Pemilihan UMNO: Beberapa Calon Kemuka Borang Tarik Diri Pemilihan Bahagian Di Seluruh Negara (24/09/2013) - pakdin.my

UMNO_logo

Pemilihan UMNO: 12 calon tarik diri di Negeri Sembilan

SEREMBAN 24 Sept. – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan kekal bersaing jawatan Ketua UMNO Bahagian Rembau apabila tempoh bertenang selama 72 jam tamat hari ini.

Beliau dicabar oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Chembong, Datuk Mohamad Rais Zainuddin yang juga Ketua UMNO Cawangan Air Hitam, Chembong.

Dengan tamatnya tempoh bertenang itu bermakna kesemua lapan Ketua UMNO bahagian di negeri ini sama ada dicabar secara satu lawan satu atau tiga penjuru dalam pemilihan kali ini.

Hanya Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang memenangi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau tanpa bertanding.

Pemilihan UMNO: 19 calon tarik diri di Kedah

ALOR SETAR 24 Sept. – Sebanyak 19 orang daripada 2,861 calon di negeri ini menarik diri pada pemilihan UMNO bulan depan selepas tempoh bertenang selama 72 jam tamat petang ini.

Pemilihan UMNO: 25 calon di Pulau Pinang tarik diri

PULAU PINANG 24 Sept. – Sebanyak 25 calon dari sembilan bahagian di negeri ini menarik diri daripada bertanding beberapa jawatan pada pilihan UMNO bulan depan.

Mereka terdiri daripada lima calon masing-masing dari bahagian Kepala Batas dan Nibong Tebal, Bagan (4), Tasek Gelugor (3), Bukit Mertajam (2), Permatang Pauh (2), Batu Kawan (2), Tanjung (1) serta Bayan Baru (1).

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Pulau Pinang, Datuk Daud Taha ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut.

“Mungkin ada lagi yang bakal menarik diri. Tunggu sajalah pengumuman rasmi esok,” katanya di sini hari ini.

Pemilihan UMNO: 15 calon tarik diri di Terengganu

KUALA TERENGGANU 24 Sept. – Sebanyak 15 calon negeri ini yang bakal bertanding pelbagai jawatan pada pemilihan UMNO Oktober depan menarik diri.

Perkembangan itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Mesyuarat Pemilihan UMNO Terengganu, Datuk Muda Mamat dan senarai nama kesemua mereka akan diserahkan kepada ibu pejabat untuk tindakan lanjut.

Ketika ditanya siapa calon yang terlibat, beliau memaklumkan akan mengadakan satu sidang akhbar esok bagi mengumumkannya.

“Saya hanya boleh sahkan ada empat jawatan utama melibatkan bahagian, Puteri dan Wanita di kawasan Besut, Dungun dan Hulu Terengganu.

“Selebihnya adalah jawatan biasa-biasa dan saya akan maklumkan sepenuhnya esok,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pemilihan UMNO: Nawi menang tanpa bertanding

BESUT 24 Sept. – Persaingan yang dijangkakan berlaku dalam pemilihan kepimpinan UMNO Bahagian Besut dan bakal menggelorakan suasana politik setempat dengan senarai pencalonan mengejutkan, ternyata meleset.

Setelah Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Idris Jusoh hanya memilih bertanding jawatan Naib Ketua tanpa dicabar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Muhammad Pehimi Yusof hari ini mengesahkan menarik diri daripada pencalonan bagi mengisi tempat Idris.

Keputusan itu sekali gus memberi laluan kepada saingannya, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Nawi Mohamad yang juga Exco kerajaan negeri untuk menerajui parti tanpa bertanding dan meneruskan tradisi peralihan kepimpinan.

Selain jawatan itu, pertandingan bagi jawatan Timbalan Ketua antara ADUN Kota Putera, Mohd. Mahdi Musa dan Pengarah Unit Komunikasi negeri, Shamsuddin Sulong juga dikatakan berakhir dengan penarikan diri oleh Shamsuddin.

Keadaan itu menjadikan tiga jawatan utama dimenangi tanpa bertanding dan Besut menjadi bahagian paling awal menyelesaikan proses pemilihan biarpun perubahan kedudukan penyandang menimbulkan tanda tanya mereka yang tidak memahami percaturan sebenar.

Ketika mengesahkannya, Pehemi memberitahu Utusan Online, keputusan itu diambil demi memastikan perpaduan dalam kalangan ahli yang sedia terjalin akan terus kekal bagi mengukuh dan memantapkan jentera parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Pemilihan UMNO: Haron tarik diri, Ali Rustam menang

MELAKA 24 Sept. – Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Katil, Haron Abdullah, 62, hari ini menarik diri bertanding jawatan Ketua UMNO bahagian itu mencabar bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Keputusan tersebut sekali gus membolehkan Mohd. Ali menang tanpa bertanding dan mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil yang disandang sejak 2003.

Pemilihan UMNO: Mat Yussof tarik diri, Nozula menang

KOTA BHARU 24 Sept. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mat Yussof Abdul Ghani memutuskan tidak meneruskan hasrat bertanding mempertahankan jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang pada pemilihan Oktober ini, bagi memberi ruang kepada muka baharu memegang jawatan itu.

Keputusan beliau itu sekaligus memberi peluang kepada ADUN Paloh yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Nozula Mat Diah memenangi jawatan tersebut tanpa bertanding.

Mat Yussof yang memegang jawatan berkenaan sejak tahun 2008 berkata, beliau mengambil keputusan itu untuk memberi ruang kepada Nozula meneruskan perjuangan sebelum ini dalam usaha memperkasakan parti dan membela nasib rakyat khususnya di bahagian itu.

“Saya akan menghantar surat penarikan diri itu sebelum tempoh bertenang 72 jam yang akan tamat pada pukul 5 petang ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pemilihan UMNO: 38 calon di Pahang tarik diri

KUANTAN 24 Sept. – Sebanyak 38 calon daripada 11 bahagian UMNO di negeri ini menarik diri daripada bertanding pada pemilihan parti bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO negeri, Datuk Seri Abdul Jabbar Ibrahim berkata, kesemua mereka yang terlibat menghantar surat penarikan diri tersebut antara pukul 8 pagi dan 5 petang hari ini.

Beliau berkata, hanya tiga UMNO bahagian iaitu Pekan, Kuala Krau dan Cameron Highlands yang tiada penarikan diri oleh calon yang bertanding.

“Jadi, hanya 2,600 daripada 2,638 calon yang menghantar borang pencalonan Sabtu lalu, kekal bertanding dalam semua jawatan pada pemilihan bulan depan,” katanya ketika ditemui di sini.

Pemilihan UMNO: 26 calon tarik diri di Selangor

SHAH ALAM 24 Sept. – Seramai 26 calon yang mendaftarkan diri untuk bertanding pada pemilihan peringkat bahagian di negeri ini Oktober ini, telah disahkan menarik diri selepas tempoh bertenang tamat hari ini.

Dua daripada mereka ialah calon Ketua UMNO Bahagian Serdang dan Puchong iaitu Razali Abdul Wahab dan Zarwavai Suratman.

Dengan penarikan diri kedua-dua calon itu bermakna persaingan merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Serdang hanya menyaksikan persaingan lima penjuru dan Puchong pula dua penjuru.

Calon yang kekal bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Serdang ialah Datuk Mohd. Fathil Daud, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zin, Hairuddin Ahmad, Ungku Md. Salleh Ungku Md. Jamal dan Borhan Ahmad Zakaria.

Sementara itu, calon yang kekal bertanding di Puchong ialah Datuk Mohd. Satim Diman (penyandang) dan Rosli Idrus.

UTAMAPOLITIKPemilihan UMNO: Beberapa Calon Kemuka Borang Tarik Diri Pemilihan Bahagian Di Seluruh...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium