Kastam rampas rokok seludup bernilai RM12 juta

PELABUHAN KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan sindiket penyeludupan rokok putih dan kretek bernilai RM12 juta di Pelabuhan Utara di sini kelmarin.

JKDM dalam satu kenyataan berkata, cubaan seludup itu dikesan sepasukan anggota JKDM Zon Tengah Unit II selepas pemeriksaan enam buah kontena.

“Semakan mendapati kontena terbabit telah diikrar dengan barangan lain bagi mengelakkan daripada dikesan oleh pihak JKDM.

“Jumlah rampasan adalah sebanyak 17 juta batang rokok melibatkan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM1.5 juta dengan jumlah duti cukai dianggarkan sebanyak RM12 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, rokok diklasifikasi sebagai dagangan terlarang di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga / Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Katanya, pihaknya kini sedang menyiasat pengimport dan ejen kastam yang terlibat di dalam cubaan seludup keluar barangan ini dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.

Tegasnya, JKDM mengingatkan kepada pihak pengimport supaya tidak sesekali mengambil kesempatan semasa proses pelepasan barangan dalam tempoh pengecualian sekatan pergerakan yang dibenarkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia.

“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, JKDM telah berjaya mematahkan percubaan tidak membayar cukai dengan membuat pengikraran barangan jenis tidak bercukai, iaitu topeng muka (face mask) dan apabila diperiksa oleh Pegawai JKDM, barangan tersebut bukanlah face mask.

“Tindakan tegas termasuk hukuman yang lebih berat, pergantungan atau pembatalan lesen dan disenarai hitam boleh dikenakan kepada pihak pengimport yang ingkar,” katanya.