Jiran Tetangga Tempa Nama, Malaysia Masih Leka Jaja Politik – Mahdzir

Perkembangan positif negara-negara jiran iaitu Thailand, Singapura, Indonesia dan Vietnam menjelaskan keyakinan tinggi para pelabur terhadap hala tuju dasar kerajaan, kestabilan politik dan merangsang pertumbuhan ekonomi di negara berkenaan di sebalik ketidaktentuan turun naik ekonomi dunia dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini.

Namun begitu, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata bahawa kemakmuran potensi pertumbuhan ekonomi itu tidak pula dinikmati Malaysia yang dilihat masih bergelumang dengan situasi politik yang seperti tiada kesudahan serta perubahan keputusan pelbagai projek berimpak tinggi termasuk memansuhkan banyak dasar dan projek mesra rakyat yang diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

“Justeru itu demi kebaikan bersama, saya menyeru kepada pihak Kerajaan supaya berpada-padalah berpolitik. Sebaliknya berilah tumpuan kepada agenda pembangunan menuju negara maju dengan meneruskan kesinambungan prinsip “good governance” kerajaan terdahulu demi masa depan negara dan rakyat yang lebih terjamin.

“Pihak kerajaan sewajarnya tidak membawa negara menuju arah mundur ke belakang. Jika tidak mampu mengotakan janji sekalipun, jangan sesekali diabaikan kebajikan rakyat dan pembangunan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam hal ini beliau turut memetik kata-kata Aristotle, sesebuah negara itu tidak wujud hanya untuk hidup semata-mata, namun meneruskan agenda mewujudkan kehidupan yang lebih baik.

“Bagi memastikan kebajikan hidup jutaan rakyatnya tidak lagi terus bergelap, Indonesia baru-baru ini memilih untuk menjalin usaha sama pelaburan dengan syarikat perusahaan milik pemerintah China (SOE), Sinohidro, membina empangan hidroelektrik bernilai RM6.6 bilion di Pulau Sumatera dan rela berkorban risiko ancaman habitat orang utan Tapanuli.

“Kabinet Thailand yang bertindak pantas dan bijak meluluskan peruntukan mencecah RM30 bilion untuk membina landasan keretapi berkelajuan tinggi yang menghubungkan dua lapangan terbang di Bangkok dan Rayong dijangka memberi manfaat ekonomi yang tinggi dan kemakmuran kepada rakyat negara Gajah Putih itu.

“Kelmarin pula, syarikat ternama United Kingdom, Dyson mengumumkan telah memilih Singapura sebagai lokasi pelaburan terbarunya bernilai hampir RM12 bilion untuk membina kilang kereta kuasa elektrik, sekaligus mengenepikan peluang Malaysia sebagai hub pelaburan strategik syarikat tersebut.

Malah katanya yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, syarikat kereta nasional pertama Vietnam, Vinfast, telah mencuri tumpuan dunia pada awal bulan ini dengan melancarkan model terbarunya di Paris Motor Show dalam sebuah majlis gilang-gemilang menjulang “semangat orang Vietnam” di Eropah, sekali gus menempa nama di pentas industri automotif dunia.

…………

http://pakdin.my/tag/mahdzir-khalid