Intipati belanjawan 2020

Berikut ialah intipati ekonomi Belanjawan 2020 bertemakan, “Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama” yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Parlimen hari ini.

  • Kerajaan memulakan langkah untuk mengkaji secara menyeluruh dan merombak kerangka insentif sedia ada yang merangkumi Akta Penggalakan Pelaburan 1986, Pakej Galakan Istimewa dan insentif di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. Kerangka baharu ini dijangka akan siap pada 1 Jan, 2021.
  • Kerajaan menyediakan pakej galakan pelaburan istimewa bernilai sehingga RM1 bilion setahun untuk tempoh lima tahun. Ini merupakan sebahagian daripada langkah strategik untuk menarik syarikat Fortune 500 dan global unicorns dalam sektor berteknologi tinggi, pembuatan, kreatif dan ekonomi baharu.
  • Kerajaan memperuntukkan RM10 juta kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk meningkatkan pemantauan dan memastikan pelaburan direalisasikan selepas diluluskan.
  • Kerajaan akan memberikan pengecualian cukai pendapatan sehingga 10 tahun kepada syarikat elektrik dan elektronik (E&E) yang melabur dalam perkhidmatan berasaskan pengetahuan.
  • Kerajaan akan memberikan Elaun Cukai Pelaburan Khas untuk menggalakkan syarikat E&E sedia ada yang telah tamat tempoh Elaun Pelaburan Semula untuk terus kekal melabur di Malaysia.
  • Kerajaan akan menyediakan Elaun Modal Dipercepatkan dan Elaun Modal Kelengkapan Automasi bagi sektor pembuatan untuk syarikat yang membuat perbelanjaan ke atas RM2 juta dan RM4 juta pertama pebelanjaan modal yang layak dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2023
  • Galakan ini juga turut diperluaskan kepada sektor perkhidmatan bagi syarikat yang membuat perbelanjaan ke atas RM2 juta pertama bagi perbelanjaan modal yang layak untuk tempoh mulai tahun taksiran 2020 sehingga tahun taksiran 2023
  • Kerajaan akan memperuntukkan RM50 juta untuk pembaikan dan penyeenggaraan jalan raya ke Pelabuhan Klang
  • Kementerian Pengangkutan akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek Serendah-Pelabuhan Klang untuk penghantaran kargo serta kajian kebolehlaksanaan Koridor Logistik Klang iaitu lebuh raya logistik baharu yang akan dibangunkan khusus untuk menghubungkan Northport dan Westport, dan kedua-duanya dianggarkan bernilai RM8.3 bilion.
  • Kerajaan memperuntukkan tambahan RM50 juta untuk menggalakkan kerjasama awam-swasta bagi bagi kawasan Zon Ekonomi Sempadan Khas Kota Perdana di Bukit Kayu Hitam
Loading...