BN, PAS mahu Parlimen dibubarkan, tolak gabungan bersama DAP

PAS dan Barisan Nasional mahu Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum diadakan, kata Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa selepas ahli Parlimen pembangkang menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Katanya, mereka turut menarik balik akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Dr Mahathir Mohamad jika beliau membentuk gabungan baru.

“Pendirian kita adalah dalam situasi ini, mandat harus dikembalikan kepada rakyat. Kita memohon supaya Parlimen dibubarkan, biarlah rakyat yang menentukan.

“Sebarang penyelesaian di luar daripada amalan negara menyumbang kepada ketidakstabilan,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Annuar berkata, keputusan itu dibuat selepas BN dan PAS menolak cadangan kerajaan perpaduan yang dicadangkan Mahathir.

Beliau mengesahkan ahli Parlimen Umno menyuarakan sokongan terhadap Mahathir untuk mengetuai kerajaan baru ketika mereka menghadap Agong Ahad lalu.

Tetapi katanya, sokongan itu bersyarat, iaitu DAP tidak akan menganggotai mana-mana gabungan baru.

Beliau berkata, PAS dan BN yang mewakili Umno, MCA, MIC serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) tidak bersetuju dengan cadangan Mahathir memilih ahli Parlimen secara berseorangan untuk membentuk “kerajaan perpaduan” kerana semua ahli Parlimen perlu diterima secara bersama.

“Ini bermakna ia bercanggah dengan pendirian parti-parti kami.”