Peragut Ditahan Di Selisik

ragut-slim-river

SUNGAI SELISEK: Seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan ragut sekitar daerah ini berjaya ditahan polis dalam serbuan di Gedangsa, Selangor 12.30 tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Senior Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata, tangkapan lelaki berusia 39 tahun itu adalah susulan daripada satu kes ragut membabitkan seorang jururawat wanita Hospital Slim River pada 19 Mei lalu.

Menurutnya, tangkapan dibuat oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim yang membuat intipan terhadap suspek.

“Pada kira-kira 11 pagi, sepasukan polis membuat intipan di Klinik Kampung Selisik, Hulu Selangor dan setengah jam kemudian suspek yang dikehendaki tiba dengan menunggang motosikal jenis Honda Dash warna merah/hitam.

“Lelaki berkenaan masuk ke kawasan klinik dan kemudian pasukan serbuan terus perkenalkan diri sebagai polis serta membuat tangkapan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tian Kee berkata, semasa tangkapan dibuat berlaku pergelutan namun tiada kecederaan dilaporkan.

Dalam kejadian 9 malam 19 Mei lalu, mangsa Rohana Ayob, 37, cedera di bahagian muka dan beberapa anggota badan serta tidak sedarkan diri selepas terjatuh ketika mengejar suspek yang meragutnya.

Berkaitan