Perkhidmatan Tren Shuttle KTM Komuter Butterworth-Padang Besar Bermula

ets-padangbesar

Perkhidmatan tren shuttle Keretapi Tanah Melayu (KTM) komuter bagi laluan Butterworth-Padang Besar-Butterworth mula beroperasi pada Jumaat dengan kadar tambang bermula RM1 melibatkan 13 stesen perhentian.

KTM Berhad dalam kenyataan berkata tiga koc disediakan menawarkan enam perjalanan secara keseluruhan bagi laluan Butterworth-Padang Besar-Butterworth sehari, yang mengambil masa perjalanan 1 jam 45 minit sehala.

“Kadar tambang bagi perkhidmatan ini amat berpatutan iaitu serendah RM1 hingga RM11.40 bagi perjalanan sehala untuk dewasa.

“KTMB turut menawarkan tiket konsesi dengan tambang separuh harga bagi warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak berumur empat hingga 12 tahun, manakala kanak-kanak di bawah empat tahun adalah percuma,” menurut kenyataan itu.

Menurut KTMB perkhidmatan KTM Komuter itu akan berhenti di 13 stesen iaitu Butterworth, Bukit Tengah, Bukit Mertajam, Tasik Gelugor, Sungai Petani, Gurun, Kobah, Alor Setar, Anak Bukit, Kodiang, Arau, Bukit Ketri dan Padang Besar.

Jadual perjalanan setiap hari dari Butterworth akan bermula pada 5.45 pagi, 10.45 pagi dan 3.30 petang manakala perjalanan dari Padang besar akan bermula pada 8 pagi, 12.50 tengah hari serta 6.30 petang, menurut kenyataan KTMB.

Dalam pada itu KTMB memaklumkan perkhidmatan tren elektronik (ETS) EG9501 dan EG9502 dari Butterworth-Padang Besar-Butterworth ditamatkan perkhidmatan bermula pada Jumaat.

“Penumpang yang telah membeli tiket boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh di mana-mana kaunter tiket KTM Antarabandar dan ETS,” tambah KTMB.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh layari laman sesawang KTMB di www.ktmb.com.my atau menghubungi pusat panggilan KTMB di talian 0322671200 atau layari twitter @ktmkomuter.