Cabaran Penerokaan Lautan Hindi Demi MH370 - pakdin.my

MH370-gosip-umum

Sejak pesawat MH370 hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lepas, seluruh dunia terutama keluarga penumpang dan anak kapal menunggu penyudahnya dengan pelbagai perasaan.

Walaupun beberapa penemuan dan isyarat yang dianggap sebagai petunjuk lokasi terakhir pesawat Boeing 777-200 itu, namun sehingga kini perjalanan pencarian masih belum berpenghujung.

Serpihan pesawat Malaysia Airlines itu tidak ditemui apatah lagi kotak hitam yang menjadi alat penting bagi mencari jawapan kepada punca kejadian.

Isyarat lemah 33.31 kilohertz (kHz) yang dikesan pada 9 April dan disahkan oleh pakar sebagai alat peranti dipercayai kotak hitam menjadi petunjuk terbaik setakat ini dalam usaha pencarian itu.

Pengesahan itu menguatkan lagi andaian dua objek besar yang dikesan melalui imej satelit yang mungkin berkait dengan pesawat malang berkenaan sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri Australia, Tony Abbott, pada 20 Mac lepas.

Fokus pencarian telah dikecilkan berbanding sebelum ini apabila operasi pencarian yang pada asalnya dilakukan di Laut China Selatan, kemudian di Lautan Andaman dan seterusnya di koridor utara dan koridor selatan memasuki fasa baru apabila dipanjangkan ke Lautan Hindi sejak 15 Mac.

MODEL PERKIRAAN TERKINI

Menurut model perkiraan terkini, kawasan pencarian telah ditumpukan ke kawasan amat terpencil di selatan Lautan Hindi.

Lebih tepat lagi, misi pencarian bertumpu di kawasan seluas kira-kira 60,000 kilometer persegi sekitar 2,200 kilometer dari arah barat laut Perth, Australia Barat.

Misi udara dan laut itu membabitkan pelbagai peralatan pertahanan tercanggih daripada 26 negara yang beroperasi di kawasan seluas hampir 223,000 batu nautikal persegi atau 766,000 kilometer persegi.

Sungguhpun dibantu oleh pelbagai aset angkasa, udara, laut termasuk satelit berteknologi terkini, namun hakikatnya ia bukan operasi yang mudah apatah lagi dalam kepelbagaian cabaran Lautan Hindi itu sendiri.

Selain faktor keluasan dan kedalaman, Lautan Hindi membawa cabaran arus kuat, ombak ganas, cuaca yang tidak menentu, longgokan sampah dan masalah koordinasi.

DIMENSI LAUT

Lautan ketiga terbesar dunia itu mempunyai kedalaman antara 3,500 hingga 5,000 meter dan agak mendatar, tetapi titik paling dalam berada di dalam rekahan Jurang Diamantina (Diamantina Trench) sejauh 8,047 meter dari permukaan laut.

Sungguhpun kawasan operasi telah diperkecilkan, pasukan pencari masih menghadapi cabaran yang sangat besar dan operasi itu pernah diibaratkan sebagai mencari sebatang jarum dalam timbulan jerami oleh Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC).

Operasi disukarkan lagi oleh keadaan ekstrem lokasi misi itu di perairan Australia yang terletak antara 40 hingga 50 darjah latitut selatan yang terkenal dengan gelaran ‘Roaring Forties’ ekoran arus ganas dengan angin kencang dan ribut.

Pakar Oceanografi tempatan, Prof Madya Aileen Tan Shau Hwai dari Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia (USM) turut mengesahkan bahawa kesukaran operasi itu ekoran laut yang amat bergelora, cuaca sejuk dan risiko taufan tropika termasuk Taufan Jack.

Malah, tambahnya, peluang mengesan objek berwarna putih di dalam lautan bergelora menggunakan deria penglihatan atau secara visual juga tipis lantaran kewujudan ‘Whitecaps’ iaitu pecahan buih ombak besar putih yang kelihatan di garisan horizon.

Untuk pencarian dasar laut pula, disukarkan lagi dengan arus kuat yang menyebabkan permukaan dasar laut yang dilitupi pasir kerap berubah sekaligus menambahkan lagi cabaran operasi.

Tambahan pula, dalam cuaca buruk lokasinya yang jauh terpencil dari mana-mana daratan, tidak memungkinkan saluran bantuan segera jika masalah timbul kepada pasukan pencarian.

Ini amat berbeza dengan pencarian bangkai pesawat Air France yang lebih mudah memandangkan lokasi pesawat itu terhempas memang telah dikenalpasti selain berlaku di laluan trafik laut yang sibuk, membolehkan lebih banyak data dikumpulkan untuk membantu operasi pencarian.

HANYUT JAUH

Andai kata dua objek yang disebut oleh Abbott itu benar-benar merupakan serpihan daripada pesawat MH370, masih tidak mudah untuk mengesan lokasi terkini kerana ia boleh hanyut jauh sehingga ratusan atau ribuan kilometer dari lokasi asal.

Arah angin dan arus Lautan Hindi di lokasi pencarian pada amnya akan menggerakkan serpihan ke arah timur.

Bagaimanapun sehingga kini masih tiada sebarang bukti objek yang ditemui malah usaha mencari semakin kritikal memandangkan model perkiraan akan semakin kurang tepat berikutan faktor masa.

Logiknya, lebih banyak serpihan ditemui adalah lebih baik bagi membuat perkiraan anggaran lokasi terhempas, itupun sekiranya pesawat itu benar-benar terhempas.

Bagaimanapun jenis serpihan berbeza akan hanyut pada kadar yang berbeza sekaligus merumitkan lagi perkiraan, misalnya objek berat yang tenggelam akan lebih dipengaruhi oleh arus dasar laut manakala objek yang lebih ringan akan hanyut mengikut angin dan arus permukaan.

PULAU SAMPAH

Seperkara lagi isu yang diketengahkan oleh Tan yang menjejaskan operasi ialah apungan longgokan sampah yang begitu banyak dikesan dan sering memberi harapan palsu.

Satu kajian mendapati sekitar dua pertiga daripada sampah marin adalah sisa plastik terapung yang tahan lama sama ada dibuang daripada daratan ataupun oleh kapal.

Manakala, kawasan pencarian terkini adalah di Selatan Lautan Hindi yang terkenal dengan pusaran yang memerangkap sebarang objek sehingga menghasilkan tompokan besar sampah terapung.

Pusaran arus besar di permukaan Lautan Hindi itu dikenali sebagai ‘Indian Ocean Gyre’ yang merupakan antara lima gyre utama dunia dan saiznya pula merangkumi sejauh Sumatera dan Madagascar.

Sampah terutama sisa buangan plastik daripada sekitar 75 juta kilometer persegi keluasan lautan berkenaan akan terapung dan kekal selama-lamanya di dalam pusaran arus yang didorong oleh angin itu.

Bak kata Ketua Penyelaras JACC, Angus Houston, walaupun satelit telah berjaya merakamkan beratus serpihan di laut, masih tiada satupun serpihan pesawat berkaitan yang ditemui setakat ini.

“Daripada ratusan serpihan itu, hanya beberapa objek yang berjaya ditemui oleh pasukan carian, tetapi kami masih belum memperoleh sesuatu yang boleh dikaitkan dengan MH370,” katanya.

Ini dirumitkan lagi dengan kehadiran lapisan tebal kelodak yang menyukarkan usaha pencarian visual.

BERSATU HATI

Apapun, kehilangan MH370 sebenarnya memberi banyak pengajaran dan iktibar berkaitan teknologi aviasi yang berguna bukan sahaja kepada Malaysia, malah seluruh dunia.

Tidak kurang pentingnya ialah ia telah menjadi satu isu besar kemanusiaan sejagat yang menyatukan hati bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia, malah seluruh dunia.

Usaha antarabangsa yang melibatkan 26 negara itu memerlukan mereka mengenepikan sebarang persengketaan yang pernah wujud, contohnya, antara Vietnam dengan China, mahupun antara Amerika Syarikat dengan Jepun.

Diharapkan, tragedi ini mampu membantu mengeratkan lagi hubungan kerjasama di antara negara Asia Pasifik dalam pelbagai urusan terutamanya dari aspek keselamatan dan kemuafakatan antarabangsa.

UTAMABERITACabaran Penerokaan Lautan Hindi Demi MH370

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium