Pakaian ‘ketat’: Kesatuan jururawat, MMA bidas Ahli Parlimen PAS - pakdin.my

  • Ahli Parlimen PAS ditempelak kerana dikatakan lebih kisah tentang etika pakaian jururawat berbanding kemampanan sistem penjagaan kesihatan negara.

Beberapa organisasi dan individu hari ini membidas Ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor atas kenyataannya, pakaian seragam jururawat terlalu ketat dan tidak patuh syariah.

Kesatuan jururawat mempertahankan pakaian seragam itu, manakala Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, sangat memalukan apabila Ahli Parlimen PAS lebih kisah mengenai etika berpakaian jururawat ketika orang ramai bimbang kemampanan sistem penjagaan kesihatan negara.

Presiden Kesatuan Jururawat Malaya, Nor Hayati Abd Rashid, berkata pakaian seragam jururawat direka untuk berfungsi dan memudahkan mereka menjalankan tugas.

VIDEO berkaian: https://youtu.be/8tXBPy2bXE8

Katanya, ia tidak ketat dan mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Peraturan untuk pakaian seragam (jururawat) adalah ia tidak boleh terlalu ketat dan (labuh baju) mestilah melebihi punggung. Ada garis panduannya,” katanya.

“Terpulang kepada penyelia jururawat untuk memantau (pakaian seragam). Selalunya, ketua jururawat akan menasihati jururawat jika pakaian seragam mereka terlalu ketat.”

Katanya, pada 1980-an, jururawat memakai skirt tetapi kod pakaian ditukar kepada pemakaian seluar supaya lebih patuh syariah.

“Saya tak pasti apa yang Ahli Parlimen itu fikirkan apabila buat kenyataan sebegitu. (Pakaian seragam) ini bukan baharu, kami sudah pakai lama,” katanya.

Ketika membahaskan kertas putih mengenai reformasi kesihatan awam yang ditunggu-tunggu, Wan Razali mengulas pakaian seragam jururawat ketat sehingga menampakkan bentuk badan.

Beliau berkata, pakaian seragam semasa jururawat “mengikut acuan Barat” dan harus lebih longgar. Katanya, jururawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, dan Pusat Perubatan Sultan Azlan Shah di Kuantan, Pahang, diberi pilihan kod pakaian.

Bekas pensyarah kejururawatan Universiti Malaya (UM), Rasnah Abdul Rahman, berkata keupayaan jururawat menjalankan tugas ditentukan oleh pendidikan, latihan dan pengalaman yang signifikan, dan tidak boleh dikecilkan berdasarkan pakaian seragam mereka.

“Jururawat boleh berfungsi dengan berkesan dalam apa-apa jenis pakaian, ketat atau tidak. Tiada kajian yang menunjukkan pakaian ketat dipakai oleh jururawat memberikan kesan negatif ke atas pesakit,” katanya.

Katanya, dasar kod pakaian mungkin berbeza bergantung pada budaya, misi dan nilai setiap hospital.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye, bersetuju dengan berkata pakaian seragam jururawat selesa, berfungsi dan sopan, membolehkan variasi untuk memenuhi keperluan setiap institusi dan pilihan individu.

“Komen Wan Razali tidak profesional dan bermotifkan politik,” katanya.

“Apabila kita mengharapkan Ahli Parlimen memberi tumpuan kepada membahaskan reformasi penting dalam penjagaan kesihatan, (Wan Razali) menumpukan kepada pakaian seragam,” katanya.

Sementara itu, Presiden MMA, Dr Muruga Raj Rajathurai berkata: “Semua jururawat di sektor awam mematuhi kod pakaian perkhidmatan awam.

“Kami percaya pakaian seragam jururawat KKM (yang diluluskan) sekarang adalah praktikal kerana ia dilihat tidak menyekat pergerakan jururawat ketika menjalankan tugas.

“Dalam (sektor) penjagaan kesihatan, semua orang perlu bergerak pantas.”

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib, berkata peralihan kepada pemakaian sut bedah (scrubs) harus dipertimbangkan.

“Dengan peningkatan kelaziman kerintangan terhadap antimikrob dan kepentingan kawalan jangkitan, beralih kepada pemakaian sut bedah boleh menggalakkan persekitaran yang bersih.

“Ia direka bentuk ringkas, mudah dicuci dan murah untuk diganti jika rosak,” katanya.

BACA juga:

UTAMAPOLITIKPakaian ‘ketat’: Kesatuan jururawat, MMA bidas Ahli Parlimen PAS

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium