12 hari itu.

Kebanyakan daripada produk halal syarikat dan pertubuhan yang dinyatakan di sini boleh didapati di pasaraya biasa dan hiper di kebanyakan tempat di China.

UTAMAEKONOMIMakanan Halal Malaysia Diterima Baik Masyarakat Di China

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium