Lelaki Pakistan maut dipecayai terkena bom buatan sendiri di Semporna - pakdin.my

letupan-bom-buatan-sendiri-semporna

SEMPORNA: Seorang lelaki warga Pakistan maut dipercayai akibat letupan di dalam sebuah rumah di Kampung Air di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Attaulah Hukmat Khan, 35, yang tinggal bersama empat lagi rakannya ditemui mati terapung di atas permukaan air selepas kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Firdaus Francis Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian terbabit pada jam 4.30 pagi sejurus berlaku.

Katanya, siasatan awal mendapati, ketika kejadian mangsa dikatakan tidur di bahagian ruang tamu rumah berkenaan sementara empat lagi rakannya yang berusia lingkungan 22 sehingga 50 tahun tidur di dalam bilik.

“Sejurus selepas letupan berlaku, keadaan lantai rumah di bahagian ruang tamu runtuh menyebabkan mangsa jatuh di atas air dan sebahagian daripada rumah terbabit turut rosak teruk.

“Rakan mangsa terpaksa keluar daripada tingkap rumah dengan dibantu oleh penduduk kampung yang lain,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Setakat ini, pihak polis masih menjalankan siasatan sama ada bom yang meletup dalam kejadian itu dilakukan oleh mangsa sendiri ataupun perbuatan khianat orang lain,” katanya.

Mayat mangsa kini masih berada di Hospital Semporna sementara menunggu proses bedah siasat untuk mencari punca sebenar kematian mangsa, katanya.

Sementara itu, Firdaus menolak kemungkinan kejadian berkaitan dengan insiden pencerobohan pengganas yang berlaku Februari lalu.

UTAMABERITASABAHLelaki Pakistan maut dipecayai terkena bom buatan sendiri di Semporna

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium