Musim Harumanis Berkunjung Lagi - pakdin.my

harumanis-perlis

Ketika angin segar membawa aroma harum di Perlis, ia sebenarnya membisikkan petanda bahawa musim harumanis telah bermula.

Seperti musim-musim panen yang berlalu, banyak pelancong “harumanis” tiba di negeri paling utara ini sebaik musimnya bermula pertengahan April dan berakhir awal Jun.

Mereka bukan sekadar ingin menikmati keenakan harumanis yang baru dituai dari ladang malah untuk membawanya pulang sebagai ole-ole istimewa bagi sanak saudara dan rakan.

Perlis adalah satu-satunya negeri pengeluar harumanis di negara ini dan ia bermusim hanya sekali dalam setahun.

Selepas berakhirnya musim tuaian, para penggemar harumanis terpaksa menunggu setahun lagi untuk menikmati keenakannya.

Antara lokasi utama yang sering menjadi tumpuan orang ramai setiap kali tiba musim harumanis ialah Bukit Bintang, Paya Kelubi dan Chuping.

KEISTIMEWAAN HARUMANIS

Biasanya orang ramai melihat keistimewaan harumanis kerana aroma dan keenakannya namun sebenarnya buah itu begitu kaya dengan vitamin antioksidan seperti vitamin C dan E.

Selain itu, ia juga dikatakan mempunyai serat yang membantu sistem pencernaan dan larut dalam air dan baik untuk mengawal paras kolestrol selain mencairkan kahak.

Sebenarnya, tidak ramai yang tahu atau bertanya mengenai khasiat harumanis kerana kebanyakan pembeli hanya ingin memburu keenakannya meskipun terpaksa berbaris untuk membeli.

Di restoran serta warung, para penggemar buah itu kadang-kadang terpaksa menunggu giliran yang lama bagi menikmati hidangan harumanis yang disajikan bersama pulut atau dibuat jus.

PENGELUARAN MASIH RENDAH

Ketika permintaan harumanis terus meningkat, masalah yang sedang dihadapi oleh pengeluar harumanis termasuk para pengusaha kebun persendirian ialah untuk memenuhi permintaan para penggemarnya.

Ini kerana saban tahun permintaan terhadap harumanis begitu tinggi berbanding keupayaan pengeluarannya yang hanya sekitar ratusan tan metrik sahaja setiap musim.

Seperti musim sebelum ini, banyak yang hampa kerana tidak dapat membeli harumanis berikutan banyak buah yang masih bergantungan di atas pokok telah ditempah lebih awal termasuk secara dalam talian.

Para peniaga telah membuka tempahan itu seawal 1 Mac lepas bagi memastikan mereka yang membuat tempahan awal mendapat mangga yang harganya paling mahal itu apabila penuaiannya bermula April.

Harga yang ditawarkan oleh seorang peniaga bagi empat kilogram harumanis yang ditempah secara dalam talian untuk Semenanjung Malaysia ialah RM100 berdasarkan harga RM25 sekilogram.

Jika dicampur dengan kos penghantaran sebanyak RM38 menjadikan kos keseluruhan RM138 dan empat kilogram harumanis hanya sesuai untuk hidangan antara satu dan tiga orang.

Bagi cadangan hidangan untuk lebih 20 orang, peniaga itu mencadangkan pembelian 30 kilogram harumanis pada harga RM750 manakala kos penghantaran sebanyak RM158 yang menjadikan keseluruhan kos RM908.

HARGA MENINGKAT

Harga RM25 sekilogram itu dijangka bertahan setakat 15 Mei sahaja dan selepas itu para peniaga menjangkakan harganya meningkat kepada antara RM30 dan RM35 berikutan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 dan cuti sekolah.

Tinjauan mendapati para penjual harumanis memanfaatkan laman sosial bagi memasarkan harumanis melalui kaedah tempahan dan mereka akan mengirim kepada pembeli apabila tiba waktunya.

Selain saiz kawasan penanaman yang masih kecil, faktor cuaca juga mempengaruhi pengeluaran harumanis kerana buah itu begitu sensitif kepada cuaca basah selain serangan serangga.

Kerajaan negeri Perlis meletakkan sasaran untuk membesarkan saiz kawasan tanaman harumanis kepada 1,000 hektar menjelang tahun 2015 bagi membesarkan saiz pengeluarannya kepada kira-kira 1,500 tan metrik semusim.

Antara langkah membesarkan kawasan penanaman ialah mewujudkan program desa harumanis di kawasan-kawasan terpilih.

Melalui program itu, setiap penduduk digalakkan menanam sekurang-kurangnya lima pokok mempelam harumanis di kawasan lapang termasuk di halaman rumah.

HARUMANIS SEPANJANG TAHUN

Menteri Besar Perlis, Azlan Man yakin pengeluaran harumanis pada musim ini akan meningkat berbanding musim lepas berdasarkan faktor cuaca kering yang panjang.

Kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengeluarannya bagi menampung keperluan pasaran dan penduduk dan antara langkah yang diambil ialah menjadikan harumanis bermusim sepanjang tahun.

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)diberi tanggungjawab menjalankan penyelidikan berkenaan yang menghasilkan kejayaannya apabila harumanis mengeluarkan hasil sepanjang tahun.

Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, harumanis yang ditanam di Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) di Sungai Chuchoh berjaya menghasilkan pengeluaran harumanis sepanjang tahun.

Sehubungan kejayaan itu, UniMAP telah menjalin kerjasama dengan syarikat JBP Asia Pasific Sdn Bhd bagi menjalankan projek perintis pengeluaran harumanis sepanjang tahun secara komersial.

Projek perintis itu dilaksanakan di kawasan seluas lebih 14 hektar di INSAT yang menjadi sebahagian daripada komponan Kampus UniMAP Sungai Chuchuh dekat sini.

PENANAMAN SERENTAK HARUMANIS

Usaha membesarkan saiz pengeluaran turut mendapat perhatian Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang melancarkan penanaman serentak 1,000 pokok harumanis di seluruh negeri dua tahun lepas.

Penanaman itu mencatat sejarah kerana 1,000 pokok iaitu 700 di kawasan parlimen Padang Besar dan masing-masing 150 bagi kawasan parlimen Kangar dan Arau selesai ditanam dalam tempoh lapan minit.

Sementara itu, Pengarah Pertanian Perlis, Zulkepli Amin Mat Jusoh menjangkakan pengeluaran harumanis musim ini mencapai lebih 1,000 tan metrik berikutan faktor kemarau panjang yang sesuai dengan tanaman itu.

Kemarau yang panjang membolehkan putik-putik mempelam dapat membesar dengan lebih sempurna.

Zulkepli Amin berkata permintaan tempatan terhadap harumanis dijangka meningkat berganda musim ini berikutan penganjuran sukan Malaysia (Sukma) ke-17 bermula 24 Mei ini.

SEJARAH PENANAMAN HARUMANIS

Mengikut sejarah klon harumanis yang sebelum ini dikenali sebagai MA128 diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian Perlis semasa Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975) untuk ditanam oleh petani untuk sara diri dan meningkatkan pendapatan.

Mulai 1979 hingga 1982, Projek Baik Pulih Dusun dipelkenalkan yang mana harumanis terus digalakkan penanamannya bagi menggantikan pokok yang tidak memberi pulangan ekonomi.

Bagaimanapun tanaman itu digiatkan mulai 1983 dengan pelaksanaana projek berkelompok termasuk projek kelompok Paya Kelubi dan Bukit Kedak.

Kawasan penanaman harumanis pernah mencapai keluasan sehingga 1,200 hektar melalui pembangunan tanaman itu di bawah Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu Perlis (IADP) pada 1990.

Bagaimanapun pada 2006, keluasan harumanis menurun kepada kira-kira 150 hektar kerana pokok-pokoknya diserang musuh dan penyakit menyebabkan kebun-kebun terbiar dan para pengusahanya tidak berupaya menguruskannya.

Di bawah program Gema Harumanis yang dilaksanakan pada 2007 oleh Jabatan Pertanian, keluasan tanaman harumanis ditingkatkan dan sehingga kini keluasannya kira-kira 1,000 hektar.

Di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh, Kerajaan Negeri Perlis memperuntukkan RM9 juta bagi pembangunan harumanis termasuk meluaskan kawasan penanamannya.

UTAMAMusim Harumanis Berkunjung Lagi

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium