Setiausaha Politik, Kakitangan MP Subang Direman 4 Hari - pakdin.my

Setiausaha politik dan 2 kakitangan ahli Parlimen Subang yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), direman 4 hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan berhubung rasuah membabitkan RM20,000 berkaitan urusan imigresen.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman kira-kira 12 tengah hari tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM.
Turut hadir di IPD Dang Wangi ialah Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa bersama peguamnya, Eric Paulsen.
Sivarasa menyifatkan penahanan itu tidak masuk akal dan menafikan 3 kakitangannya menerima suapan.
“Staf saya bukan pegawai imigresen. Dia tiada kuasa, macam mana dia nak minta rasuah supaya siasatan yang dijalankan imigresen ditutup.
“Saya minta mereka disiasat secara profesional. Jangan dipengaruhi mana-mana keputusan politik dan mempercepatkan siasatan supaya staf saya tidak dianiaya di dalam lokap.
“Mereka ditangkap dan diletakkan dalam lokap juga bagi saya satu penindasan. Malah, staf saya juga sedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya kepada wartawan di luar IPD Dang Wangi.
Setiausaha politik Sivarasa yang juga anak saudaranya berusia 45 tahun ditahan beberapa jam selepas SPRM menahan pembantu peribadi dan keraninya di sebuah restoran di Taman Maluri, Cheras kira-kira jam 1.45 tengah hari semalam.
Terdahulu, Sivarasa menerusi satu kenyataan yakin dengan integriti 3 kakitangannya dan percaya mereka difitnah individu yang terbabit dalam isu imigresen dibangkitkannya dalam sidang media di Parlimen pada 9 Ogos lalu.
“Saya percaya mereka difitnah dan dijadikan mangsa komplot oleh individu yang terlibat dalam isu saya bangkitkan dalam sidang akhbar tersebut.”
Beliau berkata, dalam sidang media bulan lalu, beliau membangkitkan isu rasuah yang didakwa berlaku dalam Jabatan Imigresen membabitkan seorang warga Bangladesh.
Katanya, maklumat yang disalurkan seorang warga tempatan kepada beliau menunjukkan rakyat Bangladesh itu mendapatkan permit kerja profesional untuk pekerja dari negara itu menggunakan dokumen palsu.
Mereka kemudiannya bekerja sebagai tukang cuci dan pengemas bilik di hotel 4 serta 5 bintang di Kuala Lumpur.
Sivarasa berkata, tidak masuk akal menuduh kakitangannya meminta bayaran kerana mereka tiada kuasa ke atas tindakan Jabatan Imigresen berhubung isu dibangkitkannya bulan lalu.
Beliau mendakwa individu yang disyaki ada kaitan dalam isu imigresen dibangkitkannya mungkin bertindak mengikut arahan pihak ke-3 disebabkan motif politik.
“Saya kesal SPRM menahan dan reman kakitangan saya yang kini menjadi mangsa kepada isu yang saya bangkitkan,” katanya sambil menambah beliau tidak membantah siasatan SPRM itu dan sudah memberikan maklumat yang dikehendaki bagi membantu siasatan.
UTAMABERITASetiausaha Politik, Kakitangan MP Subang Direman 4 Hari

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium